Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label Pendapat Mansuh UPSR. Show all posts
Showing posts with label Pendapat Mansuh UPSR. Show all posts

ABIM Sokong Format Baru UPSR, PMR

Tuesday, October 19, 2010

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan menyokong penuh langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan format baru terhadap peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran, baru-baru ini. 


Pengenalan format baru peperiksaan ini dilihat satu langkah penting terhadap proses pembaharuan sistem pendidikan negara yang kini lebih berorientasikan peperiksaan.

Menerusi format baru peperiksaan ini, penilaian ke atas pencapaian seseorang pelajar tidak lagi tertumpu kepada aspek kecekapan dalam menjawab soalan peperiksaan saja, tetapi proses penilaiannya akan lebih menyeluruh.

Sebagaimana yang sudah diumumkan, penilaian pencapaian pelajar menerusi format baru akan dibahagikan kepada dua aspek iaitu aspek peperiksaan di peringkat kebangsaan dan dalam masa yang sama ialah penilaian berasaskan sekolah. 

ABIM berpendapat langkah pembaharuan ini tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan dunia ketika ini yang penuh dengan persaingan. 

Oleh itu, usaha membangunkan generasi pelajar yang berkualiti bagi menghadapai persaingan dunia pada masa ini menuntut suatu proses pendidikan yang bersifat sepadu atau holistik. 

Pembaharuan sistem peperiksaan adalah antara langkah yang amat strategik bagi mencapai cita-cita ini. 

Pembaharuan sistem peperiksaan ini juga amat penting bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. 

Sebagaimana kita sedia ketahui, falsafah pendidikan negara amat menitikberatkan pembangunan insan yang menyeluruh mencakupi aspek akaliah, ruhaniah, emosi dan jasmani. 

Semua masyarakat harus menyokong pembaharuan ini kerana ia akan memberi kesan positif terhadap pembangunan pelajar. 

Apa yang lebih penting, pengenalan format baru ini akan mendorong kepada perubahan budaya pembelajaran di sekolah ketika ini. 

Kita yakin, sekiranya budaya kreatif dan inovatif dapat dipupuk secara berterusan dan menyeluruh, ia bakal melahirkan satu kualiti generasi Malaysia yang utuh dalam segenap aspek kehidupan. 

Ia juga dapat membentuk insan berkeyakinan tinggi bagi menghadapi cabaran. 
MUHAMAD RAZAK IDRIS, 
Presiden ABIM.
 

Read more...

Model Baru Peperiksaan Perkasa Pendidikan

Tuesday, October 12, 2010

Perubahan format UPSR, PMR mampu lahir generasi lebih berkemahiran, berakhlak


SELEPAS tiga bulan berpolemik dan tiga rundingan meja bulat, Kementerian Pelajaran kelmarin mengumumkan tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diubah format baru, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.



Bagaimanapun, sistem penilaian baru itu hanya boleh dilaksanakan paling awal enam tahun lagi bagi mengelak pelajar dalam sistem peperiksaan sekarang dibebani dengan format baru. Ini bermakna murid yang memasuki sekolah tahun depan dijangka menduduki format baru UPSR, manakala pelaksanaan ujian baru menggantikan PMR mungkin bermula lebih lewat daripada tarikh itu. Perubahan format kedua-dua peperiksaan ini turut membabitkan perubahan kurikulum, buku dan latihan untuk guru.

“Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan, manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah. Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai,” kata Muhyiddin.

Pengumuman Muhyiddin itu melenyapkan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mahu sistem peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian pelajar terutama selepas enam tahun bersekolah dikekalkan. Peruntukan 40 peratus penilaian UPSR berdasarkan kurikulum atau sivik diharap boleh melahirkan pelajar bukan hanya dianggap cemerlang apabila mendapat markah tinggi dalam bidang akademik tetapi juga hebat bersukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Begitu juga dengan PMR, yang format barunya nanti membabitkan penilaian terhadap pencapaian pelajar dilakukan pada peringkat sekolah seperti dilaksanakan secara percubaan di 550 sekolah sejak dua tahun lalu. Dalam kata lain, selepas ini hanya ada dua peperiksaan utama iaitu UPSR pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.


Walaupun butiran terperinci mengenai format baru kedua-dua peperiksaan itu belum umumkan, yang pasti sistem persekolahan kita selepas ini tidak lagi berasaskan peperiksaan semata-mata. Penilaian berasaskan sekolah membolehkan guru menilai sebarang kegiatan sesuai yang bukan akademik untuk dilakukan pelajar, terutama aktiviti membabitkan pembinaan sahsiah, adab, akhlak dan kemahiran sosial. Dengan itu, pelajar dan guru tidak lagi menumpukan perhatian kepada peperiksaan umum, semata-mata tetapi lebih kepada proses mendidik pelajar menjadi manusia berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Begitupun, perubahan format baru kedua-dua peperiksaan ini turut memerlukan perubahan sikap serta pemikiran guru dan ibu bapa. Di pihak guru, kementerian boleh menyediakan kursus, latihan dan motivasi supaya mereka bukan saja dapat melaksanakannya dengan berkesan tetapi mampu menjadikan sistem baru ini lebih menyeronokkan pelajar.

Yang agak sukar ialah di kalangan ibu bapa kerana sejak sekian lama, ramai yang terlalu taksub untuk memastikan anak mereka mendapat straight A sehingga sanggup berbelanja beratus ringgit menghantar anak ke kelas tuisyen mulai Tahun Satu lagi. Ada kerajaan negeri yang menyediakan puluhan ribu ringgit bagi memberi ganjaran kepada murid yang mendapat 5A dalam UPSR.

Barangkali selepas ini, duit yang dibelanjakan untuk tuisyen itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sukan, karya sastera, peralatan kemahiran hidup dan pelbagai kelengkapan kokurikulum lain bagi membantu anak turut cemerlang dalam bidang itu.

Cara ini bukan saja membantu anak-anak belajar dalam suasana yang lebih menyeronokkan tanpa perlu dibebani peperiksaan tetapi melengkapkan diri mereka untuk melangkah alam pekerjaan dengan yakin serta menjadikan mereka manusia lebih berguna kepada masyarakat dan negara.


Berita Harian Online

Read more...

UPSR Kekal, PMR diganti Penilaian Sekolah

Sunday, October 10, 2010

Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikekalkan tetapi dengan sukatan pelajaran baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.
muhyiddin pc 200910 02"Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan."
Sementara itu, ketika mengumumkan keputusan kerajaan berkenaan, beliau yang juga adalah menteri pelajaran berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan dan diganti dengan penilaian peringkat sekolah bermula 2016.
Muhyiddin berkata ia hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.
Katanya, satu jawatankuasa penilaian telah dibentuk bagi mengkaji persekitaran semasa PMR dan mendapati penilaian peringkat sekolah lebih sesuai dan menjadi pilihan ramai.
missionary school 241207 students"Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di Sydney.

Muhyiddin berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga itu yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementeriannya.

Read more...

Format Baru PMR Baik Untuk Sistem Pendidikan

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Keputusan Kementerian Pelajaran tidak meneruskan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam format sekarang tetapi diubah kepada format baru melalui penilaian berasaskan sekolah merupakan langkah yang baik untuk masa hadapan sistem pendidikan negara.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, langkah untuk sangat tepat dengan keperluan semasa.
Katanya, tindakan mengekalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek juga perlu bagi menguji tahap pencapaian murid di sekolah rendah sebelum beralih ke sekolah menengah.


"Saya bersetuju UPSR dikekalkan tetapi kita tidak boleh semata-mata berharap kepada UPSR untuk mengukur pencapaian murid sekolah rendah, sebaliknya satu sistem pelaksanaan ujian yang dikendalikan oleh guru sekolah harus diterapkan.


"Justeru, kita perlu melahirkan golongan guru yang mampu melaksanakan satu sistem ujian di sekolah yang setaraf dengan UPSR bagi mengimbangi perubahan yang bakal berlaku dalam sistem pendidikan negara menjelang 2016," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.


Presiden Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim turut menyambut baik cadangan tersebut dan menganggap ia satu resolusi baru kepada pembangunan sistem pendidikan negara.


Katanya, ia langkah yang positif daripada pihak kerajaan dan berharap sistem pendidikan negara akan lebih stabil selepas ini.


Sementara itu, Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar pula meminta kerajaan memastikan kurikulum yang seragam dilaksanakan berikutan pembaharuan dalam sistem peperiksaan berkenaan.


"Satu sistem yang lebih memberi penekanan kepada aspek amali perlu dilaksanakan berbanding mementingkan teori seperti yang terdapat dalam PMR sebelum ini," katanya.

Utusan Malaysia Online

Read more...

Format baru UPSR, PMR

Ujian pertama diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016

FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah.
“Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia.

“Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian. 
Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

“Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

“Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya.

Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu.

“Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” katanya. 

Read more...

Keputusan Mansuh UPSR, PMR Lepas Rundingan Ketiga

Sunday, September 5, 2010

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Keputusan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan hanya akan dibuat selepas persidangan meja bulat kali ketiga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini merupakan peringkat terakhir sebelum kerajaan memuktamadkan cadangan tersebut.
Katanya, Kementerian Pelajaran masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut, hanya satu peperiksaan atau tidak memansuhkannya sama sekali.


"Saya telah diberi taklimat mengenai hasil rundingan meja bulat kali kedua yang diadakan beberapa minggu lepas oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan banyak idea serta pandangan bernas yang diambil kira.


"Seterusnya saya telah arahkan Ketua Pengarah untuk adakan rundingan meja bulat yang ketiga dan ini adalah usaha di peringkat terakhir sebelum keputusan dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,'' katanya.


Muhyiddin bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di Stesen Sentral hari ini.


Mengulas paparan pergaduhan pelajar sekolah dalam Youtube yang disiarkan oleh akhbar The Star hari ini, beliau berkata:


"Saya dimaklumkan klip video ini telah dipos pada 2006 dan kejadian ini telah lama berlaku iaitu empat atau lima tahun lepas.


"Walau apa pun perbuatan seperti ini tidak boleh berlaku dan kita ada peraturan serta tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap pelajar yang cetuskan pergaduhannya.''


Beliau berkata, paparan klip video itu tidak boleh digunakan sebagai bukti perbuatan melanggar disiplin di sekolah semakin berleluasa.


"Jangan ambil satu kes dan digunakan sebagai ukuran bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak berkesan dalam mengawal disiplin pelajar,'' ujarnya.


Utusan Malaysia Online

Read more...

Tambah Baik UPSR, PMR

Sunday, August 1, 2010

KEPUTUSAN muktamad belum lagi dirumuskan sama ada untuk mengekalkan UPSR dan PMR kerana itu hanya akan ditentukan Menteri Pelajaran dalam masa terdekat ini. 

Bagaimanapun diharapkan kedua-dua peperiksaan dikekalkan seperti pendapat kebanyakan orang bertujuan menjaga kualiti pendidikan di negara ini. 


Apa yang perlu ialah penafsiran semula seperti mengurangkan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan itu sendiri. Dalam UPSR, lima subjeknya wajib biar dikekalkan, tetapi dalam PMR subjeknya dikurangkan daripada lapan kepada lima iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama atau Sejarah sebagai subjek wajib.


Untuk SPM pula kekalkan 10 mata pelajaran saja. 

Dicadangkan juga murid sekolah rendah tidak perlu membawa buku teks ke sekolah dan boleh disimpan di kabinet khas atau dalam laci meja masing-masing. 
Begitu juga untuk sekolah menengah dan pelajar hanya perlu membuat kerja di rumah melalui online. 



SYED ABDULLAH SYED OSMAN,
Ampangan, Seremban. 


catatan : Berita Harian online

Read more...

Usah Mansuh UPSR, PMR

Wednesday, July 28, 2010

KETIKA ini sibuk diperkatakan mengenai sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pemeriksaan Menengah Rendah (PMR) patut dimansuhkan. Saya berharap pihak berkewajipan mendengar pandangan rakyat sebelum membuat keputusan. 


Kerajaan mempunyai kuasa untuk memutuskannya, tetapi kerajaan akan menjadi lebih bijaksana sekiranya mengambil kira pandangan yang diberi.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan perjumpaan antara pihak berkuasa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bagi membincangkan hal ini.
Saya ingin memaklumkan kepada pihak yang berkuasa supaya mengambil kira pandangan seorang murid Tahun Lima. Murid ini menyatakan kepada saya bahawa sekiranya tidak ada peperiksaan UPSR maka dia tidak akan belajar bersungguh-sungguh. 

Katanya lagi, dia tidak perlu belajar bersungguh-sungguh kerana tidak ada peperiksaan, dan dia tidak perlu bertanding dengan rakan sedarjah. 

Cubalah saudara tanya pula pelajar di Tingkatan Dua dan Tiga sama ada PMR patut dimansuhkan. Pandangan budak yang benar seperti ini perlu diambil kira

DATUK PROFESOR DR HASHIM YAACOB,

Petaling Jaya, Selangor. 

Read more...

Sidang Meja Bulat Mahu UPSR, PMR Ditambah Baik


PUTRAJAYA: Kebanyakan peserta yang hadir dalam perbincangan meja bulat kedua mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semalam, mahu kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan, tetapi perlu penambahbaikan.


Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata sistem dua peperiksaan itu perlu diubah bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

"Peperiksaan perlu ada untuk menilai apa yang diajar sebelum ini, tetapi bagaimana peperiksaan itu perlu dibuat perlu dibincang dan diberi perhatian.

"Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru," katanya selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, di sini, semalam.

Alimuddin bagaimanapun enggan memberi komen dan ulasan kepada pemberita yang menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Perbincangan meja bulat kedua itu berlangsung kira-kira empat jam dan dihadiri 75 peserta di kalangan tokoh pendidikan, wakil parti politik, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kementerian mengadakan dua rundingan meja bulat bagi membincangkan cadangan pemansuhan dan rumusannya akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal bulan depan.
Ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata kedua-dua peperiksaan itu perlu dikekalkan, tetapi pendekatan dan fungsi serta tujuannya perlu diubah.

"Dua peperiksaan ini sekarang berorientasikan peperiksaan rujukan norma untuk pemilihan dan perlu diubah kepada peperiksaan untuk menaksir prestasi pelajar berasaskan kriteria dan standard iaitu untuk menaksir sejauh mana pelajar menguasai pelajarannya dan mencapai tahap ditentukan.

"Jika dimansuhkan UPSR dan PMR, ia akan terlalu lewat untuk menaksir dan memantau taraf kualiti pendidikan di negara ini serta terlalu lewat untuk memberi peluang pelajar memperbaiki pembelajaran," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri Prof T Marimuthu, berkata kedua-dua peperiksaan khasnya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR.

"Kementerian tidak wajar membuat keputusan tergesa-gesa memansuhkan UPSR, sebaliknya perlu mengumumkan formula alternatif dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.


Berita Harian Online: 28 Julai 2010

Read more...

Kementerian Perlu Ada Formula Alternatif

PUTRAJAYA 27 Julai - Kementerian Pelajaran digesa menyediakan satu formula alternatif jika mahu memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa sama, timbul pandangan supaya kedua-dua peperiksaan itu tidak dimansuhkan sebaliknya penaksiran semula dibuat agar UPSR dan PMR dijadikan asas penilaian untuk menentukan kualiti pendidikan di negara ini.


Itu antara pandangan yang dikemukakan oleh panel Mesyuarat Sidang Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR yang berlangsung buat kali kedua di sini hari ini.


Mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan yang perlu diteliti Kementerian Pelajaran sebelum keputusan pemansuhan dimuktamadkan.


Sejak cadangan pemansuhan disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai reaksi diterima daripada pihak berkepentingan. Namun, Sidang Meja Bulat pertama 20 Julai lalu cenderung ke arah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, ada peserta panel menolak pemansuhan dengan alasan perlu ada kaedah lain yang dapat menggantikan peperiksaan sedia ada.


''Ada yang setuju ada yang tidak, yang keduanya ada yang setuju tapi mereka kata ada kelemahannya maka kita ubah suai, ada yang nyatakan kita hapus UPSR tapi jangan PMR dan sebaliknya.


''Jadi macam-macamlah, tadi kita tidak bincang tentang keputusan, cuma masing-masing beri pandangan tersendiri, mungkin kementerian hendak adakan perbincangan selepas ini untuk buat tapisan," kata Abdul Rahman kepada pada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.


Menurut beliau, terdapat cadangan agar kemahiran teknikal diperkenalkan selepas UPSR tanpa perlu menunggu selepas tingkatan empat kerana masanya terlalu singkat.


Pada mesyuarat hari ini, seramai 75 orang yang mewakili parti politik, media, institusi pengajian tinggi (IPT), tokoh pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan hadir pada sesi kedua Mesyuarat Sidang Meja Bulat berkenaan.
Pertemuan empat jam itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan semua yang hadir turut diberi taklimat berhubung matlamat asas UPSR dan PMR oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datuk Dr. Salbiah Ismail.


Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya.


''Ini kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.


''Jadi, kita kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan norma yang sedia ada di samping mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan (education and exam for selection) seperti sekarang," katanya.
Ishak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan 'standard-based assesment' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.


''Atau pun mansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran. Namun dalam soal ini tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan," katanya.


Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua pula berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.


''Jadi, sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lantas mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.
Kata Chin Chua, Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR.


Malahan kementerian seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh dan seterusnya menggubal satu formula alternatif yang diterima secara umum.


''Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri T. Marimuthu berkata, kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.


''Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.


Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.
Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2010

Read more...

Pemansuhan Peperiksaan Tak Boleh Selesai Masalah

PELAJAR negara ini cukup sinonim dengan peperiksaan dan dianggap tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan individu serta institusi pendidikan.


Peperiksaan menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.

Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.


Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya? Profesor Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron berkata, peperiksaan sedia ada tidak perlu dimansuhkan supaya tahap penguasaan dan pemahaman pelajar boleh dinilai.


Menurutnya, peperiksaan adalah teras dalam menentukan institusi persekolahan sudah bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi melancarkan proses pembelajaran.




Memansuhkan peperiksaan tidak boleh menyelesaikan masalah. Perkara yang perlu diperbetulkan adalah pelaksanaan sistem pendidikan bagi melancarkan proses pemberian dan penerimaan ilmu.

"Menilai kesediaan dan mengukur prestasi pelajar adalah menerusi peperiksaan. Melalui cara ini, institusi pendidikan boleh membuat kesimpulan sama ada proses pendidikan diterima berjaya atau sebaliknya," katanya.


Falsafah pendidikan menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran pada tahap dijangkakan).


Menurutnya, jika pelajar boleh memberi tindak balas positif terhadap kaedah asas itu, bermakna mereka berkemampuan menjalani proses pembelajaran.


Justeru, masyarakat perlu jelas dan memahami matlamat utama peperiksaan serta tidak melihatnya sebagai mekanisme menyusahkan pelajar.


"Sebahagian besar masyarakat mengaitkannya sebagai tekanan akademik, bebanan yang merosakkan pembangunan modal insan serta sosial. Lihat peranan dan kepentingannya dalam melaksanakan falsafah pendidikan negara.

"Juga nilai kesediaan pelajar secara berperingkat terhadap proses pembelajaran supaya dapat memperbaiki pencapaian, " katanya.


Beliau mengakui sistem pendidikan negara juga perlu lebih anjal dan menggunakan mekanisme pendidikan berbeza seperti yang dilaksanakan negara maju.


"Negara seperti Korea menilai tahap pelajar menerusi peperiksaan khas dengan penentuan kelas mengikut tahap kesediaan, selain melakukan pemantauan berkala bagi melihat peningkatan," katanya.


Dr Isahak berkata, kaedah itu diperakui, malangnya tidak dipraktikkan di negara ini mengakibatkan pelajar lemah terus ketinggalan.





Tiada istilah pelajar gagal dalam falsafah pendidikan dan masing-masing mempunyai keupayaan berbeza yang memerlukan lebih masa, bimbingan dan latihan bagi memantapkan pencapaian.

"Sistem pendidikan lebih fleksibel berdasarkan minat, kebolehan dan bakat perlu diwujudkan supaya pengakhiran proses pembelajaran mampu mencapai sasaran.


"Jika peperiksaan ingin dimansuhkan, pastikan wujud sistem pendidikan lebih berkualiti dengan penjanaan pelbagai program alternatif seperti melaksanakan ujian mudah berkala.


"Keputusan ujian juga perlu dihebahkan untuk tatapan umum supaya masyarakat boleh melihat prestasi semasa. Sebarang pendekatan sekali pun, perlu ikut kemampuan pelajar," kata Dr Isahak.



catatan : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
http://www.hmetro.com.my

Read more...

Kekalkan UPSR, PMR

Monday, July 26, 2010

NGO Melayu mahu pendekatan tidak berorientasi peperiksaan diperkenalkan


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terus dikekalkan supaya rakyat serta kerajaan dapat memantau kualiti pendidikan asas pelajar. 

MPM berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dan penilaian selepas 11 tahun atau pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlalu lewat untuk menilai taraf kualiti pendidikan serta memberi peluang untuk pelajar membaiki pembelajaran mereka.


Pendirian itu akan disampaikan pakar rujuk MPM yang juga ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, dalam perbincangan meja bulat kedua Kementerian Pelajaran hari ini berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR.
Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad, berkata majlis itu berpendapat UPSR dan PMR tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya pendekatannya diubah supaya tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. 

Kita cadangkan pendekatannya diubah dengan menambah sistem penilaian kemahiran pelajar yang diukur berdasarkan standard yang ditetapkan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi setiap subjek. 

Ini bermakna pelajar tidak akan terlalu berlumba-lumba untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, tetapi turut memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal, katanya kepada Berita Harian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NGO di bawah MPM, semalam. 

Antara NGO yang menganggotai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia. 
Hasan berkata, kajian yang dijalankan Isahak juga menunjukkan beberapa negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom pernah melaksanakan sistem pendidikan tanpa peperiksaan, namun menukarkannya kembali kepada sistem peperiksaan yang ditambah dengan penilaian penguasaan kemahiran. 

Ini dapat membantu kita menilai kecenderungan pelajar sama ada lebih cenderung kepada akademik atau kemahiran agar kita dapat menentukan hala tuju pelajar berkenaan, katanya. 

Beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PMR juga akan menyebabkan guru, terutama di Tingkatan Lima tertekan kerana terpaksa menyediakan pelajar menghadapi SPM satu-satunya peperiksaan awam selepas 11 tahun pada peringkat sekolah. 

Pelajar pula akan belajar sambil lewa kerana setiap tahun dianggap tahun bulan madu kerana peperiksaan awam hanya dilaksanakan pada peringkat SPM, katanya. 



Berita Harian Online

Read more...

Falsafah Di Sebalik Pemansuhan UPSR

Oleh WAHID HASHIM

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.


Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.
Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.
Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.


Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.


Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.


Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.


Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.


Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.


Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.
Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.


Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.


Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.


Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.


Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.


Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.


Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.


Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.
Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010

Read more...

Patutkah UPSR dan PMR dimansuhkan?

Tuesday, July 20, 2010

SARANAN SALLEH

BANYAK perbincangan dan hujah diketengahkan untuk menyokong dan tidak menyokong pemansuhan UPSR dan PMR.Pada masa ini, kita tidak tahu apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pelajaran.Walau apa pun keputusan itu, kita percaya kerajaan tentu sekali akan mengambil kira kepentingan dan kemajuan negara.

Kita memang sedia maklum bahawa pelajar-pelajar kita terlalu mementingkan lulus peperiksaan sehinggakan kita melihat ramai yang berlumba-lumba untuk mendapat berapa banyak jumlah A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.Persoalannya, apakah sudah ada kajian dilakukan bahawa mereka yang mendapat banyak A itu baik untuk modal insan keseluruhannya.

Kita diberitahu bahawa tujuan pemansuhan kedua-dua peperiksaan peringkat kebangsaan adalah untuk mengubah tumpuan pendidikan daripada yang berorientasikan peperiksaan kepada sesuatu yang mengambil kira pembentukan insan yang mampu berfikir.Sebenarnya, kalau kita perhatikan lepasan universiti tempatan sendiri pun, ramai juga yang taksub dengan peperiksaan.Kita difahamkan seramai 30,000 graduan universiti kita masih lagi menganggur.

Tak tahulah bagaimana pecahan tahunan.Ertinya entah ada yang mungkin sudah bertahun sejak keluar dari universiti masih lagi menganggur.Kalau mereka yang lulus universiti masih ada yang tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan ramai juga yang kurang pengetahuan am mereka, apakah yang boleh kita rumuskan tentang pengajian mereka?Sekolah rendah dan menengah merupakan asas seperti bangunan tinggi, cerucuk yang perlu ditanam.Kalau asas bangunan ini lemah maka bangunan tinggi sekalipun tidak akan selamat.Kita lihat saja kurangnya tumpuan kita berikan kepada pendidikan vokasional sehingga menyebabkan kita kurang tenaga pekerja yang mahir.

Kini, baru kita sedar ia membuatkan rumit bagi kita untuk melonjak ke tahap pengeluaran yang lebih tinggi.Orientasi akademik yang diberikan tumpuan ini tidak menguntungkan kita sekarang, malah kita telah ketinggalan berbanding dengan mereka yang pada suatu masa dulu sama tahap dengan kita.Aset yang terpenting bagi mana-mana negara ialah modal insan.

Kita telah membawa corak pendidikan kita tidak lagi setaraf dengan negara-negara serantau.Lihat saja pencapaian pelajar 15 tahun kita dalam mata pelajaran sains dan matematik untuk tiga tahun berbanding dengan Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan di mana kita hanya mampu duduk di tangga kedua puluhan saja.Ini berdasarkan laporan Bank Dunia.Jangan sampai kita menafikan pentingnya laporan itu.Begitu juga dari sudut inovasi, kita kalah dengan negara Vietnam.
Apakah dengan adanya peperiksaan diperingkat sekolah saja kita akan dapat mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan? Sebabnya, soal pokok adalah bagaimana kaedah mengajar yang kita amalkan.

Ini tentu sekali bergantung kepada mata pelajaran, kandungannya dan kualiti tenaga pengajar.Kalau tujuan kita untuk mengubah kaedah pendidikan daripada yang memberikan tumpuan kepada peperiksaan kepada mewujudkan pelajar yang mampu berfikir, bukankah sebahagian besar daripada pengaruh untuk mencapai hajat itu terletak atas tenaga pengajar kita.

Katakanlah kita ingin mengubah tumpuan kepada melahirkan pelajar yang mampu berfikir dan katakanlah kita perkenalkan mata pelajaran yang dipanggil 'proses'.Mata pelajaran ini akan menunjukkan pelajar tentang bagaimana proses membuat atau mencapai sesuatu keputusan.Sebenarnya kita tidak pernah diajar langsung tentang ilmu proses.Kita hanya diberikan isi.Apa saja mata pelajaran yang kita ikuti dari darjah satu sehingga ke peringkat universiti, semuanya mementingkan isi.Kadang-kadang isi ini jauh daripada keadaan sebenar di luar sana atau keadaan sekeliling.
Berapa ramai daripada guru dan tenaga pengajar yang mampu mengajar 'proses?"Selain daripada pendekatan proses ini, 'pemetaan minda' seperti yang dipelopori oleh Tony Buzan wajar diberi perhatian.

Seseorang yang terpelajar tidak kira apa bidangnya sepatutnya dikatakan orang terpelajar kerana ia tahu mencari maklumat yang diperlukan atau mencari jawapan kepada apa-apa persoalan.Di sinilah yang kita maksudkan pelajar yang mampu berfikir.

Saya beranggapan meletakkan tanggung jawab peperiksaan kepada sekolah akan mewujudkan macam-macam masalah terutama unsur pilih kasih yang mungkin wujud.Diperingkat kebangsaan, guru yang memeriksa tidak tahu siapa pelajar yang kertasnya diperiksa.Kemudian dari segi pengurusan dan pentadbiran juga, mungkin menimbulkan masalah di sesetengah sekolah dan ini akan berlanjutan kalau tidak disedari oleh pihak kementerian.

Apa yang perlu diubah untuk mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan ialah sukatan pelajaran untuk sesuatu peringkat.Pelajar tidak perlu dibebankan dengan begitu banyak mata pelajaran, sebaliknya patut didedahkan dengan keadaan sekeliling seperti lawatan ke tempat bersejarah, institusi-institusi kerajaan yang penting, taman-taman seperti taman wetland, dan sebagainya.Guru-guru dan pendidik pula patut perlu diberikan latihan untuk mampu melakukan perubahan untuk mewujudkan modal insan yang mampu berfikir.

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP