Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label Kurikulum. Show all posts
Showing posts with label Kurikulum. Show all posts

Penilaian SAPS Banyak Kelemahan

Monday, September 5, 2011

SAYA ingin merujuk kepada surat bertarikh 30 Julai, 6 Ogos dan 22 Ogos lalu disiarkan akhbar ini berkenaan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Saya bersetuju dengan pandangan supaya SAPS ditangguhkan sehingga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Ungkapan yang dapat saya berikan untuk SAPS pada ketika ini ialah ‘belum matang’, seperti dinyatakan oleh Amran, Kuala Krai.

SAPS ialah sistem peperiksaan yang diwajibkan unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) KPM melalui surat siaran bertarikh 7 Jun 2011. Ia terangkum dalam Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) bertujuan menjadi pusat data sehenti yang diguna pakai di seluruh negara. Namun, sistem ini mempunyai banyak kelemahan.
Sehingga kini, banyak bahagian dalam sistem berkenaan masih bermasalah. Contohnya, menu Guru Kelas, Analisis Mata Pelajaran bagi tingkatan 4 dan 5 memaparkan sifar bagi semua medan. Menu Guru Kelas, Slip Keputusan Pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3, banyak maklumat tidak dipaparkan. 

Menu Guru Mata Pelajaran, pada paparan headcount, tidak dinyatakan dari mana datangnya AR1, AR2 dan AR3 dan tidak pula disenaraikan analisis bagi AR1-3 dan OTI1-3 pada bahagian bawahnya. 

Selain itu, SAPS juga didapati masih keliru mengenai pelaksanaan headcount. Bagaimanakah pihak NKRA meminta markah permulaan (TOV) untuk tingkatan peralihan, 1 dan 4 diambil daripada Ujian 1 sedangkan sekadar ujian bulanan dan meliputi satu dua topik saja. 
Di samping itu, dalam menu Setiausaha Peperiksaan, pada analisis headcount tidak dimasukkan ruang untuk AR, iaitu keputusan sebenar UPSR untuk sekolah rendah dan PMR, SPM untuk sekolah menengah. 
Ini membuatkan analisis headcount kurang sempurna disebabkan markah sasaran tidak dapat dibandingkan dengan AR. Perkara sama juga berlaku pada analisis headcount dalam menu Guru Mata Pelajaran. Tidak ada menu untuk kembali ke sesi sebelumnya. Ini bermaksud semua analisis, keputusan murid, headcount dan sebagainya perlu dicetak dan disimpan oleh pihak sekolah. Bukankah ini bercanggah dengan konsep tanpa kertas yang ingin diperkenalkan sistem ini. 

Perkara lebih serius ialah sistem ini tidak menyediakan data lampau. Apabila seseorang murid berpindah sekolah, datanya akan lenyap dari sekolah asal. Ini membuatkan analisis peperiksaan menjadi tidak sah kerana bilangan murid sudah berubah. Guru pula terpaksa memasukkan markah sebanyak dua kali iaitu sekali pada SAPS dan sekali lagi pada sistem di sekolah kerana SAPS masih mempunyai banyak kekurangan dan pihak sekolah pula memerlukan analisis dan keputusan pantas. 

Guru TMK, 
Kedah.

Read more...

Topik Buku Teks BI Tak Menarik

Tuesday, August 16, 2011

KUALA LUMPUR: Buku teks Bahasa Inggeris (BI) terutama di sekolah rendah didakwa kurang menarik minat pelajar, sekali gus menjadi faktor mereka tidak mampu menguasai bahasa itu meskipun selepas 11 tahun belajar di sekolah.

Kandungan bahan juga dikenal pasti tidak mempunyai kesinambungan antara satu topik dengan yang lain mengakibatkan pelajar tidak faham, hilang fokus dan jemu seterusnya tidak berminat untuk belajar BI.


Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata bahan dalam buku teks sedia ada lebih sesuai untuk pelajar yang sememangnya datang daripada keluarga yang menuturkan BI di rumah. 

Bagaimanapun, katanya di Malaysia, kira-kira lebih 80 peratus pelajar tidak menjadikan pertuturan BI sebagai amalan. 

“Pendekatan ‘Communicative English’ (CE) yang menjadi bahan kurikulum dan kaedah pengajaran diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu kurang sesuai untuk keadaan sekarang kerana manfaat pendekatan itu lebih menjurus kepada pelajar dari negara yang sememangnya berkomunikasi dalam BI seperti Amerika Syarikat, England serta Australia,” katanya. 

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dilaporkan membuat penilaian semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.

 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah itu perlu kerana Kementerian Pelajaran meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. 

Isahak berkata, pendekatan CE kurang sesuai untuk diajar kepada pelajar di luar bandar kerana kegunaan atau fungsi BI tidak meluas untuk komunikasi, pelajar hanya belajar BI kira-kira sejam sehari dalam bilik darjah dan tidak menggunanya sebagai bahasa komunikasi dalam kehidupan di luar bilik darjah. 

Sebaliknya, katanya, modul pembelajaran dengan pendekatan alternatif iaitu bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content- ECC) lebih menarik dan mudah diterima pelajar. 

“Modul ini memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan budaya penggunaan bahasa. Terbukti, ia mudah dipelajari dan guru juga mudah menggunakannya sebagai bahan P&P apabila kajian dijalankan di UPSI. 

“Murid Tahun Satu pun seronok menguasai kosa kata menerusi ECC, mereka mampu memahami kira-kira lima perkataan asas BI dalam masa hanya 10 minit dan tidak hairanlah jika mereka boleh faham 300 perkataan dalam enam bulan serta boleh membaca buku cerita asas BI,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Bahasa dan Linguistik yang juga Pengarah Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Hajibah Osman, berkata penilaian itu perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti tenaga pengajar sama ada benar-benar sudah menguasai bahasa kedua itu dengan baik. 

“Cara penyampaian guru yang kreatif akan menarik minat pelajar kerana teknik pengajaran biasa akan membuatkan sesi P&P menjadi bosan seterusnya mengakibatkan pelajar tidak memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya. 

Berita Harian Online

Read more...

Sistem SAPS Banyak Masalah

Saturday, August 6, 2011


SAYA bersetuju dengan komen oleh ‘Norhisham Mohamad, Alor Setar’ mengenai Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) seperti disiarkan dalam ruangan ini pada 30 Julai lalu, bertajuk ‘kewujudan SAPS bebankan guru’. 


Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program ini susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.


Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar dari talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.


Kami baru diperkenalkan dengan sistem ini pada 25 Julai lalu. Sudahlah kami hanya diberikan modul saja tanpa diajarkan sistem ini sepenuhnya. Sistem ini hanya boleh dibuka bila tidak ramai orang dalam talian iaitu, biasanya selepas jam 3 pagi. 


Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian 1, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. 



Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. Sebenarnya sebelum menggunakan sistem SAPS yang diambil dari Perak, guru menggunakan sistem yang diambil dari Johor. Malangnya, apabila sistem baru diperkenalkan kami terpaksa melakukan pengisian markah sekali lagi. Ini sangat membebankan kerana terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali. 



Yang peliknya semasa taklimat kami diberitahu bahawa semasa menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’. 

Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai. 



Sebenarnya banyak lagi kelemahan lain dalam sistem ini. Sepatutnya pihak Kementerian Pelajaran terlebih dulu memastikan sistem yang ingin digunakan mestilah mudah dicapai pada bila-bila masa, cekap dan mesra pengguna. 



GURU TENSION,
Kajang, Selangor. 

Read more...

Transformasi Pendidikan Perlu Menyeluruh

Friday, April 8, 2011


GELOMBANG pendidikan yang dulunya berskala kecil, kini semakin berubah hingga menjadikannya pelaburan lumayan kepada industri dan institusi yang berani menyahut cabaran.

Dengan pelbagai transformasi global, pendidikan menjadi agenda baru kepada masyarakat dunia untuk mengangkat martabat kehidupan ke landasan penyebaran ilmu baru dan perkongsian maklumat terkini juga menyamaratakan taraf mutu pendidikan agar setara institusi lebih terkemuka.

Meskipun perubahan itu dicerminkan sebagai usaha proaktif dan positif, ada pula memberi reaksi kontra dengan tanggapan institusi hanya melakukannya akibat terpengaruh dengan budaya ikutan serta tidak mahu dianggap ketinggalan.

Institusi berkenaan dituduh sanggup memperjudikan nasib semata-mata ingin memahat nama di peringkat antarabangsa sedangkan tiada kemampuan melaksanakannya.


Itukah budaya yang sedang membelenggu institusi pendidikan dunia hari ini?
Rektor Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Profesor Dr Herry Suhardiyanto berkata, transformasi pendidikan perlu dinilai secara menyeluruh bagi menjadikannya kompetitif untuk memenuhi kehendak serta keperluan globalisasi.

Menurutnya, perubahan itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau hanya ikutan kerana membabitkan kapasiti keseluruhan institusi untuk diberi penilaian oleh masyarakat.

“Transformasi bermaksud sesebuah institusi itu bersedia melaksanakan perubahan lebih besar dan melakukan anjakan paradigma dalam semua segi. Dengan kata lain, bersedia melonjakkan kemampuan dan bersaing dengan institusi lain.

“Ini bukan tugas mudah atau semata-mata hanya mahu mewujudkan situasi ikutan. Setiap institusi perlu ada perancangan tertentu bagi pembangunan jangka panjang kerana perubahan itu tidak hanya tertumpu pada satu pihak, malah membabitkan satu organisasi.

“Justeru perancangan penting bagi menilai kemampuan sama ada sudah bersedia atau tidak. Namun keperluan dunia hari ini memang memerlukan institusi pendidikan melakukan perubahan bukan atas dasar glamor tapi penambahbaikan taraf serta mutu pendidikan masa depan,” katanya yang ditemui ketika Forum Presiden Universiti yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, baru-baru ini.

Majlis itu acara tahunan berprestij yang dianjurkan institusi pendidikan tinggi untuk membincangkan kepelbagaian isu pendidikan global oleh institusi pendidikan dunia dalam menentukan hala tuju institusi masa depan.

Transformasi pendidikan tidak hanya menyasarkan matlamat membina nama, status dan penjenamaan, malah memberi timbal balas kepada penjanaan kemahiran diri dan insaniah pensyarah-mahasiswa.

Era pendidikan dunia masa kini juga bukan lagi membudayakan kepelbagaian jurusan ilmu semata-mata, malah membuka pintu kepada jalinan kerjasama antara institusi merentasi pelbagai negara.

Dengan aspirasi memajukan pendidikan setara permintaan global, pelbagai institusi pendidikan terutama peringkat tinggi mula mencari rakan baru dan menjalin hubungan dua hala strategik bagi bertukar kepakaran serta teknologi.

Menjadikan program pengantarabangsaan sebagai asas lonjakan, institusi seluruh dunia mula melaksanakan pembaharuan dasar, utiliti dan mentaliti bagi memenuhi kapasiti permintaan yang semakin melonjak.

Katanya, perubahan itu bagi memenuhi kehendak permintaan dan penawaran global hingga institusi pendidikan perlu melakukan transformasi bagi menjadikan kemampuan lebih kompetitif serta mendapat pengiktirafan institusi lain.

“Dalam konteks pendidikan hari ini, siapa yang mahu menerima perubahan serta mempunyai visi jelas, akan muncul sebagai pemenang dan menjadi pilihan. Perubahan ini bukannya statik malah bergerak kepada satu matlamat sama.

“Mereka yang tidak berani berubah pasti tidak mampu bersaing. Masyarakat dunia hari ini suka menilai dan melihat pendidikan sebagai aset perlu ditambah setiap masa.

“Dengan kata lain, setiap institusi menjadikan kepakaran dan ilmu sebagai cagaran untuk mendapatkan pulangan dengan pendidikan global merentasi semua disiplin ilmu adalah sasarannya,” katanya menegaskan institusi pendidikan tidak boleh memberi penilaian terhadap kemampuan diri tapi perlu dinilai menerusi mata masyarakat.

“Tidak dinafikan ada institusi seolah-olah mendabik dada mengatakan dia yang terbaik, namun adalah lebih baik jika penilaian itu datang daripada masyarakat. Itu baru adil dan lebih diperakui.

“Namun, tidak salah institusi memberi kredit kepada diri sendiri sebagai perangsang untuk menjadikan institusi lebih fokus dan berdedikasi,” katanya.

Beliau mengakui ketaksuban dalam melaksanakan perubahan boleh mendatangkan impak sampingan yang boleh mendatangkan konflik dalaman kepada institusi dan warganya.

Ketidakupayaan pensyarah dan pelajar untuk memenuhi piawaian, katanya, bukan saja boleh menjejaskan emosi, malah menjadikan mereka keliru dan ketinggalan.
“Pastinya usaha melakukan transformasi gagal jika golongan ini tidak jelas mengenai matlamat institusi atau berasa ‘tertindas’. Sebagai tulang belakang, mereka aset penting yang perlu dihargai.

“Perancangan perlu dilakukan secara menyeluruh dan teliti dengan tidak meminggirkan pihak tertentu semata-mata teruja mencapai keinginan menjadi institusi terkenal. Jika silap percaturan, reputasi institusi akan tercemar sekelip mata dan mungkin sukar dipulihkan,” katanya.

PENDIDIKAN bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan sesebuah negara dari segi kualiti, kuantiti, standard dan kecemerlangan yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang
sesebuah negara atau

institusi membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis melalui aspek:
 

1. Pembangunan tenaga manusia
2. Kepesatan pertumbuhan ekonomi
3. Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
4. Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
5. Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
6. Pembangunan teknologi dan sains
7. Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.




  • Tiga bidang utama yang perlu dibangunkan untuk menuju universiti bertaraf dunia iaitu penyelidikan, kebebasan akademik dan kepemimpinan akademik.



  • Sumber : Harian Metro Online

    Read more...

    KSSR Kurangkan Tekanan Peperiksaan, Bina Modal Insan Berkesan

    Monday, January 31, 2011

    KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global. 

    KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan.



    Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).


    Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M. 

    Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup. 

    Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai. 

    Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. 
    Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. 

    Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. 

    Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. 

    Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. 

    Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. 
    Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. 

    Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa. 

    Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. 

    Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran. 

    Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai. 

    Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid. 

    Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan. 

    Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur. 

    Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. 

    “Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam. 

    “Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. 

    Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. 

    Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka. 

    Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. 

    “Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid. 

    Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. 

    Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. 

    Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara. 

    Sumber : Berita Harian Online

    Read more...

    Murid Tahun Satu Tiada Masalah Pelajari Reproduktif Manusia

    SELEPAS empat minggu sesi baru persekolahan bermula, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berjalan lancar. Tinjauan Berita Harian di beberapa sekolah dan makluman Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan tidak banyak rungutan sama ada daripada guru, murid atau ibu bapa.


    Ini berikutan perancangan teliti Kementerian Pelajaran ketika menggubal, melatih guru dan melaksanakan sukatan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif itu.


    Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai pelaksanaan KSSR, setakat ini. 

    Namun, katanya, ada penjaga mempersoal tindakan sesetengah sekolah yang hanya menawarkan satu mata pelajaran elektif iaitu Bahasa Arab menyebabkan murid tiada pilihan. 

    “Secara idealnya, murid keturunan India atau Cina berhak mempelajari bahasa ibunda mereka. Pengenalan subjek elektif bahasa juga menggalakkan ibu bapa India dan Cina menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ini baik untuk perpaduan,” katanya. 

    Antara elemen baru yang dimasukkan dalam KSSR ialah Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga). 
    Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, Perak, Rosnaini Hashim, berkata elemen perkembangan manusia itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan (sosial) mendedahkan sifat kasih sayang dan persahabatan. 

    Katanya, pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid, manakala kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri. 

    “Kesihatan dan tingkah laku seksual menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelak hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan. 

    “Stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis supaya pemahaman asas itu dapat diserap kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul,” katanya. 

    Rosnaini berkata, pendedahan awal seperti ini perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan dan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial. 

    Beliau berkata, guru yang terbabit untuk pengajaran subjek berkenaan diberi kursus, manakala bahan pengajaran disediakan bagi memudahkan murid. 

    Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata topik Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial dalam KSSR berjaya mengurangkan kegusaran ibu bapa yang sebelum dikatakan menentang pendidikan seks di sekolah. 

    “Ibu bapa diberi persediaan mental bahawa elemen ini bukan mengajar seks tetapi lebih kepada aspek kesihatan diri dan sosial,” katanya. 

    Menyokong dasar pendidikan baru itu, Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata KSSR bersifat lebih menyeluruh daripada sukatan kurikulum sebelum ini kerana KSSR bukan saja cuba menerapkan aspek pendidikan akademik, malah kemahiran dan penaakulan maklumat. 

    KSSR, katanya, sesuai dengan murid yang kini lebih aktif dan pintar di samping bersemangat untuk belajar. 

    “KSSR merangkumi semua aspek pembelajaran, selain memastikan kecemerlangan murid dalam pendidikan. Kurikulum terbaru ini turut melatih kemahiran insaniah murid sejak kecil. 

    “Sesetengah masa mata pelajaran kelas dikurangkan manakala diselitkan dengan subjek berbentuk kemahiran,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini . 

    Beliau berkata, sukatan kemahiran yang diperkenalkan dalam KSSR termasuk komunikasi, Sains dan Teknologi, kerohanian, kemanusiaan, ketrampilan diri dan perkembangan fizikal. 

    Zarina berkata, murid didedahkan dengan asas teknologi maklumat (IT) dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi bagi membuka minda mereka celik IT dan berfikiran lebih saintifik manakala tambahan penghayatan amalan agama, sikap dan nilai dalam subjek keterampilan diri. 

    “Murid berpeluang memilih bahasa diminati sama ada Bahasa Cina, Tamil dan Arab dalam subjek elektif bagi penguasaan bahasa dalam kemahiran berkomunikasi,” katanya. 

    Zarina berkata, hampir semua guru Tahun Satu sekolah itu menghadiri kursus KSSR anjuran Kementerian Pelajaran tahun lalu.

    Sumber : Berita Harian Online

    Read more...

    Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)

    Saturday, January 29, 2011

    Semua sekolah akan menjalankan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan terhadap murid KSSR Tahun 1 mulai tahun 2011. Dari segi tujuannya, ia bagi mengurangkan bebanan peperiksaan awam terhadap murid-murid dan memberi penilaian yang menyeluruh kepada mereka bagi melahirkan modal insan yang bukan tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi cemerlang secara holistik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.

    Penilaian ini akan berterusan sehinggalah murid-murid ini tamat pelajaran mereka di Tingkatan 5. Dijangkakan pada tahun 2016, peperiksaan UPSR hanya membawa markah 30% daripada markah keseluruhan yang akan dikira untuk murid-murid ini memasuki sekolah menengah. Kalau dahulu, penilaian berdasarkan gred A, B, C, D dan E, namun kini akan digantikan dengan sistem Band seperti MUET;


    Band 1 - Tahu

    Band 2 - Tahu, faham
    Band 3 - Tahu, faham, boleh buat
    Band 4 - Tahu, faham, boleh buat dengan beradab
    Band 5 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab terpuji
    Band 6 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab mithali

    Band 1-3: Asas
    Band 4   : Cemerlang
    Band 5   : Gemilang
    Band 6   : Terbilang

    Read more...

    Wajib Lulus Sejarah Belum Muktamad

    Thursday, January 6, 2011

    RAUB 6 Jan. – Kementerian Pelajaran masih belum membuat keputusan muktamad bagi membolehkan mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, berikutan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menjalankan kajian berhubung perkara itu.

    “Perkara ini tidak boleh diadakan secara terburu-buru kerana ia perlu dikaji secara menyeluruh bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gali, Gong di sini hari ini.
    Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

    Mohd. Puad berkata, jawatankuasa itu akan mengambil pandangan semua pihak bagi membolehkan perkara tersebut dilaksanakan dengan berkesan.

    Dalam pada itu, beliau meminta semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang belum lagi berdaftar dengan Kementerian Pelajaran supaya berbuat demikian bagi membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan dan insentif.

    Katanya, SAR yang berdaftar dengan kementerian bukan sahaja akan menerima bantuan, malah guru juga dibayar gaji bulanan tetap dan berpencen.

    Sumber : Berita Harian Online

    Read more...

    Hanya Guru Berkelayakan Ajar BM

    Sunday, December 26, 2010




    PUTRAJAYA 25 Dis. – Kementerian Pelajaran mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menempatkan guru yang mempunyai kelayakan sahaja untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai tahun depan.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ia selari dengan kehendak pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

    “Guru yang mengajar Bahasa Malaysia untuk Tahun Satu dan Dua di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan perlu mempunyai kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Bagi Tahun Tiga hingga Enam, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah mereka yang memiliki opsyen ikhtisas Pengajian Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dipetik daripada laman web rasmi Kementerian Pelajaran, di sini hari ini.

    Abdul Ghafar berkata, bagi SJKC dan SJKT dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah dipilih di kalangan guru berpengalaman dan boleh bertutur dwibahasa serta mempunyai kredit Bahasa Malaysia dalam SPM.

    Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya semasa pelaksanaan proses penempatan, pertukaran dan penempatan semula guru di SJKC dan SJKT.


    Read more...

    Pendidikan Kesihatan, Reproduktif Mulai 2011

    Monday, December 6, 2010

    Istilah pendidikan seks secara umumnya mungkin boleh membawa kepada satu persepsi atau pemahaman bahawa ia hanya layak untuk diketahui oleh golongan dewasa sahaja.

    Sebahagian besar masyarakat tidak mahu anak-anak mereka yang mentah didedahkan dengan perkara itu malah kebanyakan ibu bapa sendiri malu atau tidak mahu untuk membincangkan mengenai pendidikan seks sebagai asas pemahaman anak- anak mereka.

    Maka, tidak hairanlah jika banyak pihak terutamanya golongan ibu bapa akan melatah dan memberi pandangan negatif apabila Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendidikan tersebut di sekolah rendah bermula tahun hadapan.

    Harus diingat bahawa pendidikan seks atau istilah sebenarnya Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial itu bukanlah bermaksud pendidikan mengenai teknik hubungan kelamin atau perkara-perkara yang tidak perlu diketahui oleh kanak-kanak.
    Ia lebih menjurus kepada asas terhadap perkembangan badan, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

    Pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial yang akan diperkenalkan ini termasuk dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan bermula pada Januari 2011.

    Subjek lain yang terdapat di bawah Modul Teras Asas ini termasuklah Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Pendidikan Islam/Moral.

    Elemen perkembangan manusia yang terdapat dalam pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan pula mendedahkan mengenai sifat kasih sayang dan persahabatan.

    Pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid.
    Sementara itu, kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

    Kesihatan dan tingkah laku seksual akan menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan AIDS. Manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.

    Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis agar pemahaman asas itu dapat diserap oleh kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul.

    Pendedahan awal seperti ini adalah perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.

    Sumber : Utusan Malaysia Online

    Guru-guru yang terlibat untuk pengajaran subjek tersebut telah diberi kursus sementara bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid.
    Masyarakat khususnya ibu bapa disaran menyokong dan memberi kerjasama terhadap pembaharuan yang dilakukan ini supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar.

    Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat dua lagi modul selain Modul Teras Asas iaitu Modul Teras Tema dan Modul Elektif.

    Modul Teras Tema memperkenalkan subjek baru iaitu Dunia Kesenian yang memberi penekanan terhadap Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik serta satu lagi subjek iaitu Dunia Sains dan Teknologi.

    Modul Elektif pula terdapat subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

    Read more...

    Pendidikan Seks Guna Istilah PEERS

    KUALA LUMPUR: Pendidikan seks yang diajar bermula tahun depan di sekolah rendah dan menengah akan menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), selain diajar secara berasingan tanpa menumpang mata pelajaran lain. 

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, istilah PEERS seperti diputuskan Kabinet pada 2006 akan dikekalkan bagi mengelak kekeliruan berhubung istilah pendidikan seks yang memberi konotosi negatif dan terhad di kalangan masyarakat.



    Beliau berkata, pembelajaran PEERS diperuntukkan selama satu waktu seminggu iaitu 30 minit bagi sekolah rendah dan 40 minit bagi sekolah menengah, dua kali sebulan.


    “PEERS merangkumi aspek lebih luas termasuk soal nilai, sikap dan proses sepanjang hayat mencakupi 75 peratus daripada kurikulum pendidikan kesihatan. 

    “Menerusi transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada 2011, kementerian memutuskan pendidikan kesihatan termasuk PEERS diajar berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak bercantum dengan subjek lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam. 

    Mohd Puad berkata, bagi Tahap Satu sekolah rendah, antara skop dimasukkan adalah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata ‘tidak’ kepada sentuhan tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan. 

    “Pada peringkat menengah rendah, antara tumpuan diberi ialah kecekapan psikososial atau kemahiran hidup menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, dan perkembangan sifat seksual sekunder,” katanya. 
    "Di peringkat menengah atas, ia membabitkan kemahiran kecekapan psikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah," katanya. 

    Beliau berkata, PEERS sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di sekolah rendah, tetapi bagi sekolah rendah, ia dimasukkan dalam subjek Pendidikan Jasmani. 



    Sumber  : Berita Harian Online

    Read more...

    Pendidikan Seks Diajar Berasingan Mulai Tahun Depan

    KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

    Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di Sekolah Menengah dan 30 minit setiap minggu di Sekolah Rendah.

    "PEERS sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di Sekolah Menengah dan 1994 di Sekolah Rendah, cuma di Sekolah Rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.

    "Bermula tahun 2011 di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada didalamnya PEERS akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Isnin.

    Hadir sama di sidang media itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang.

    Beliau berkata antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

    Bagi tahap dua yang membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.

    Mohd Fuad berkata bagi pelajar Sekolah Menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psikososial atau 'lifeskill' menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah.

    "Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan sikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah," katanya.

    Beliau berkata pengetahuan mengenai pendidikan seks mencakupi 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan.

    Mengenai pengekalan istilah PEERS, Mohd Fuad berkata istilah yang diputuskan Kabinet pada 2006 lebih luas maknanya merangkumi aspek nilai, sikap dan proses sepanjang hayat berbanding 'pendidikan seks' yang istilahnya memberi konotasi negatif dan terhad di kalangan masyarakat.

    "Oleh kerana masih timbul kekeliruan dan permintaan pelbagai pihak maka Kementerian Pelajaran memutuskan untuk terus menggunakan istilah PEERS melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan bagi memenuhi pendidikan seks di Malaysia," katanya.

    Untuk rekod, istilah PEERS diputuskan Kabinet pada 20 Disember 2006 dan dipersetujui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menggantikan istilah pendidikan kesihatan keluarga yang digunakan pada tahun 1989 hingga 2002 yang kemudiannya digantikan dengan istilah pendidikan seksualiti dari 2003 hingga 2005.

    Sumber : Berita Harian Online

    Read more...

    Seks Wajar Diserap Dalam Pendidikan Moral

    Friday, December 3, 2010



    ISTILAH yang digunakan memberi konotasi yang khusus kepada masyarakat. Contoh, perkataan seks memang memberi persepsi khusus mengenai hubungan seksual dalam konteks masyarakat di Malaysia. 

    Namun apakah kewajarannya mendedahkan anak seawal usia darjah satu kepada seks?



    Harus diingatkan bahawa bukan semua rakyat Malaysia begitu terbuka dalam membincangkan hal ehwal seks di khalayak umum, apatah lagi apabila dibincangkan dalam kelas peringkat sekolah rendah. Dalam Islam urusan isu seksual memang dipandang berat, namun ia dibincangkan di bawah subjek Fiqh Umum, Fiqh Munaqahat atau Fiqh Kewanitaan.


    Justeru, ia menjadi lebih lunak dan tidak memberi konotasi negatif kepada murid terbabit walaupun isi pembelajaran mengenai hal itu. 

    Begitu juga kitab berkenaan Adab Dalam Islam yang banyak membincangkan subjek bersangkutan seksualiti ini. 

    Saya kira walaupun kurikulum sudah dirangka dan bakal digunakan sangat bagus dan praktikal berikutan kebejatan luaran dan dalaman dalam masyarakat hari ini, namun istilah seks tidak perlu sewenangnya digunakan kepada anak kecil. 
    Apakah tidak boleh jika istilah Pendidikan Moral dikekalkan dengan mendatangkan silibus baru berkenaan dengan perkara yang dibincangkan. Begitu juga tambah saja satu bab atau silibus khas dalam mata pelajaran Agama Islam setiap tahun daripada darjah satu hingga enam, kemudian dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam. 

    Jika ia lebih praktikal dan berkesinambungan berbanding menguar-uar perihal seks kepada anak yang menyebabkan mereka matang sebelum waktunya. Jangan pula anak masih muda pucuk ini menjadi bahan eksperimen kepada pihak tertentu kerana kesannya bukan pada hari ini, namun pada masa hadapan. 

    Masih belum terlambat bagi kita membetulkan dan menyelaraskan kembali dengan duduk berbincang membabitkan semua pihak. Buah fikir dan karangan ulama muktabar seperti Syeikh Dr Abdullah Naseh Ulwan yang banyak mengarang berkenaan pendidikan seks untuk anak wajar dirujuk dan dikaji secara mendalam oleh pihak bertanggungjawab. 
    ZAHIRUDDIN ZABIDI,
    Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
     

    Read more...

    BERITA HARIAN

    mengintai khabar semasa

    Berita Harian : Agama

    Followers

    Powered By Blogger

    TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

    HALWA TELINGA

    Berita Harian : Nasional

      © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

    Back to TOP