Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label pendidik. Show all posts
Showing posts with label pendidik. Show all posts

Penilaian Prestasi Guru

Thursday, November 10, 2011

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, penilaian prestasi ke atas seseorang pegawai termasuk guru dibuat tidak hanya berdasarkan penghasilan kerja yang telah ditunjukkan oleh pegawai atau guru itu sahaja. Penilaian prestasi hendaklah dibuat dengan merangkumi beberapa faktor seperti berikut:

i)      Penghasilan kerja berbanding dengan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan, yang memberi markah sebanyak 50%. Penghasilan kerja tersebut dinilai dari segi kuantiti kerja, kualiti kerja, ketepatan masa dan keberkesanan hasil kerja.  Walau bagaimanapun, bagi seorang guru yang mengajar di kelas dan di bilik kuliah, penghasilan kerja mereka boleh diukur dengan menggunakan Buku Rekod mengajar masing-masing sebagai SKT yang akan dijadikan asas penilaian prestasi oleh pegawai penilai mereka;

ii)    Kualiti peribadi yang memberi markah 25%, iaitu dinilai dari segi kebolehan mengelola, disiplin, proaktif dan inovatif serta jalinan hubungan dan kerjasama yang dipamerkan oleh pegawai;

iii)   Pengetahuan dan kemahiran pegawai yang memberi markah 20%; dan

iv)   Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang memberi markah 5%.
Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai juga bertanggungjawab menentukan penilaian prestasi dilaksanakan secara teratur, objektif, adil dan telus berdasarkan pencapaian kerja guru sepanjang tahun yang dinilai dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor peribadi dan penilaian tahun-tahun sebelumnya.
Sehubungan itu bagi memastikan penilaian prestasi guru dibuat secara adil dan telus, semasa penyediaan penilaian prestasi, Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai hendaklah berbincang dengan guru yang berkenaan mengenai pencapaian kerja mereka dan memaklumkan prestasi mereka secara keseluruhannya supaya guru berkenaan boleh memperbaiki prestasi kerja mereka pada masa akan datang. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Read more...

Inovatif Patut Jadi Syarat Guru Naik Pangkat

Wednesday, February 23, 2011








MENARIK sekali pandangan Dr Kamal Jit Singh yang disiarkan akhbar ini pada 19 Februari lalu mengenai pemikiran inovatif. 

Sekolah memang tempat paling sesuai melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan inovatif. Guru perlu terlebih dulu memiliki pemikiran inovatif untuk menjadi perangsang kepada pelajar yang inovatif.



Bukan sekadar guru yang mengutamakan kelulusan dan memberi maklumat kepada pelajar untuk dihafal dalam peperiksaan. 

Ramai guru berkeupayaan untuk melakukan inovatif. Setiap tahun, pada Hari Guru juga ada anugerah Guru Inovatif. 

Lebih ramai guru boleh melakukan inovatif jika diberi insentif. Oleh itu, dalam usaha kita mencari alternatif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam termasuk guru, unsur guru inovatif wajar dijadikan kriteria penting untuk kenaikan pangkat, pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Guru Cemerlang. 

Guru inovatif mempunyai pengalaman dan idea untuk merenung masalah dalam profesion, mencari jalan penyelesaian, menyusun strategi, mengubah suai strategi, melaksanakan program, membuat penilaian, menunjukkan demonstrasi, serta dokumentasi. 

Setidak-tidaknya guru boleh membuat kajian tindakan dalam P&P. Hasil kreatif dan inovatif mereka boleh menjadi rujukan guru lain. 

Sekolah perlu mempunyai jawatankuasa penilai untuk ketelusan pemilihan. Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan profesion perguruan. 

Program inovasi itu mungkin dijalankan oleh seorang guru atau dalam kumpulan. 
Kemahiran bekerja dalam kumpulan juga adalah satu usaha inovatif yang bukan mudah dibina dalam kalangan guru di sekolah. 

GURU BIASA,
Tangkak.

Read more...

Guru Tua Sanggah Mokhtar Sabah

Friday, February 11, 2011







Saya menyokong kenyataan Guru Tua dari Johor Bharu.....

SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.

Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu? Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.

Contohnya Cikgu A.

- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.

- Guru Kelas

- Guru Data SDM

- Guru Disiplin

- Pengerusi Teknik Zon

- Guru Bertugas Mingguan

- Setiausaha Kelab Guru

- Penolong Ketua Rumah Sukan

(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)

Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?

Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.

Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.

Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.

Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!

Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!

GURU TUA

Johor Bahru, Johor

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read more...

Perutusan Khas Menteri Pelajaran Malaysia : Bersama mendidik anak bangsa


SYUKUR dan tahmid ke hadrat Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita bersyukur kerana pada pagi ini kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menghadiri perhimpunan yang amat bermakna buat kita semua. Perhimpunan ini bukan sahaja melambangkan kebersamaan kita dalam mendidik anak bangsa, malah mencerminkan kesatuan hati kita untuk melaksanakan amanah yang murni ini dengan sebaik mungkin.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat memulakan tugas kepada guru-guru yang baru melangkah ke alam perguruan pada tahun ini. Di sinilah bermulanya perjuangan anda untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan negara. Memang benar, amanah yang bakal digalas adalah besar dan tugas yang menanti anda semua amat mencabar. Namun saya yakin dengan segala latihan yang diberikan dan sokongan yang bakal diterima, anda mampu untuk melaksanakan tugas ini dengan baik.

Tidak lupa juga kepada guru-guru yang pernah mendidik kita. Marilah kita kalungkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan bakti mereka yang terus terpahat di sanubari kita. Bak kata orang, sekali menjadi guru, selamanya dikenang sebagai guru. Bahkan, hingga ke akhirnya dipanggil cikgu, curahan budinya diingat selalu. 

Seperti nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Uthman Awang:

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Panggilan keramat cikgu kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat

Berada bersama dengan guru-guru pada pagi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru yang pernah saya dengar. Bahawa dalam dunia ini, terdapat dua insan yang benar-benar gembira melihat kita berjaya. Pertamanya, ibu bapa kita; keduanya, guru-guru kita.

Kita biasa melihat di kaca televisyen, di dada akhbar, atau mengalaminya sendiri di sekolah. Sebaik-baik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, yang menitiskan air mata gembira melihat seorang murid berjaya adalah guru.

Malah, banyak kisah kejayaan peribadi yang bermula dari sentuhan keramat seorang guru. Daripada anak seorang petani, menjadi Naib Canselor universiti. Daripada anak seorang buruh ladang, menjadi peguam yang terkenal. Daripada anak seorang penjaja, menjadi usahawan yang berjaya. Semua keajaiban ini tidak akan berlaku tanpa suluhan ilmu seorang guru. Maka, pastinya juga kejayaan anak-anak kita di hari esok bergantung kepada keikhlasan guru-guru hari ini memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

CABARAN BARU DUNIA PENDIDIKAN

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, persaingan bukan lagi bersifat lokal tetapi global. Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju, sebuah negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang kita lahirkan melalui institusi sekolah kita mestilah mampu untuk menjadi pesaing global.

Maka kualiti pendidikan kita juga mestilah dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan sehingga mengatasi penanda aras antarabangsa. Begitu juga dengan pendidikan teknik dan vokasional yang seharusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi. Perluasan pendidikan teknik dan vokasional harus berlaku secara drastik untuk menampung keperluan tenaga mahir negara yang semakin meningkat.

Semua ini adalah penting dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan negara dalam suasana persaingan global yang semakin sengit. Pendek kata, sektor pendidikan berada di barisan hadapan dalam memastikan cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang 2020 menjadi realiti.

Dalam upaya kita untuk menjadi sebuah negara maju, guru-guru berada di barisan paling hadapan dalam membina modal insan yang akan memacu kemajuan negara kita. Dalam hal ini, pendidikan merupakan landasan utama yang akan menentukan masa depan negara. Kukuh landasan ini, maka cerahlah peluang kita untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KOMITMEN GURU

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh guru-guru hari ini adalah berbeza daripada apa yang ditempuhi oleh guru-guru dahulu, kunci kepada kemampuan kita untuk menjadi sebuah negara yang berjaya tetap sama. Kuncinya ialah keikhlasan guru, dedikasi guru dan kesungguhan guru untuk menggilap potensi setiap murid sehingga mereka menjadi insan yang berjaya.

Alhamdulillah, berkat semangat, usaha dan dedikasi guru-guru, kita telah berjaya mencatat peningkatan yang memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan-peperiksaan awam pada tahun lalu. Keputusan UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Kita juga bersyukur di atas peningkatan yang dicapai dalam keputusan PMR. Peratusan pelajar yang memperolehi semua A meningkat dari 9.51 peratus pada tahun 2009 kepada 10.21 peratus pada tahun lalu.

Di sebalik angka-angka positif ini, tersirat seribu satu cerita pengorbanan dan ketabahan guru-guru. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Bebangan, sebuah sekolah kecil dalam daerah Kapit di Sarawak. Guru-guru, dengan bantuan pembantu murid dan warden asrama, memulakan kelas ulang kaji seawal jam 5 pagi pada setiap hari persekolahan. Walaupun jam 5 pagi adalah di luar waktu bertugas biasa, tetapi oleh kerana guru-guru percaya awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk murid memahami dan mengingati apa yang dipelajari, mereka tetap hadir lebih awal ke sekolah untuk membimbing murid.

Bagi saya, ini adalah contoh pengorbanan guru yang luar biasa. Barangkali, tidak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan seperti itu. Namun, hakikatnya ada di kalangan guru-guru kita yang sanggup melakukannya. Pengorbanannya luar biasa, hasilnya pun luar biasa. Sekolah Kebangsaan Bebangan telah berjaya melonjakkan kedudukannya daripada berada dalam Band 3 pada tahun 2009, kepada Band 2 pada tahun 2010. Lonjakan yang dihasilkan hanya dalam tempoh satu tahun bagi sebuah sekolah kecil di luar bandar ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas kepada Cikgu Juan a/k Jugah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebangan, dan semua guru serta kakitangan sekolah ini.

Saya percaya setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan serikandi kita yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah-kisah pengorbanan dan kejayaan mereka dihimpunkan dan wira serta serikandi kita diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, saya percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat yang segar untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.

TAWARAN BARU (BAI'AH)

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan. Tahun lalu saya umumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya akan menerima ganjaran kewangan. Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. 

Tetapi kita percaya, Tawaran Baru adalah satu idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

Pada awalnya, kita sasarkan dua peratus guru besar dan pengetua akan berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan. Ini adalah satu jangkaan konservatif yang dibuat dengan mengambil kira kelaziman dalam trend lonjakan prestasi sekolah.
Hendak seribu daya, Tawaran Baru yang kita umumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan yang kuat kepada guru-guru kita untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun selepas Tawaran Baru diumumkan, kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah di luar jangkaan. Bukan lagi dua peratus seperti yang disasarkan, tetapi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal.

Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 orang guru besar yang telah disenarai pendek. Insya-Allah, saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak menerima ganjaran dalam masa terdekat. Sebagai tanda penghargaan kita, guru-guru yang bersama-sama berusaha untuk melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan.

Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. Senarai Pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru ini akan saya umumkan pada pertengahan tahun ini.
Apakah maknanya ini kepada kita semua? Bagi saya, guru-guru kita, dengan adanya dorongan, pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, mereka boleh melakukan yang terbaik. Telah pun terbukti, prestasi guru-guru terbaik kita bukan sahaja memberangsangkan, malah luar biasa. Syabas saya ucapkan!

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

Satu lagi inisiatif di bawah NKRA Pendidikan ialah mengenal pasti dan memberi 
pengiktirafan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi.

Pada tahun lalu, kita telah umumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, 30 buah sekolah lagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun, dalam melaksanakan program SBT ini, apa yang penting bukan jumlah sekolah yang mendapat pengiktirafan. Tetapi apakah impak sekolah ke atas pembelajaran murid dan bagaimanakah sekolah-sekolah ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah-sekolah lain.

Hal ini tidak mustahil untuk dicapai. Sekolah Kebangsaan Brinchang, Cameron Highlands, hari ini telah menempa beberapa kejayaan hasil pelbagai usaha sama yang dijalin dengan Sekolah Kebangsaan Convent Kota Taiping yang merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi. Guru-guru kedua-dua sekolah terlibat secara bersama dalam panitia mata pelajaran yang dibentuk khusus untuk berkongsi idea tentang cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi murid.

Hasilnya, dalam peperiksaan UPSR tahun lalu, pertama kali dalam sejarah Sekolah Kebangsaan Berinchang, semua murid lulus matapelajaran Sains dan 95.5 peratus murid lulus mata pelajaran Matematik. Ini adalah contoh satu usaha yang mudah, tetapi amat berkesan untuk meningkatkan pencapaian murid. Tahniah saya ucapkan kepada warga kedua-dua sekolah ini.

Melangkah ke hadapan, antara aspek yang perlu ditekankan oleh SBT ialah inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Autonomi yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjana daya kreativiti guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif. Kita ingin lihat idea-idea yang lebih berani dan segar untuk meningkatkan pencapaian murid muncul dari sekolah-sekolah berprestasi tinggi.

Dalam hubungan ini, jadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai makmal idea-idea kreatif pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini kerana matlamat akhir SBT bukan sekadar memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah, tetapi memastikan kecemerlangan sekolah dapat memberi impak yang positif ke atas pencapaian setiap murid.

Di samping program SBT, Kementerian Pelajaran juga merintis kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd. melalui Yayasan Amir, iaitu sebuah badan bukan keuntungan, untuk menjayakan program Sekolah Amanah. Pada peringkat awal ini kita telah memilih 10 buah sekolah untuk dijadikan Sekolah Amanah, di mana pihak Khazanah Nasional telah memberi komitmen untuk membantu sekolah-sekolah ini meningkatkan pencapaian. Dengan adanya kerjasama awam-swasta ini, kita yakin tahap pencapaian sekolah-sekolah di negara kita akan dapat dilonjakkan lagi agar setanding dengan pencapaian sekolah-sekolah cemerlang di peringkat antarabangsa.

PROGRAM PEMBANGUNAN SEKOLAH

Dalam usaha kita untuk melonjakkan prestasi semua sekolah, kita sedar bahawa padang tidak selalunya rata. Ada sekolah yang sudah sedia cemerlang, tetapi banyak juga sekolah yang masih bergelumang dengan pelbagai kekangan untuk berjaya.
Pada masa yang sama kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya. Walau apa pun latar keturunan mereka, walau di mana mereka berada, kejayaan mereka adalah tanggungjawab kita. Pastinya, impian seorang anak kecil di Sekolah Kebangsaan Balar di Gua Musang, Kelantan adalah sama nilainya dengan cita-cita seorang murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur. Seorang nun jauh di pedalaman, seorang lagi di tengah-tengah ibu kota. Seorang dengan serba-serbi kekurangan, manakala seorang lagi dengan segala kemudahan.

Keutamaan kita pastinya ialah untuk memastikan impian kedua-dua anak kecil ini dapat dicapai. Dalam menghadapi realiti ketiadaan padang yang sama rata, pendekatan kita mestilah berbeza. Zaman menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan permasalahan yang berbeza telah berakhir.

Untuk itu, kita telah memperkenalkan Program Pembangunan Sekolah. Di bawah program ini, lebih 160 orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, pensyarah Institut Aminuddin Baki, pensyarah Institut Pendidikan Guru, Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah dilantik untuk membimbing sekolah-sekolah berprestasi rendah. Sekolah-sekolah sasaran adalah yang berada dalam Band 6 dan Band 7, iaitu dua kumpulan terendah dalam senarai penarafan sekolah di negara kita.

Alhamdulillah, pendekatan secara bimbingan ini telah membuahkan hasil. Kita telah berjaya mengurangkan jumlah sekolah rendah yang berada dalam Band 6 dan Band 7 daripada 209 buah pada 2009 kepada 140 buah pada tahun 2010. Sebanyak 88 buah sekolah yang dahulunya berprestasi rendah kini telah berjaya meningkatkan prestasi masing-masing. Menariknya, 83 daripada 88 buah sekolah ini adalah sekolah-sekolah di luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Cikgu Jama a/k Rigong, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampak di Sabah, Cikgu Subramaniam a/l Chellapan Guru Besar SJKT Ladang Dublin 7 di Kedah, Cikgu Ng Yong Liang, Guru Besar SJKC Kheng Chee di Pahang dan semua guru-guru besar yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing.

Jelasnya, Program Pembangunan Sekolah ini telah terbukti berjaya membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian murid. Melalui proses bimbingan secara berterusan, kita telah berjaya mengatasi beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Misi kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya mencapai impian masing-masing.

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI

Kita juga menekankan tentang penguasaan literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan. Penguasaan kedua-dua kemahiran ini di peringkat awal adalah penting untuk memastikan murid tidak mengalami kesukaran mengikuti pelajaran apabila umur mereka semakin meningkat. Justeru, sebarang masalah berkaitan dengan penguasaan literasi dan numerasi perlu dikenal pasti dan diatasi segera.

Untuk itu kita telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah NKRA Pendidikan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program ini, kita telah dapat mengenal pasti tahap kemahiran literasi dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid-murid yang gagal menguasainya. Berdasarkan keputusan saringan ketiga LINUS yang dilaksanakan pada bulan November 2010, 85 peratus murid Tahun 1 telah menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi. Kita percaya dengan usaha-usaha intervensi secara berterusan, tahap penguasaan literasi dan numerasi murid akan dapat dipertingkatkan.

PEMBIMBING INSAN, PEMBINA NEGARA

Dalam keghairahan kita untuk membina modal insan, jangan kita lupa tentang satu lagi matlamat utama pendidikan, iaitu untuk membangun jiwa insan. Guru-guru, seperti juga ibu bapa, adalah pembimbing dan pengasuh jiwa murid. Tugas guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang murni ke dalam sanubari murid. Pastinya, pendidikan yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang mulia adalah sesempurna pendidikan.

Guru juga adalah pembina negara bangsa. Dalam perlumbaan kita untuk menjadi sebuah negara maju, harus kita ingat bahawa masyarakat maju yang ingin kita cipta haruslah berakar kepada nilai, budaya dan jati diri yang utuh. Untuk itu, anak-anak kita perlu diasuh supaya memahami dan menghargai susur-galur sejarah pembinaan negara kita. Bagaimana generasi terdahulu melakukan pelbagai pengorbanan untuk membina sebuah negara yang bebas dan merdeka. Bagaimana masyarakat pelbagai kaum di negara kita telah menerima antara satu sama lain sebagai saudara sewarganegara. Ini adalah antara rekod pencapaian kita yang penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pengkisahan tentang sejarah pembinaan negara kita mesti disampaikan kepada murid secara jujur. Oleh sebab itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah yang akan mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan untuk menambahbaik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Tujuannya ialah supaya pembelajaran sejarah dapat melahirkan warganegara yang benar-benar memahami sejarah, bersifat patriotik dan mempunyai jatidiri yang kukuh.

Hakikatnya, guru-guru menggalas tanggungjawab yang amat besar. Di bahu guru terletak amanah membangun jiwa manusia dan membina negara bangsa. Bukan calang-calang insan yang sanggup memikul tugas berat ini.

Namun, saya percaya, guru-guru yang berada di hadapan saya pada hari ini memilih kerjaya guru kerana anda semua berjiwa guru. Sebagai seorang yang berjiwa guru, tugas ini sudah pasti akan digalas dengan penuh keikhlasan dan kesedaran. Jadikanlah keikhlasan guru dan keberkatan ilmu yang disampaikan sebagai sumber kekuatan kita untuk bersama-sama mencipta sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : Utusan Online

Read more...

Guru Tidak Terbeban Kerja

Monday, February 7, 2011



SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.

Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.

Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. 

Rasionalnya:

* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.

* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.

* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.

Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:

* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.

* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.

* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.

* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.

* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.

Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.

Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah
Keningau, Sabah

Sumber : Utusan Online.

Read more...

Tak Puas Hati Guru Sandaran Diberi Keistimewaan Kekal Tugas

Friday, December 3, 2010



SAYA tertarik membaca laporan akhbar ini bertarikh 3 Disember lalu, bertajuk khidmat guru sandaran kekal. Apabila membaca berita itu, saya pasti ramai tidak puas hati terutama di kalangan guru Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI). 

Biar saya terangkan peringkat yang terpaksa kami lalui untuk mendapat tempat sebagai guru. Pertama, setiap hari kami terpaksa membelek surat khabar menunggu iklan dikeluarkan Kementerian Pelajaran bagi tawaran KPLI dan DPLI.


Kami membeli nombor pin di Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membuat permohonan secara dalam talian. Kemudian menunggu keputusan keluar sama ada kami layak atau tidak untuk menduduki peperiksaan bertulis. Selepas itu, kami menunggu lagi keputusan peperiksaan sama ada berjaya atau gagal.

Bagi yang gagal, mereka terpaksa mencuba lagi pada tahun hadapan. Bagi yang berjaya masih ada lagi cabaran iaitu sesi temu duga dengan beribu-ribu calon bersaing untuk mendapat tempat. 

Selepas temu duga, tunggu lagi untuk mengetahui keputusan sama ada berjaya atau tidak. Bagi yang berjaya ia berita gembira, tetapi yang gagal perlu ditempuh lagi. 

Belum habis lagi cabaran sebagai bakal guru DPLI atau KPLI kerana perlu ikuti kurus latihan selama setahun di maktab perguruan atau universiti tempatan. 

Bukan proses atau laluan dipersoalkan, tetapi laluan mudah guru GSTT menjadi guru. 
Hanya perlu mengikuti Kursus dalam Cuti (KDC) atau KPLI bagi diserap menjadi guru. Alasan sudah berpengalaman mengajar dan mempunyai keluarga serta masalah kewangan bagi meraih belas simpati daripada pihak Kementerian Pelajaran dan menggunakan media bagi meraih kesempatan. 

Bukankah semua sedia maklum GSTT satu jawatan berstatus kontrak sama seperti status kontrak penjawat awam lain kerana habis tempoh kontrak maka habislah perkhidmatan. Jadi mengapa perlu merungut dan timbul ketidakpuasan hati apabila kontrak ditamatkan bagi memberi lalui penempatan kepada guru baru. 
CIKGU BARU,
Putrajaya.
 

Read more...

Pasangan Guru Kerugian Hampir RM1,000 Sebulan Kerana Bertugas Berasingan

Wednesday, August 25, 2010

SAYA adalah seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Perak. Dalam suasana Ramadan yang penuh berkat ini, saya rasa terpanggil untuk meluahkan rasa isi hati saya selaku seorang guru yang terpisah dengan isteri dan keluarga atas faktor penempatan tempat berkhidmat yang berbeza.

Tahun ini adalah tahun ketiga saya bertugas di Perak sementara isteri saya yang juga seorang guru berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.


Sejak 2006, saya dan isteri memohon pertukaran dari Kuala Lumpur ke Perak. Alhamdulillah, pada awal 2008 permohonan saya diluluskan tetapi agak malang bagi isteri saya kerana gagal dalam permohonan pertukarannya.


Saya bertukar ke Perak dan isteri masih di Kuala Lumpur dengan harapan isteri akan menjejak langkah saya pada tahun berikutnya. Setiap dua kali setahun sesi permohonan pertukaran dibuka, isteri saya tidak ketinggalan untuk membuat permohonan pertukaran.

Walaupun isteri saya mempunyai kesemua alasan dan faktor yang membolehkannya bertukar termasuk menghadapi masalah kesihatan, permohonan isteri masih gagal.

Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, saya atau isteri terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak pada setiap minggu dengan tempoh perjalanan hampir empat jam. Biasanya saya yang akan ke Kuala Lumpur kerana isteri menghadapi masalah untuk menguruskan anak kecil sambil memandu.

Dalam usia menjangkau 45 tahun, saya rasakan fizikal saya sudah tidak mampu untuk menahan beban dan penat yang ditanggung setiap kali saya berulang alik ke Kuala Lumpur dan Perak. Ditambah dengan faktor kewangan turut menghambat tumpuan dan mental saya. 


Saya kehilangan hampir RM1,000 sebulan hanya untuk pembayaran sewa rumah kedua di Kuala Lumpur dan pembelian minyak petrol ketika berulang alik. Dengan jumlah sebanyak itu, saya merasakan ia sebagai satu kerugian dan penganiayaan kepada orang yang senasib seperti saya.

Atas dasar perikemanusiaan, saya memohon agar Kementerian Pelajaran lebih peka dengan nasib dan masalah yang dialami oleh warganya seperti saya. Untuk Kementerian Pendidikan, saya sarankan agar jawapan untuk keputusan surat permohonan pertukaran iaitu pertukaran anda tidak diluluskan atas kepentingan pendidikan hendaklah dimansuhkan.

Kementerian bolehlah fikirkan jawapan yang lebih rasional. Sudah berbelas tahun saya memberi perkhidmatan terbaik untuk kepentingan pendidikan dan amatlah wajar giliran saya pula untuk menerima perkhidmatan terbaik dari pihak kementerian untuk kepentingan saya pula.


GURU PENAT,

PERAK.

Read more...

Guru Penyuluh Hidup

Tuesday, May 11, 2010


Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gur' dan `Ru'.Dalam bahasa jawa, Gu diambil daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya, amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.

Guru yang berwawasan bertindak sebagai mu'alim, mu'addib, murabbi, mursyid, muddaris dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas.

Mu'allim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu'allim lebih menumpukan kepada ilmu akal.Sebagai guru yang bersifat mu'allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap mu'allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Muddaris adalah pengajar yang selari dengan perkataan guru. Peranan guru adalah untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan faham. Sikap peribadi dan penampilan diri memerlukan kemahiran untuk dikuasai oleh murid-murid.

Mu'addib (Ta'dib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Mu'addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah mentor. Mu'addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu'addib adalah menyiapkan mu'addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka pada masa hadapan. Guru mu'addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Mu'addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.

Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.

Hai hambaku! Aku tiada meminta harta benda kepada kamu (sebagai upah) bagi seruanku. Upahku hanyalah dad Allah ... (Maksud Al-Qur' an 11 :29) Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.(Maksud Al-Qur'an 42:215)

Berdasarkan dua ayat Al-Qur' an di atas, ikhlas adalah sifat yang paling utama bagi seorang mursyid. Ini bermakna, guru yang mursyid ialah guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas.

Hmm...hebatkan peranan guru! Hakikatnya guru sememangnya dipandang tinggi dan merupakan suatu pekerjaan yang murni dan mulia. Janganlah ada di antara guru-guru yang hanya mementingkan pangkat dan gaji semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab membentuk manusia menjadi insan yang terpuji sifat dan peribadinya sesuai dengan tema sambutan hari guru, "Guru pembina negara bangsa."

Teringat aku akan teman seperjuangan yang telah bersara tempoh hari. Walaupun telah bersara, sesekali Cikgu Melur akan datang juga ke sekolah menjenguk kawan-kawan. Dalam hatinya terasa rindu kepada suasana persekolahan yang telah sebati di dalam jiwa. Begitulah guru. Walaupun telah bersara panggilan keramat "cikgu" tetap dibawa ke mana saja mungkin juga hingga ke liang lahat.

catatan : http://jqafsksulaiman.blogspot.com

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP