Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Didik Anak Bukan Semudah Baca ABC

Saturday, August 6, 2011



NIAT memang baik tetapi ada kalanya orang curiga dan tak boleh terima. Biasalah, penawar bagi kita mungkin racun bagi yang lain pula. Mungkin itu yang berlaku apabila 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru mendakwa dipaksa membotakkan kepala ketika mengikuti kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor baru-baru ini. Al-kisahnya, mereka juga kononnya dipukul, ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata kesat dan diperlakukan seperti banduan sedangkan mereka sepatutnya didedahkan dengan kehidupan insan pagar kawad berduri melalui program Price of Freedom. 

Jumaat lalu, berita itu dinafikan pihak Jabatan Penjara selepas menjalankan siasatan dalaman, tiada sebarang ‘sentuhan badan’ dengan pelajar itu kecuali ketika proses simulasi. Ada yang ditepuk belakang tetapi kata pihak penjara ia sekadar nasihat kepada mereka supaya jangan sesekali terjerumus dalam kegiatan jenayah dan tak bermoral. Anehnya, sejak terbongkarnya insiden itu, ramai pula bekas peserta program itu tampil membuat kenyataan mereka juga pernah diperlakukan sebegitu, sehingga kononnya ada masih trauma dan berpendapat program itu tidak langsung memanfaatkan mereka.
Hasrat mengembalikan rasa dan sikap tanggung jawab di kalangan pelajar itu memang murni, pelaksanaannya mungkin ada yang tak kena dan perlu dinilai semula. Niat tidak semestinya menghalalkan cara. Jangan salah faham pula kerana coretan teman minggu ini bukan untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, baik pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berniat murni atau Jabatan Penjara itu sendiri. Amat malang sekali, kerana program yang bertujuan menyedarkan kalangan murid terutama yang bermasalah, agar membuka mata dan minda, bahawa tabiat buruk itu elok saja dibuang jauh-jauh supaya apabila besar kelak mereka menjadi insan berguna dan bukan sampah masyarakat, menjadi begitu akhirnya.

Mendidik anak bukan semudah membaca ABC. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar ini, cara didikan ibu bapa zaman dulu dan kini bagai langit dengan bumi. Ibu bapa selalunya sibuk memanjang memenuhi tuntutan kerja sehingga apabila tiba bab anak seperti tak kuasa kerana tak cukup masa. Maaflah, teman hendak angkat bendera tanda bersalah kerana tak pernah sekali pun hadir mesyuarat PIBG sedangkan banyak perkara yang mahu dikongsi. Alasan klise, sibuk, mesyuarat di pejabat dan 1001 sebab musabab. Paling tidak pun, teman ke sekolah sempena hari terbuka, itu pun mengambil laporan prestasi akademik anak atau ketika telefon bimbitnya dirampas. 

Jumpa cikgu, baru dapat tahu kerenah si manja. Merah juga muka yang tak berapa nak putih ini apabila dengan selamba cikgu bertanya, “Dia lewat tidur ke sebab selalu tertidur dalam kelas?” Selamba juga teman jawab, “Ya Cikgu... selalu main SMS dalam selimut!” Itu baru perkara kecil yang ibu bapa dapat diselongkar. Biasalah anak kalau depan kita memang pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita semut tengok pun lari. Tak mustahil ada yang bukan setakat kaki ponteng dan perokok tegar tetapi juga kaki buli. Apa nak jadi kalau kecil lagi sudah pandai membuli, bayangkan apabila sudah besar panjang. 

Bukan sesuatu yang asing bagi teman melihat pelajar yang tukar arah sebaik saja dihantar ke sekolah. Mati-matilah ibu bapa itu ingat mereka masuk bilik darjah, sedangkan mereka buat benda tak semenggah. Selamba saja mereka menuju arah yang bertentangan dengan pintu pagar sekolah dan sebaliknya menuju ke pusat beli-belah. Ada juga yang sebaik saja melangkah keluar kawasan sekolah terus mengeluarkan kotak rokok sambil ketawa mengilai. Lagak mereka seperti keluar dari kelab malam. Teman urut dada sambil berdoa agar dihindari daripada menghadapi situasi sebegini. 

Pihak sekolah pun resah gelisah kerana dibebankan tugas semakin mencabar. Kisah di SMK Bandar Baru UDA itu contoh klasik. Mungkin tenaga pengajarnya sudah buntu mencari jalan penyelesaian masalah disiplin pelajar. Lalu perkara ini dibawa dalam mesyuarat PIBG. Namun apa yang berlaku lain pula. Itulah teman kata, penawar bagi kita mungkin jadi racun bagi sesetengah orang. Teman amat berharap program sebegini dapat diteruskan tetapi perlu diawasi dan dipinda modulnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian. 

Seperti juga apabila kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sejak diperkenalkan tujuh, lapan tahun lalu, kem itu sudah melalui pelbagai perubahan baik dari segi fizikal kem itu sendiri sehingga kepada modulnya. 

Semua ini dibuat selepas mendapat maklum balas semua pihak sementalah anak kita pun ada kalanya terlebih manja. Dulu mak bapak kita tak ambil pusing jika anak ditengking jerkah cikgu tetapi sekarang ini nak tinggi suara pun, bimbang masuk mahkamah. Susah juga melayan ibu bapa yang sensitifnya semacam. Bak cubit paha kira, paha kanan pun terasa. 

Siapa pun tidak mahu anak mereka didera. Seperti cerita beberapa hari lalu, bagaimana anak semuda 12 tahun didakwa bukan saja membelasah pelajar lebih junior tetapi lebih memeranjatkan apabila mereka juga dikatakan meliwat mangsa. Paling sedih apabila mereka kalangan pelajar sekolah tahfiz. Siapa nak jawab apabila pelajar tahfiz pun boleh terbabit dalam salah laku sebegini keji? Jumpa lagi! 

Sumber : Berita Harian Online

Read more...

Sifat 3S resipi hadapi kesulitan

Saturday, June 25, 2011



Oleh Sharifah Hayaati

Pekerja perlu berfikiran positif untuk capai kejayaan

ALHAMDULILLAH, setiap hari kita menempuh kehidupan dengan pelbagai keadaan. Ada ketikanya kita mampu serta berjaya melaluinya dengan tenang dan mudah. Namun, ada ketikanya kita berhadapan kesulitan, cabaran dan rintangan. Jika diberi dua pilihan, sama ada ingin melalui kehidupan mudah atau melaluinya dengan payah, tentu kita memilih yang mudah.

Islam amat menggalakkan umatnya menggunakan cara mudah seperti amalan Nabi SAW. Namun, perlu disedari kesulitan dalam kehidupan sebenarnya sunnatullah bertujuan menguji hamba-Nya. Dalam setiap ujian yang berlaku sama ada kesenangan atau kepayahan, pasti ada hikmah atau pengajaran kepada manusia sekiranya kita mengetahui dan bersabar.Dalam ujian itu terkandung pendidikan sebelum Allah mengurniakan markah berupa kejayaan, keberkatan dan pahala. Ujian itu mendidik hati tunduk ikhlas dan mengakui betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya.

Justeru, dalam mencari rezeki atau bekerja dan mengurus organisasi, masalah tidak dapat dielakkan. Bahkan apabila masyarakat bertambah ramai dan negara semakin maju maka seolah-seolah ia menjadi harga yang perlu dibayar kerana pengurusan kehidupan semakin rumit. Misalnya, kepelbagaian sikap, persaingan dalam kerja, konflik dan kepentingan mencapai kualiti perkhidmatan yang tinggi menyebabkan setiap pekerja perlu sentiasa berusaha membina kekuatan diri.

Islam sebagai cara hidup menggariskan tiga panduan utama sebagai resipi ketahanan berguna dalam menghadapi kepayahan iaitu sifat sabar, solat dan siap sedia (3S) dalam mengharunginya.

Dalam Sunan al-Termizi daripada Abdullah bin Abbas ra berkata: “Aku pernah bersama Rasulullah SAW dan baginda berkata kepadaku: “Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah: Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu.Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya di hadapanmu (dengan pertolongan-Nya), Kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia mengenalmu dalam kesusahan dan sabdanya lagi, ketahuilah kemenangan ada bersama kesabaran.”

Sekiranya kita cenderung melihat masalah sebagai rintangan kepada kejayaan, berusahalah menguatkan hati dan mengubah pemikiran dan melihatnya sebagai peluang berjaya. Kaedah pertama ialah melaluinya dengan sabar dengan membayangkan nikmat kesenangan hidup yang lebih luas dan tidak terhitung dianugerahkan Allah SWT. Kejayaan yang diraih hasil kesabaran lebih indah untuk dikenang, kerana di sebalik kemanisan itu ada pengalaman pahit dan sukar. Pengalaman itu mampu melahirkan kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan individu profesional dalam organisasi.

Kesabaran adalah rahsia kejayaan. Ia dinyatakan lebih daripada 90 kali dalam pelbagai bentuk dalam al-Quran. Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Dengan cara apakah kepemimpinan diperoleh? Dia menjawab dengan kesabaran dan keyakinan seperti firman Allah SWT bermaksud: “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan meyakini ayat kami.” (Surah al-Sajdah, ayat 24)

Kedua, membina ketahanan diri melalui solat sebagai perisai. Justeru, peliharalah solat, berdoa dan perbanyakkan beristighfar kepada Ilahi agar diberikan hikmah dan kejayaan yang diberkati.Dalam kesibukan kita mencari rezeki, jangan sampai menggadaikan solat atau menjadikannya sebagai penguat diri hanya ketika ditimpa kesusahan. Usaha menyediakan ruang solat yang selesa di tempat kerja perlu dilihat sebagai kewajipan organisasi dalam memelihara solat warga kerjanya. Jangan hanya kebajikan atau tanggungjawab sosial diberi keutamaan sedangkan tiada peruntukan menyediakan ruang beribadat yang selesa.

Ketiga, hendaklah kita sentiasa bersiap sedia. Dalam konteks organisasi, pelbagai perancangan strategik boleh dilakukan, termasuk usaha menguatkan akal dan hati dengan menentukan hasrat mencapai kejayaan. Penentuan ini mampu memberi tenaga dalam mengorak strategi. Kata-kata hukama ada menyebut matlamat yang ingin dicapai adalah rahmat Allah. Jika tidak, ibu enggan mengandung dan petani enggan bercucuk tanam. Ertinya, kerana membayangkan hasrat yang ingin dicapai iaitu zuriat dan hasil tanaman itulah, maka ibu dan petani sanggup mengharungi kepayahan.

Selain itu, kita perlu memelihara hubungan dengan persekitaran dengan memupuk kemahiran interpersonal atau interpersonal kompeten seperti memahami watak, sikap rakan sekerja, memupuk sifat empati, menghormati dan bertanggungjawab. Insya-Allah, kita pengemudinya selepas dayung ada di tangan dan dengan sifat tawakal, Allah SWT akan memudahkan segala kepayahan.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : bharian Online

Read more...

Bicara Jumaat : Tiga Kisah Satu Mesej

Thursday, June 9, 2011

Suatu hari, seorang suami berjalan dari tapak pasar malam menuju kearah keretanya. Dengan keadaan penuh sesak dengan orang ramai, si suami ini terlanggar dengan seorang lelaki lain dalam laluannya.

"Maaf, saya terlanggar.." kata si suami tersebut. (ayat sopan)
"Takpe.." sambil tersenyum lelaki berkenaan.

Kemudian, si suami ini terus balik ke rumah yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari tapak pasar malam tersebut.
Sebaik sahaja di rumah, salah seorang anaknya datang berlari memanggil "yeah, ayah dah balik".
Tiba-tiba, anak kecil yang sedang berlari untuk mendakap ayahnya terlanggar kerusi lalu terjatuh di lantai.

"Hua..." jerit si kecil.. tapi..
"Haa! tulah, berlari-lari lagi! Kan dah jatuh.." kata si suami tersebut sambil mengeleng-geleng kepalanya.

Terdiam terus si anak dengan "kata-kata nasihat" bapanya.. Mungkin kalau kita berada ditempat si kecil itu, apa yang kita dapat rasakan? Mesti sedihkan..

Selepas mendengar "jeritan nasihat si suami", si isteri cepat-cepat keluar dari dapur menuju ke ruang tamu.



Sumber :http://www.sharemotivasi.com
"Abang dah makan?" tanya si isteri.
"Belum, tapi abang ada beli makanan kat pasar malam tadi. Jom makan.." jawab si suami.

Allahu Akbar Allahu Akbar..gema azan berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib.

"Dah azan, jom abang, solat dulu. Mail (nama si kecil), lepas ni gi ngaji taw." kata si isteri.
"awak solat la dulu.. Abang penat ni. nak tido jab."

....................................................................................................

Dari cerita tersebut, apa yang kita dapat?

Bukankah si bapa tersebut sepatutnya mendidik anaknya, bukan menengking-nengking.
Kenapa ye sekarang, kita akan jadi lebih sopan dengan orang yang kita tak kenal tapi lebih "garang" dengan ahli keluarga sendiri. Dah terbalik???

Kalau kita meninggal dunia, bos kat pejabat senang je cari penganti. 2 hari lagi, dah ada pengganti.
Tapi kalau ahli keluarga meninggal? Sepanjang hidup akan kata, "tiada pengganti untuk dirinya".

Bila waktu wajib hubungan kita dengan Allah perlu dilaksanakan, tetiba dengan senang hati kita melengah-lengahkan solat tapi at the last, bila jatuh kepapaan ataupun musibah, baru nak merangkak-rangkak mencari Nya..

Pengajaran of the story:

  • Jaga hubungan kita dengan Allah dengan sebaik-baiknya, kerana Dialah tempat kita dicipta. Bukannya dengan orang "berpangkat" mahupun mempunyai kepentingan.
  • Bina hubungan keluarga dengan baik. tapi bukanya menghancurkan keluarga.
  • Jadilah suami yang baik dan MAMPU mendidik keluarga kearah Nya.
  • berlatih menjadi diri sendiri. Jangan menjadi talam 2 muka.

Read more...

Kehidupan Memburu Keseronokan Musnahkan Generasi Muda

Wednesday, April 20, 2011




REALITI kehidupan hari ini menunjukkan di mana-mana, termasuk di negara kita seperti wujud satu bentuk kekeliruan di kalangan generasi muda berkaitan pengamalan nilai baru yang menerjah kehidupan mereka. Proses pengaliran nilai baru ini berlaku begitu pantas melalui kepesatan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Anak muda yang tidak kukuh iman dan jati diri akan mudah menerima nilai kebebasan yang merosakkan kehidupan mereka. 

Nilai kebebasan yang dibawa fahaman ’liberalisme’ di era globalisasi ini menjadikan generasi muda kita terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh merosak dan memusnahkan jati diri anak bangsa kita. Falsafah liberalisme mengutamakan kebebasan sepenuhnya kepada individu tanpa batasan.



Kehidupan memburu keseronokan atau hedonisme tanpa batasan yang kononnya dikaitkan dengan sikap keterbukaan dan kebebasan kini menjadi budaya yang membimbangkan kita. Apa tidaknya, pelbagai gejala sosial yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kesan daripada budaya hedonisme yang mampu menghancurkan akal budi anak muda kita.
Pelbagai masalah sosial yang berlaku itu menunjukkan bahawa generasi muda kita semakin ketandusan nilai kerohanian dan adab yang seharusnya mereka miliki selaku khalifah di muka bumi ini. Walaupun masalah sosial di kalangan generasi muda kita belum begitu parah, ia tetap membimbangkan kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan gejala negatif ini semakin berkembang, khususnya di bandar besar. 

Pernah satu kajian dijalankan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haslinda Abdullah, pada 2009 terhadap sekumpulan remaja berisiko di sekitar Lembah Klang mendapati hampir separuh daripada 270 remaja yang disoal selidik terbabit dalam pelbagai aktiviti dilarang adat, budaya dan agama. 

Sebenarnya, mereka yang lemah jati diri itu cenderung memiliki ‘minda terjajah’ atau ‘minda tertawan’. Individu yang memiliki minda tertawan ini akan menjadi kagum dengan nilai kemodenan dan kebebasan tanpa menilai buruk baiknya. Justeru, mereka mudah meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan yang dibawa fahaman yang boleh mengheret kehidupan mereka ke arah kehancuran. 

Apa yang saya sebutkan ini tidak bermakna kita perlu menolak secara mutlak segala yang datang dari luar tamadun dan peradaban kita. Masyarakat wajar mengambil yang terbaik daripada globalisasi tetapi pada masa sama kita perlu mempertahankan nilai dan budaya bersifat positif yang selama ini menjadi elemen penting dalam pembentukan jati diri kita. 


Sebagai warga negara, kita perlu memupuk nilai positif yang dapat membantu secara dinamik proses pembinaan negara–bangsa yang mantap. Asas pembinaan jati diri kita sudah ada iaitu Rukun Negara yang kukuh dengan nilai 1Malaysia. 

Justeru, Penghayatan terhadap Rukun Negara dan nilai 1Malaysia secara mantap dan penuh sedar mampu menjadi pendinding generasi muda kita. 

Jika kita amati dan hayati, kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu adalah sesuatu yang sangat dekat dengan tradisi dan budaya masyarakat kita. Pegangan yang kukuh terhadap lima prinsip Rukun Negara akan dapat memenuhi aspirasi 1Malaysia yang bertujuan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan seterusnya menjadikan negara ini maju menjelang 2020 nanti. 



Sumber : Berita harian Online

Read more...

Menilai Jenis Pemimpin

Friday, April 8, 2011



Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

MEMINJAM kerangka analisis kepimpinan yang dirumuskan oleh Dr. Azizan Bahari, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia memberikan kita ilham bagi memilih jenis pemimpin yang bakal memimpin kita.

Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.

Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.

Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.

Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.

Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.

Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.

Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.

Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.
Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.

Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).

Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.

Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.

Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).

Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.

Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islamiyah Malaysia (Yadim).

Sumber : Berita Harian Online

Read more...

Motivasi Pelajar Kurang Cemerlang

Saturday, March 26, 2011



DI sebalik kegembiraan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambut kejayaan, kita sering terlupa sebelah sisi lain iaitu mereka yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya.


Apakah sudah tiada esok dan harapan buat mereka? Saya sendiri pernah mengalami nasib yang sama dan saya pernah mengasingkan diri kerana malu.


Oleh itu, saya mencadangkan agar mereka yang kurang cemerlang dalam SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya dan cemerlang dalam SPM juga perlu mendekati golongan ini untuk memberi semangat dan bukan hanya bergaul sesama mereka sahaja.

Ahli keluarga dan saudara mara pelajar cemerlang juga tidak harus mencemuh mereka. Pelajar terbabit perlu disedarkan bahawa kegagalan dalam sesuatu hal adalah proses kehidupan dan bukan berakhirnya satu kehidupan.

Bantulah mereka untuk bangkit semula daripada kegagalan dan percayalah ada hikmah dan rahmat di sebaliknya kerana mereka ialah golongan yang ‘terpilih’ dan amat ‘bertuah sekali.’ Ingatlah pesanan daripada Christopher Columbus: ‘‘Anda tidak perlu malu kerana gagal’’.

ARMAN SHAH MOHD. SAHAR
Masjid Tanah, Melaka

Read more...

Nilai Murni Masyarakat Ukur Kemajuan Negara

Tuesday, March 22, 2011





KEMPEN peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberikan keutamaan dan dijadikan agenda utama negara ketika kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020. 

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.



Negara kita perlu memiliki rakyat berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta berintegriti kerana sistem nilai itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju. Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tanpa sistem nilai sewajarnya. 

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menjaga dan menghargai segala kemudahan yang disediakan. 

Ini dapat dibuktikan dengan beberapa tabiat negatif seperti membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan. 

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita perlu sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa. 
Contohnya, masih ramai murid sekolah atau pelajar serta petugas di kaunter belum membiasakan diri menggunakan kata bersopan seperti terima kasih atau ucapan selamat. 

Pelajar perlu diberikan pendedahan lebih kerana pada usia muda mereka lebih mudah dibentuk seperti pepatah ‘meluntur buluh biarlah dari rebungnya’. 
Pelajar harus dididik untuk menjadi bangsa bermaruah, melalui sistem hidup sederhana dan tahu menghargai budi. 

Masalah atau gejala sosial yang berlaku pada hari ini, jika diperhatikan amat berkait rapat dengan nilai hidup sesebuah masyarakat, keluarga atau individu. 

Dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin serta mengawasi anak dan pada masa sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga harmoni.

Dalam meningkatkan kekuatan keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani masalah sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan serta penerapan nilai murni haruslah dititikberatkan. 

TAN SRI LEE LAM THYE,
Taman Maluri, Kuala Lumpur.
 

Read more...

Rahsia Wanita Jepun Kurus dan Ramping

Tuesday, February 15, 2011



Diet dan pemakanan sihat merupakan azam tahun 2010 buat saya. Sebenarnya kalau diikutkan berat badan 60kg+ ditambah dengan ketinggian 162cm, saya tidaklah mencapai tahap obesiti tetapi saya hanya inginkan tubuh yang sihat dan cerdas untuk kekal aktif dan cergas dalam melakukan aktiviti harian.

Sebenarnya diet bukan sekadar untuk kurus dan cantik, tapi lebih penting dari itu ialah mempunyai tubuh badan yang sihat. Bila tubuh badan sihat, maka minda lebih cerdas dan positif. Seperti pepatah Arab ada mengatakan " Akal yang cerdas datangnya dari badan yang cergas."Selain dari itu, urusan ibadat menjadi lebih bermakna. Apatah lagi  untuk melunaskan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Justeru..nak merealisaikan impian itu, bila ada masa-masa terluang pasti saya akan cari maklumat-maklumat pasal diet di internet. Banyaklah juga info yang saya dapat. Antaranya rahsia pemakanan wanita Jepun yang menampilkan badan mereka  yang kekal kurus, ramping dan sihat. Saya petik artikel ni dari Harian Metro untuk dikongsi bersama teman-teman yang juga mempunyai impian yang sama..

TABIAT makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai pelosok dunia.

Antara tabiat pemakanan yang sering menjadi tumpuan adalah diet warisan masyarakat Asia khususnya di Jepun, China, Korea, Vietnam, Thailand dan India manakala di Eropah, cara tradisional pemakanan masyarakat Perancis turut menjadi perhatian.

Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don’t Get Old or Fat, menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit itu yang muda bertenaga. Dia bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja, menikmati masakan rumah cara Jepun.

Dia juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis makanan disediakan di rumah.

Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat, Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak menikmati makanan Amerika.Dia dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun.Lebih langsing dan bertenaga, dia berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo.

Rahsia pertama, makanan yang menjadi keutamaan termasuk ikan, soya, nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kedua, sajian makanan adalah kecil.
Ketiga, sup miso menjadi sajian sarapan utama.
Keempat, memasak secara sederhana. Kelima, nasi menggantikan roti.
Keenam, hanya jamah makanan pencuci mulut.
Ketujuh, wanita Jepun lazimnya tidak mengamalkan diet sebaliknya hanya makan apa saja yang digemari dalam jumlah sedikit.

Naomi mengakui masyarakat Jepun juga tidak makan hingga kenyang sepenuhnya kerana lazimnya mereka makan hingga 80 peratus kenyang.Mereka juga banyak berjalan iaitu mereka mengambil peluang untuk berjalan ke mana saja.

“Makanan Jepun memberi tumpuan terhadap tenaga makanan yang dihasilkan dalam saiz yang memuaskan. Tidak perlu masak cara Jepun untuk menikmati asas diet yang menyihatkan, hanya makan lebih ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambah beberapa pilihan menyihatkan seperti taufu dan nasi,” kata Naomi.

Menurutnya, cara hidup dan diet itu juga membuatkan masyarakat Jepun baik lelaki atau wanita, hidup lebih lama dan sihat.Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat wanita dan lelaki Jepun adalah 86 serta 79 tahun berbanding warga Amerika, 80 tahun (wanita) dan 75 tahun (lelaki).

Selain itu, masyarakat Jepun mencatatkan kadar obesiti paling rendah di kalangan negara maju iaitu kira-kira tiga peratus berbanding 11 peratus untuk Perancis dan 32 peratus Amerika.“Mungkin ramai yang kata ia sebahagian daripada genetik kami, tetapi apabila orang Jepun mula mengamalkan cara pemakanan Barat, mereka cepat mengalami pertambahan berat badan,” kata Naomi sambil menambah petua, seseorang itu harus makan dengan mata.

Menurutnya, keajaiban makan cara Jepun adalah keseimbangan yang menyihatkan dari segi inti makanan serta menyajikan makanan lazat yang rendah kalori.Di samping itu, makanan harus disajikan cantik menerusi jumlahnya yang kecil dalam pinggan kecil molek.

“Menerusi cara itu, ia menggalakkan seseorang untuk ‘makan dengan mata’ dengan menikmati keindahan makanan. Hasilnya, kita akan makan dengan perlahan untuk menikmati setiap gigitan.“Ini juga bermaksud, seseorang itu akan makan dalam jumlah yang sedikit kerana ia memberikan masa kepada otak untuk sedar bahawa tubuh kita sudah kenyang,” katanya.

Menurutnya, secara purata masyarakat Jepun makan kira-kira 25 peratus kurang kalori setiap hari berbanding warga Amerika. Makan hanya lapan peratus kurang daripada jumlah kalori setiap hari sambil meningkatkan aktiviti fizikal secara sederhana, mungkin memadai untuk menggalakkan usia yang lebih panjang, menurut penyelidikan Kolej Perubatan Universiti Florida.

Diet Jepun juga banyak pengambilan nasi iaitu kira-kira enam kali ganda lebih banyak daripada jumlah diambil seseorang yang mengamalkan pemakanan di Amerika. Di Jepun, semangkuk kecil nasi dihidangkan bersama hampir semua sajian termasuk sarapan. Karbohidrat kompleks yang rendah lemak itu memang mengenyangkan justeru, seseorang itu kurang keinginan untuk makan makanan berlemak seperti biskut dan pastri.

Menurut Naomi, masyarakat Jepun juga gila makan sayur. Sayur-sayuran seperti lada benggala merah, lada benggala hijau, kacang hijau, terung, bawang, tomato, kobis, lobak merah, bayam, pucuk rebung, akar teratai, cendawan shitake, kentang manis serta rumpai laut adalah antara yang digemari dalam pemakanan Jepun.

Malah, tiada siapa fikir ia sesuatu yang ganjil apabila mereka menyediakan sup sayur-sayuran atau salad untuk sarapan. Sayur-sayuran itu biasanya disediakan dengan rebusan berperisa, tumis bersama minyak kanola atau dikukus perlahan, semua kaedah itu mengekalkan jumlah khasiat yang maksimum.

Ikan seperti salmon, tuna, makerel dan sardin adalah sumber penting asid lemak omega-3 yang dikenali kerana manfaat kesihatannya untuk jantung. Cuma, diet Jepun mungkin mengandungi sodium yang tinggi, justeru kurangkan pengambilannya terutama di dalam sos soya atau teriyaki atau menggunakan sos berkenaan dalam jumlah yang kecil.

Rahsia diet masyarakat Jepun itu jika diteliti, sesetengahnya ada persamaan dengan tabiat pemakanan yang diwarisi secara tradisional oleh masyarakat Perancis. Seperti diketengahkan penulis Mireille Guiliano yang menghasilkan buku yang cukup laris beberapa tahun lalu, French Women Don’t Get Fat, ada sesuatu yang harus dipelajari daripada sikap orang Perancis terhadap makanan.

Baginya, seseorang itu harus menikmati makanan, bukannya takutkan makanan.Masyarakat Perancis rata-rata bukan saja menikmati makanan mereka, tetapi pada masa sama, mengawal berat badan menerusi perubahan kecil dalam tabiat pemakanan. 

Mireille mengakui wanita Perancis biasanya makan mengikut waktu. Mereka juga tidak kisah mengenai jumlah kalori makanan sebaliknya menjalin hubungan yang seimbang dengan makanan. Ini bermakna seseorang itu harus memberi penekanan terhadap kualiti, bukannya kuantiti dan belajar untuk makan secara perlahan supaya dapat menikmati makanan, sekali gus mengelak tabiat makan dengan gelojoh.

Baginya, seseorang itu boleh menikmati apa saja makanan, tetapi ia harus secara sederhana.

Makanan Perancis biasanya mengandungi beberapa hidangan, tetapi sajiannya kecil dan makanan berkenaan berkualiti tinggi. Saranan Mireille, menikmati secubit coklat berkualiti tinggi adalah lebih memuaskan selera daripada sekeping coklat bersaiz besar.

Keseimbangan dimaksudkan penulis ini bukan saja membabitkan makanan, tetapi aspek lain. Misalnya, jika seseorang itu menikmati pencuci mulut ketika makan tengah hari, dia lazimnya memilih hidangan makan malam yang agak ringan atau bersenam dengan berjalan sekeliling kediaman.

Meskipun tiada kajian saintifik disentuh dalam bukunya, penyelidikan perubatan turut menyokong hasil tulisan wanita yang mencecah usia 60 tahun ini. Kajian Universiti Pennsylvania, Amerika misalnya mendapati meskipun kebanyakan makanan Perancis mempunyai kandungan lemak yang tinggi, masyarakat Perancis biasanya menikmati saiz hidangan yang lebih kecil dan kebanyakannya mengambil jumlah kalori yang lebih sedikit berbanding kebanyakan masyarakat AS.

Read more...

Ibu Bapa Digalak Pelajari Matematik Bantu Anak Berfikiran Kritis

Thursday, January 6, 2011

PERSEPSI ibu bapa mengenai matematik banyak mempengaruhi cara mereka menyelesaikan masalah matematik anak. Jika ibu bapa melihat matematik sebagai aktiviti menghitung saja, maka ada antara mereka tergesa-gesa menghantar anak ke pusat pembelajaran mental arithmetic tanpa memikir cara lain mengatasi masalah berkenaan. 

Ramai ibu bapa yang menghantar anak mempelajari mental arithmetic atau kaedah kira cepat lain mendapati anak pandai mengira, tetapi kebanyakannya gagal menyelesaikan masalah berbentuk ayat dan gambar rajah. Amat aneh jika pelajar lemah Matematik.



Hakikatnya tiada bukti mengaitkan penguasaan mental arithmetic dengan kebolehan menyelesaikan masalah matematik berbentuk ayat, gambar rajah atau simbol.


Penulis percaya ibu bapa boleh selesai sendiri masalah penghitungan tanpa perlu bersusah payah mengeluarkan banyak wang hanya mempelajari mental arithmetic. Dalam soalan penghitungan membabitkan operasi tambah dan tolak, perhatikan apakah nombor yang sukar ditambah atau ditolak. 

Misalnya anak kita tiada masalah menambah 5 dengan 10 tetapi menghadapi masalah menambah 5 dengan 9. Maka latihan membabitkan nombor ini perlu diberi. Begitu juga dengan nombor lain seperti 6 dan 9, 7 dan 9 serta 8 dan 9. Ibu bapa juga boleh merancang soalan membabitkan operasi tolak seperti 15-9 dan 14-9. Selain melatih anak dengan soalan membabitkan lebih dari satu jawapan. 

Sebagai ibu bapa, kita juga harus kritis mengenai program Matematik anjuran sekolah. Misalnya ibu bapa seharusnya mempersoalkan kewajaran sekolah menjemput penceramah luar yang sekadar menerangkan teknik penghitungan sambil menjual buku pada anak kita, pada hal tahap ilmu disampaikan adalah ilmu asas Matematik dan seharusnya semua guru Matematik berkebolehan menyampaikan ilmu ini secara kreatif. 

Namun, jika program matematik membabitkan aktiviti membina pemikiran matematik, kritis dan kreatif dalam Matematik atau program problem solving yang guru tidak mampu melaksanakannya, maka tindakan menjemput penceramah luar adalah wajar. 
Selain membina kemahiran anak kita berfikir dalam matematik, guru juga berpeluang mendapat pendedahan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik untuk meningkatkan kualiti pemikiran dan pengajaran mereka. 

Ibu bapa juga boleh membuat cadangan supaya guru Matematik khususnya di sekolah rendah, mengendalikan beberapa bengkel pendidikan matematik untuk ibu bapa. Di Amerika, program ini dikenali sebagai family maths bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa bagaimana membina kemahiran berfikir secara Matematik di kalangan anak. 

Dengan ini mereka akan lebih kreatif dan kritis dalam menyelesaikan pelbagai masalah matematik termasuk masalah berbentuk ayat, gambar rajah selain masalah penghitungan. 

Sekiranya guru tidak mampu mengendalikannya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru harus mengambil inisiatif menjemput penceramah yang pakar dalam membina pemikiran Matematik mengendalikan bengkel begini. 

Sudah sampai masanya ibu bapa menyedarkan sekolah dan guru supaya melihat proses mendidik anak dalam matematik bukan sekadar menumpukan kepada program motivasi, kelas bimbingan dan seminar peperiksaan tetapi problem solving yang antaranya membina kemahiran berfikir secara matematik sekali gus membolehkan anak kita berfikir secara kritis dan kreatif dalam Matematik. 

Selain cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa juga boleh membantu anak membudayakan matematik dengan mengaitkannya dengan kehidupan. Misalnya, ibu bapa boleh meminta anak membandingkan perbelanjaan keperluan makanan sekeluarga setiap bulan dengan keperluan lain dan membuat cerapan (observation) dan kesimpulan kenaikan dan penurunan perbelanjaan pada bulan tertentu. 

Aktiviti ini dapat melatih anak membentuk pemikiran Matematik kerana cerapan, mengesan pola (di sini pola perbelanjaan) dan membuat kesimpulan berasaskan data (bentuk perbelanjaan) diperoleh adalah satu pendekatan dalam pemikiran Matematik. 

Ibu bapa boleh memikirkan pelbagai aktiviti lain untuk mengaitkan pemikiran matematik dengankehidupan. Namun, untuk lebih berkesan, ibu bapa harus mempelajari asas kemahiran berfikir secara matematik, pemikiran kritis dan pemikiran kreatif untuk membolehkan mereka menerapkan kemahiran ini kepada anak dengan lebih berkesan. 

Selain mendidik anak berfikir melalui matematik dan bukan menyempitkan persepsi anak mengenai matematik kepada nombor penghitungan dan peperiksaan saja. 

Penulis ialah penyelidik bebas dan pernah berkhidmat di Institut Sains Matematik Universiti Malaya. 

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP