Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label peperiksaan. Show all posts
Showing posts with label peperiksaan. Show all posts

Kaji Semula Ruang Bandar dan Luar Bandar

Wednesday, December 29, 2010



SETIAP kali keputusan peperiksaan utama sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan, salah satu isu yang diberikan perhatian khusus ialah perbezaan kejayaan atau kegagalan yang diperoleh pelajar luar bandar dan bandar. Sejak akhir-akhir ini, keputusan peperiksaan yang diumumkan menunjukkan perbezaan pencapaian yang semakin rapat.

Apa yang menjadi persoalannya ialah pembahagian (demarcation) dan definisi ruang di antara bandar dan desa yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran bagi meletakkan kategori sekolah dilihat tidak selari dan seiring dengan proses perkembangan bandar yang berlaku di negara ini.

Proses pembangunan bandar yang begitu pesat bermula sejak awal tahun 1970-an sehingga sekarang telah menuju kematangan yang memungkinkan kedua-dua ruang desa dan bandar bercantum sekali gus menjadi sebahagian daripada wilayah perbandaran mega.

Jumlah penduduk bandar di Malaysia kini menunjukkan peningkatan ketara disebabkan kadar pertumbuhan semula jadi, migrasi ke bandar dan perubahan serta perluasan sempadan pentadbiran bandar itu sendiri. Jumlah penduduk bandar ini diunjurkan bertambah menjadi lebih 85 peratus atau hampir 35 juta orang pada tahun 2050.

Justeru, pengumuman yang mengatakan bahawa jurang perbezaan di antara desa-bandar yang semakin rapat itu perlu dilihat dalam konteks perubahan penduduk yang mendiami kawasan perbandaran di negara kita. Kategori yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran dilihat masih lagi menggunakan tafsiran atau definisi lama pembandaran di negara ini.

Kawasan-kawasan perkampungan yang dahulunya terletak agak jauh dari kawasan bandar kini telah dikelilingi kawasan yang begitu pesat membangun, namun sekolah-sekolah yang terdapat di kawasan itu masih dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Sebagai contohnya, beberapa buah sekolah di Hulu Langat, Selangor dan berhampiran Putrajaya masih lagi dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, sedangkan daerah-daerah ini telah mengalami perkembangan perbandaran yang begitu pesat sejak dua dasawarsa yang lampau.

Jumlah penduduk yang dicatatkan dalam Laporan Kiraan Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 yang baru dikeluarkan menunjukkan kawasan ini mengalami pertambahan jumlah penduduk yang begitu ketara berbanding dengan 20 tahun lampau.

Kesenjangan ini wajar diteliti semula memandangkan implikasi yang terhasil daripada perbezaan kategori dan definisi yang digunakan di antara jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang berbeza berbanding dengan situasi sebenar akan mengundang pelbagai tafsiran daripada pembuat keputusan pada masa depan yang akan melibatkan peruntukan pembangunan prasarana, penempatan guru, keperluan komputer dan sebagainya.

Sesetengahnya pula melahirkan rasa bangga dan gembira kerana sekolah yang dikategorikan sebagai luar bandar itu menunjukkan peningkatan keputusan dengan jumlah pelajar yang mendapat A bertambah saban tahun, sedangkan realiti sebenarnya ialah darjah kesampaian penduduk tersebut terhadap kemudahan-kemudahan perbandaran dan pendidikan begitu tinggi yang memudahkan pelajar menelaah buku, mendapatkan keperluan tuisyen dengan mudah, kewujudan perpustakaan yang serba lengkap dengan buku rujukan terkini, kemudahan Internet jalur lebar yang begitu pantas capaiannya dan seumpamanya.

Dalam erti kata lain, segala kemudahan prasarana pendidikan yang tersedia di kawasan tersebut berstatus bandar, sedangkan kategori sekolahnya berstatus luar bandar. Keadaan ini mungkin ada buruk dan baiknya terhadap sekolah tersebut.
Seperkara lagi yang wajar diberikan perhatian dalam konteks ini ialah dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan luar bandar, ia haruslah seiring dengan pembangunan negara keseluruhannya. 

Para pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang itu akan berhijrah ke kawasan bandar untuk meneruskan pelajaran dan kecemerlangannya yang tidak mungkin akan diperoleh di desa tempat tinggalnya.

Selepas para pelajar ini selesai pembelajarannya di peringkat sekolah, maka akan berduyun-duyunlah mereka menghala ke universiti dan kolej untuk meneruskan pengajian. Keputusan dengan deretan A yang diperoleh semasa di peringkat sekolah akan dibawa ke universiti tetapi yang lebih penting kepada pelajar ini ialah menyediakan mereka dengan corak pemikiran kritis dan kreatif di peringkat sekolah lagi.

Lantaran itu, apabila berada di universiti para pelajar ini mampu memberikan hujah dan pandangan yang lebih bernas apabila berbincang dan berdebat dalam sesuatu perkara berkaitan dengan pembelajarannya.

Tidaklah bermakna pelajar yang mendapat kesemua A dalam mata pelajaran yang diambilnya di peringkat sekolah mampu berhujah dengan lebih bernas bersama-sama dengan lenggok bahasa yang baik semasa di universiti jika mereka tidak didedahkan dengan corak pemikiran kritis dan kreatif.

Justeru, pembahagian kategori bandar dan luar bandar bagi sekolah-sekolah di Malaysia wajar dinilai semula dalam konteks perbandaran negara agar kita tidak terperangkap dalam definisi maya bikinan kita sendiri, sedangkan realiti yang terhampar adalah amat jauh perbezaannya.

Kaedah yang agak mudah dan pantas yang boleh dilakukan untuk memahami pembahagian kategori bandar dan luar bandar ini melalui pemetaan kesemua hampir 10,000 buah sekolah yang wujud di negara ini ditindanlapiskan (overlaying) dengan kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan bandar. Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) akan dapat membantu pelaksanaan proses ini dengan lebih mudah dan pantas.

PENULIS ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Read more...

Pupuk Budaya Integriti











TAHNIAH buat calon-calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang mendapat keputusan cemerlang sebagaimana yang diumumkan pada Khamis minggu lalu.

Di samping kita meraikan para pelajar cemerlang, jangan sesekali melupakan pelajar yang kurang cemerlang. Peperiksaan PMR bukanlah segala-galanya dalam hidup. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Buktikan anda juga boleh berjaya kemudian hari. Kejayaan bukan datang bergolek, kejayaan datang dengan usaha dan ketabahan. Nescaya, setiap dugaan yang datang pasti ada hikmahnya. Jadikanlah kegagalan sebagai permulaan kejayaan yang lebih cemerlang.

Di sebalik keputusan yang semakin cemerlang pada setiap kali pengumuman peperiksaan awam di Malaysia, penulis ingin mengajak para pembaca, ibu bapa dan pemimpin merenung dan memikirkan satu topik yang cukup penting bagi generasi pelapis. Ia bukanlah perkara baru tetapi jarang sekali disentuh untuk generasi muda terutama remaja dan para pelajar iaitu isu integriti dan amanah.

Kita sentiasa tersenyum riang apabila anak-anak kita memperoleh keputusan cemerlang, seolah-olah itulah penanda aras segala-galanya dalam kehidupan ini. Tetapi pernahkah kita cuba fikirkan soal integriti dan amanah yang sewajarnya dipupuk sejak kecil lagi. Bukan apa, saban hari kita disajikan berita penyelewengan, rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Saban hari juga kita membaca dan mendengar skandal korporat, rasuah orang awam, swasta dan kakitangan awam tidak kiralah sama ada berpangkat kecil, mahupun besar. Kita juga selalu mendengar kes-kes penipuan seperti skim cepat kaya serta gores dan menang. Tidakkah ini membimbangkan kita?

Malahan tidak keterlaluan, jika tidak dibendung atau diperangi secara bersungguh-sungguh, elemen integriti di kalangan rakyat Malaysia akan semakin lemah. Apa akan terjadi kepada masyarakat Malaysia pada tahun 2020 jika masyarakatnya tidak berintegriti dan amanah? Skandal-skandal penyelewengan, penipuan, rasuah dan pecah amanah ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan tetapi golongan terpelajar yang mempunyai kuasa di sektor awam mahupun swasta.

Mereka inilah pembuat keputusan bagi orang bawahan. Kerugian besar akan ditanggung oleh semua orang jika penyelewengan dan penipuan berlaku. Sektor swasta akan kerugian dengan pekerjanya sengsara. Manakala jika penyelewengan dan rasuah berlaku di sektor awam, rakyat jelata pula bakal menanggung kerugian.

Masyarakat kita sudah berubah. Tidak seperti dahulu, mudah ditegur dan keputusan banyak dibuat secara kolektif. Dahulu sering kali kerja gotong royong dilakukan sesama masyarakat setempat, tetapi kini kerja gotong royong semakin berkurangan. Natijahnya, masyarakat kini berubah ke arah lebih individualistik dan mementingkan kebendaan semata-mata, selain mengejar kekayaan sehingga melupakan 
tanggungjawab untuk membantu sesama masyarakat terutama jiran tetangga. 

Perkara ini boleh dilihat dengan ketara di bandar-bandar besar. Kesan urbanisasi dan permodenan, masyarakat semakin individualistik. Ini bertepatan dengan senario mana-mana negara maju di dunia. Adakah kita mahu mengikut jejak mereka menjelang tahun 2020?

Apabila masyarakat semakin individualistik, mereka tidak memikirkan orang lain kecuali diri sendiri. Sudah tentu, ia akan memberi kesan kepada sikap mementingkan kebendaan walau apa cara sekalipun. Akhirnya, sikap individualistik ini akan melahirkan masyarakat yang lemah integriti kerana apa cara sekalipun, tidak kiralah sama ada halal atau haram mereka akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan harta benda dan wang ringgit sebanyak yang mungkin.

Maka terjadilah kes-kes pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan penipuan. Matlamat menghalalkan cara. Itulah ciri-ciri masyarakat maju yang individualistik. Kita tidak mahu perkara ini menjadi barah suatu hari nanti. Lebih baik kita mempunyai pemimpin yang kurang hebat tetapi berintegriti mantap berbanding pemimpin yang hebat segala-galanya tetapi lemah integritinya.

Percayalah, negara akan hancur jika ditadbir oleh pemimpin begini. Oleh itu, elemen integriti wajar diajar sejak kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Perbanyakkan perbincangan mengenai elemen integriti dalam masyarakat seperti di majlis- majlis ilmu, media massa, drama dan filem.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan 
Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Read more...

Keputusan PMR Diumumkan 23 Disember Ini

Wednesday, December 15, 2010




KUALA LUMPUR 15 Dis. — Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 akan diumumkan pada 23 Disember ini.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, analisis keputusan PMR akan diumumkan pada hari itu di pejabat kementerian di Putrajaya.

Keputusan akan dikeluarkan di sekolah masing-masing pada hari yang sama mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

Sejumlah 479,675 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 446,896 orang calon adalah daripada sekolah kerajaan. -  

Sumber: Bernama

Read more...

BM Kertas 2 Tak Perlu Diduduki Semula

Tuesday, November 30, 2010

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menafikan khabar angin bahawa calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 berkemungkinan perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Dua yang dijalankan pada 23 November lalu. 

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, peperiksaan subjek itu sah dan calon-calon yang menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula kertas tersebut


"Saya ingin menegaskan di sini supaya ibu bapa dan terutamanya calon-calon peperiksaan supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta ibu bapa dan calon-calon peperiksaan supaya tidak risau atau bimbang kerana Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti atau standard peperiksaan berada pada tahap yang baik. 

Abd Ghafar berkata sehingga hari ini, peperiksaan SPM yang bermula pada 23 November lalu dan berakhir pada 20 Disember depan berjalan baik dan lancar seperti yang telah dijadualkan. 

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai peperiksaan SPM 2010 boleh dikemukakan kepada Bilik Gerakan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia yang beroperasi setiap hari peperiksaan dari pukul 7 pagi hingga 6 petang atau menghubungi talian 03-8889 3551, 03-8889 3601 atau 03-2889 3520. - 



Sumber  :    BERNAMA 

Read more...

Jadual Usah Terlalu Ketat

Tuesday, October 19, 2010

Minggu ini dan minggu depan, murid-murid mula menduduki peperiksaan akhir di sekolah masingmasing. Apa yang menarik perhatian saya bukanlah kepada peperiksaan itu sendiri, tetapi aspek jadual dan masa sepanjang tempoh peperiksaan.

Sesuai dengan hasrat kerajaan supaya sistem pendidikan kita tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, berikut beberapa cadangan yang saya rasa perlu dan boleh diambil kira bagi menjamin lahirnya pelajar yang lebih berdedikasi dan tidak terlalu exam-oriented atau lebih parah menjadi examphobia.

* Jadual peperiksaan perlu lebih anjal: Saya agak kurang selesa melihat jadual peperiksaan pelajar sekolah rendah mahupun menengah. Pelajar terpaksa berdepan dengan dua atau tiga subjek sehari. Contohnya, hari pertama Bahasa Malaysia 1, Bahasa Malaysia 2, Agama Islam.

Hari Kedua: English, Matematik 1, Matematik 2. Hari ketiga: Sains, Jawi, Bahasa Arab@Moral.

Adalah lebih baik sekiranya pelajar diberi kelonggaran dengan jadual yang tidak terlalu ketat. Cukup sekadar satu subjek sehari. Ia memberi ruang untuk lebih tumpuan semasa menjawab peperiksaan.

* Masa menjawab peperiksaan: Rata-rata masa yang diberikan 60 minit, ada juga 40 minit. Di negara luar, kebanyakan masa menjawab peperiksaan paling kurang 90 minit. Bayangkan pelajar terpaksa bergelut menjawab soalan subjektif Matematik dalam tempoh 40 minit. Murid pula baru berumur lapan atau sembilan tahun. Tidakkah ia antara punca pelajar kurang minat untuk belajar, malah menganggap peperiksaan hanya satu beban?

Penelitian saya, sistem peperiksaan di Malaysia lebih banyak mengundang stress di kalangan pelajar . Kita tidak banyak membantu pelajar supaya mencintai ilmu. Kita hanya mahu pelajar belajar untuk peperiksaan, bergelut tiga atau empat hari semasa peperiksaan dengan beban subjek dan masa yang tidak 'mesra pelajar'.

Itu baru peperiksaan biasa. Bagaimana pula dengan jadual dan masa untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya yakin jika faktor jadual dan masa ini diambil kira dalam sistem peperiksaan, kita mampu melahirkan pelajar yang lebih yakin diri dan lebih berwawasan. Kurangnya stress dapat memberi ruang untuk pelajar mencintai ilmu.

Dalam kita cuba menyemai dan memastikan akidah Islam dipupuk sedari kecil, kita mungkin melakukannya secara drastik. Saya masih ingat subjek Agama Islam dulu diajar dalam tulisan Rumi. Berbeza sekarang dalam tulisan Jawi. Saya tidak mempersoalkan isu ini. Cuma lebih baik jika kita kekal menggunakan tulisan Rumi. Sebabnya? Tidak semua pelajar yang dapat menguasai tulisan Jawi dengan baik semasa Tahun Satu.

Jika kita terus menggunakan tulisan Jawi, golongan ini akan ketinggalan dan seterusnya mengurangkan minat mereka untuk mendalami ajaran Islam sedari Tahun Satu. Ia akan berlarutan sehingga di Tahun Enam, malah sehingga Tingkatan Lima atau Enam. Berdasarkan pemerhatian, pelajar ini menganggap subjek Agama Islam ini subjek sukar hanya kerana tidak mahir membaca tulisan Jawi. Sedangkan ia subjek paling mudah apatah lagi jika diajar secara Rumi.

Memang, tulisan Jawi perlu diberi penekanan tetapi cukup kita meletakkan asas yang kukuh dalam subjek Jawi. Seperti juga untuk pelajar menguasai bahasa Inggeris. Aspek pembelajaran bahasa itu sendiri perlu diperkukuhkan sejak Tahun Satu. Jika 'akarnya' tidak kuat bagaimana 'pokok' boleh membesar?

Guru Pencen,
Shah Alam, Selangor

Read more...

Tarikh Penilaian Akhir Tahun BUKTI 2010

Tuesday, September 28, 2010

Penilaian Akhir Tahun Bukti diadakan pada 26 Oktober 2010 hingga 29 Oktober 2010.


Pihak Sekolah diminta mengambil soalan-soalan BUKTI pada 20 Oktober 2010 di Pusat Pengedaran BUKTI


Seremban 1       di Sk Puteri
Seremban 11     di  Sk Senawang
Jempol              di   Sk Bandar Baru Serting  
Rembau            di   Sk Chengkau
Tampin             di   Sk Keru
Kuala Pilah       di Sk Kuala Pilah
Port Dickson    di Port Dickson


Borang analisis keputusan hendaklah dihantar kepada Penyelaras Daerah Sebelum 15 November 2010


Sumber  : Sektor Pengurusan Sekolah JPNS

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP