Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Pendidikan Sejarah Bukan Indoktrinasi

Friday, April 8, 2011


Persepsi pendidikan sejarah di sekolah sebagai satu proses indoktrinasi oleh 'golongan yang menang' atau untuk mempromosikan tokoh tertentu adalah salah dan berniat jahat.

Sejarah sebenarnya untuk memahami kompleksiti dalam sesebuah masyarakat atau negara. Melalui sejarah, kita boleh mengambil iktibar dan teladan daripada sesuatu peristiwa.

Banyak nilai murni yang boleh dipelajari seperti nilai kemanusiaan sejagat, semangat setia kawan, mengelak konflik dan pergaduhan atau konfrontasi.

Di samping itu, pelajar juga boleh memahami kedinamikan dalam perhubungan dan penyatuan antara kelompok.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), fakta serta asal-usul sesuatu peristiwa akan diterangkan dengan hasrat pelajar akan saling mengenali, hormat-menghormati dan bertoleransi dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham.
Malah, peranan serta sumbangan kelompok minoriti turut diajar dan sekali gus menafikan bahawa pendidikan Sejarah sebagai satu alat propaganda.

Pendekatan baharu dalam P&P juga tidak lagi memfokus kepada hafalan fakta, sebaliknya menjurus kepada nilai atau sumbangan yang diperoleh daripada sesuatu peristiwa itu.

Begitu juga dalam aspek kisah seseorang tokoh. Bukan peribadi tokoh yang ditonjolkan, tetapi wawasan, keupayaan dan kebolehannya. Sifat dan sikap positif tokoh itu yang perlu dicontohi.

Pelajar juga didedahkan dengan perhubungan diplomatik dan dasar yang melibatkan negara kita dengan negara lain. Hal ini penting agar pelajar memahami manfaat yang diperoleh hasil hubungan erat antara Malaysia dan negara lain.

Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan rakyat kita daripada membuat perkara yang boleh menjejaskan hubungan tersebut.

Justeru, langkah mewajibkan pelajar lulus Sejarah dalam SPM mulai 2013 amat tepat dan menepati aspirasi gagasan 1Malaysia.

Langkah ini pasti akan melonjak pencapaian pelajar dalam subjek itu dan paling utama mereka akan mengamalkan etika hidup yang selaras dengan Perlembagaan negara.

Tambahan pula, ada institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula mengenakan pra-syarat wajib lulus Sejarah untuk mengikuti sebarang kursus kelolaannya.

Berdasarkan statistik, prestasi akademik pelajar terbukti semakin baik jika ia diwajibkan lulus seperti subjek Bahasa Melayu yang merekodkan pencapaian lulus melebihi 90 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, subjek Sejarah pada 2010, hanya mencatat 76.4 peratus lulus di bandar dan 75.4 peratus lulus di luar bandar.

Sumber : Utusan Online

Read more...

Guru Sejarah Kena Kreatif mengajar

Thursday, November 4, 2010

LANGKAH kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu tindakan bijak. Namun, ada sedikit kebimbangan jika dasar diputuskan itu tidak dihayati sebaik-baiknya. 


Seperti yang kita maklum, pendidikan di Malaysia adalah berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, dibimbangi jika pelajar mempelajari subjek Sejarah hanya sekadar untuk lulus SPM.

Kebanyakan pelajar tidak meminati subjek ini kerana ia bersifat fakta dan pelajar mempelajarinya secara menghafal untuk skor cemerlang tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Dalam hal ini, pelajar lebih menitikberatkan keputusan peperiksaan berbanding inti pati sebenar yang harus diperoleh berdasarkan subjek itu. Apabila hal ini berlaku, maka objektif mempelajari subjek Sejarah tidak akan tercapai. 

Sehubungan itu, tanggungjawab besar diletakkan pada bahu guru Sejarah untuk mengubah persepsi berkenaan. Guru Sejarah perlu peka terhadap isu ini dan mengambil langkah penyelesaian supaya pelajar berada pada landasan yang betul ketika mempelajari subjek ini. 

Guru seharusnya menyedarkan pelajar bahawa subjek Sejarah bukannya berorientasi peperiksaan semata-mata, tetapi lebih daripada itu. 

Dengan sejarah, kita mengetahui banyak peristiwa lampau yang bermakna dan boleh diambil pengajaran. Contohnya, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pelajar boleh didedahkan mengenai iktibar daripada peristiwa itu.
 
Begitu juga dengan semangat perpaduan ditunjukkan tokoh pemimpin berlainan bangsa seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan yang mewakili kaum masing-masing dalam mencapai kata sepakat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. 

Daripada peristiwa ini, pelajar akan memahami bahawa perpaduan antara kaum sangat penting untuk merealisasikan keharmonian negara. 
MUHAMMAD FAUZI A RAHMAN, 
UPM, Serdang.
 

Read more...

Pakar Selidik Sejarah Dilantik

Tuesday, November 2, 2010

SERI KEMBANGAN 2 Nov. – Kementerian Pelajaran akan melantik pakar dan penyelidik sejarah tempatan untuk melihat semula kandungan dan kurikulum baru subjek Sejarah dalam sistem pendidikan nasional.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mahu kurikulum baru Sejarah nanti menekankan kepada para pelajar supaya memberi tumpuan serius untuk lulus.

Pada masa sama, katanya, subjek itu hendaklah menjadi mata pelajaran yang menarik, bukan sekadar menghafal tarikh dan peristiwa sebaliknya memaparkan kesedaran serta semangat cintakan negara.

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan akan menjemput sejarawan termasuk di kalangan kaum Cina dan India untuk duduk bersama-sama bagi memperkenalkan kandungan mata pelajaran Sejarah yang lebih baik.

“Tidak ada soal politik. Mana-mana pihak jangan menyalahtafsir mata pelajaran Sejarah mempunyai tujuan politik. Apa yang menjadi sejarah adalah sejarah dan setiap negara mempunyai sejarah sendiri.

“Masing-masing tidak boleh menyenangkan hati memasukkan perkara yang tiada dalam sejarah. Kita belajar sejarah empayar British dan sejarah negara lain. Itu sejarah mereka, kita juga mempunyai sejarah sendiri.
“Mengapa kita perlu takut dengan sejarah kita? Ia sudah ada dalam sistem pelajaran kita selama ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Forum Ekonomi Cina Sedunia Ke-2 (WCEF2) di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas pandangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang bimbang subjek Sejarah mempunyai unsur politik.

Pada 23 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan subjek Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.
Malah, kerajaan turut mengambil pendekatan menjadikannya sebagai subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan atau buruk sangka kononnya subjek Sejarah mempunyai muslihat.
“Saya tidak fikir mana-mana pihak harus berasa curiga dan bimbang mengenai apa saja keputusan dibuat tentang mata pelajaran Sejarah.

“Ini kerana mata pelajaran Sejarah adalah fakta sejarah. Malah, ia sudah diperkenalkan lama dalam sistem pelajaran kita,” ujarnya.

Tegas Muhyiddin, sebelum ini tiada mana-mana pihak mempersoalkan mata pelajaran Sejarah sama ada ia baik atau sebaliknya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Read more...

Subjek Sejarah Bentuk Warga Negara Bestari

Oleh Teo Kok Seong
Kepemimpinan enam Perdana Menteri boleh diterapkan 

PENGUMUMAN bahawa Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras pada peringkat sekolah rendah mulai 2014, adalah langkah yang bijak. Ini antaranya adalah kerana pemahaman terhadap sejarah tanah air boleh membantu dalam pembentukan nasionaliti Malaysia yang lebih tulen, dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, khususnya generasi muda.


Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda kini tidak banyak mengetahui pelbagai peristiwa sejarah negara yang penting. Sesungguhnya, inilah cabaran utama pada masa kini dalam usaha kita membentuk bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu padu, seperti yang digagaskan dalam 1Malaysia.
Dalam hal ini, tumpuan utamanya adalah kepada pelajar agar mereka bukan saja dapat memahami proses pembinaan negara dengan lebih baik. Tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka dapat menghayati pengertian nasionaliti Malaysia dengan penuh semangat patriotisme. 

Hasrat yang sebegini mulia sesungguhnya tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak, dalam apa-apa cara jua. Cadangan untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus perlu dilihat secara positif. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk membebankan pelajar atau menggapai agenda mana-mana pihak. 

Sebaliknya ia adalah untuk memastikan pelajar mengambil serius mengenai subjek ini, yang boleh diolah sedemikian rupa, agar sukatan pelajarannya lebih mengarahkan kepada pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam konteks ini, sukatan pelajaran Sejarah boleh antaranya memberi penekanan kepada proses pemupukan perpaduan kaum di Semenanjung dan integrasi nasional antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, selain membentuk jati diri kebangsaan. Hal ini didapati amat penting dalam negara majmuk, seperti Malaysia yang membenarkan pengamalan kepelbagaian budaya. 


Penekanan kepada proses, yakni siri peristiwa yang membabitkan pelbagai pihak untuk mencapai sesuatu, khususnya kepada penyatupaduan negara serta jati diri kebangsaan, adalah penting untuk pendukungan nasionaliti Malaysia yang jelas sifat Malaysianya. 

Ini antaranya boleh dilakukan dengan meneliti era setiap Perdana Menteri secara rinci, untuk menggarap peranan perkongsian kuasa antara kaum yang diterajui kaum Melayu dalam membina negara daripada Malaya sehinggalah ke Malaysia. 

Dalam hal ini, sumbangan Datuk Onn Jaafar, walaupun beliau bukan Perdana Menteri negara ini, perlu ikut dibincangkan. Legasi beliau sesungguhnya adalah dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, selain menumpaskan rancangan Malayan Union. 

Dalam kerjaya politiknya, pada mulanya Onn memperjuang hak kaum Melayu, tetapi kemudian beliau beralih untuk memperjuang pendekatan pelbagai kaum dalam politik negara. Walaupun Onn tidak berjaya dengan pendekatan ini, beliau sebenarnya meletak asas politik Malaysia yang bersifat multietnik dalam bentuk pentadbiran yang berkongsi kuasa antara kaum. 

Asas ini direalisasikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj apabila beliau berjaya memperoleh kemerdekaan negara daripada British, yang hanya akan memberinya selepas mereka meyakini adanya permuafakatan antara kaum dalam mengurus tadbir negara selepas merdeka. 

Era Tunku banyak meletakkan peraturan asas untuk mengurus hubungan etnik, yang menekankan perkongsian tanggungjawab, selain kuasa. Realiti kebergantungan antara kaum mula diinstitusikan pada era ini. 

Kontrak sosial yang menggariskan prinsip asas bagaimana negara ini perlu diurus tadbir, sebenarnya memperlihat permuafakatan tulen antara Melayu-Cina-India pada waktu kemerdekaan. Ia perlu diinterpretasi dalam semangat dan konteks ia digubalkan, walaupun pada zaman moden ini. 

Era Tun Abdul Razak Hussein memperlihat bagaimana beliau memperkemas sistem selepas kontrak sosial rapuh dengan berlakunya rusuhan kaum pada 1969. Untuk ini, dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, beliau menambahkan prinsip perimbangan dalam kontrak sosial ini dengan memasukkan prinsip kesamaan, khususnya kesamaan ekonomi. 

Ini dilakukan melalui penggubalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970, yang bertujuan untuk mewujudkan kesamaan ekonomi antara kaum Melayu/Bumiputera dengan kaum bukan Melayu/Bumiputera. 

Peranan yang dimainkan Hussein dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, mengambil bentuk yang sedikit berlainan. Untuk ini, beliau mempertahan kedaulatan undang-undang negara, prinsip keempat dalam Rukun Negara. Hal ini dapat dilihat pada kes Datuk Harun Idris yang disabitkan dengan rasuah pada 1975-1978. 

Dalam memastikan pentadbiran era beliau ‘bersih, cekap dan amanah’, Hussein menekankan pentingnya etika yang menjadi asas moral dalam pembinaan negara. Selain terus memberi perhatian serius kepada hubungan etnik, beliau memastikan undang-undang negara perlu selalu dihormati semua pihak. Ini adalah satu lagi prinsip kenegaraan Malaysia yang perlu ditegaskan. 

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam terus membina negara, menambahkan dimensi antarabangsa kepada Malaysia. Beliau selain memantap permuafakatan antara kaum, memberi perwatakan kepada Malaysia agar berlainan dengan negara lain. Antara perwatakan ini ialah pengiktirafan Malaysia sebagai negara maju yang berstatus ekonomi moden melalui Wawasan 2020. 

Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi didapati memberi penekanan kepada etika dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan. Ini antaranya dapat dilihat pada usaha untuk membanteras rasuah, mempertingkat keefisienan, integriti, sistem penyampaian, selain memupuk budaya telus dan bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Peningkatan hubungan etnik yang lebih baik ikut menjadi misi negara pada era ini. 

Era Datuk Seri Najib Razak melalui Gagasan 1Malaysia, ingin menyemai nasionalisme Malaysia yang menekankan konsep ‘1Bangsa 1Negara’. Dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, Najib mengajak rakyat untuk menukar nilai dan cara pemikiran bagi mencapai transformasi, berdasarkan beberapa prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. 

Ini ingin dilakukan melalui rakyat yang bersatu padu dan bertindak bersama-sama sebagai bangsa Malaysia untuk menjayakan pelbagai program kemajuan yang direncanakan. 

Pendidikan adalah saluran penting untuk mencapai transformasi ini. Sejarah adalah antara kurikulum penting yang perlu dimanfaatkan, selain diubah, yakni diolah untuk memenuhi fungsi pertama dan asas pendidikan, iaitu pembentukan warga negara. Ini boleh dilakukan melalui etos yang digaris oleh pentadbiran Perdana Menteri terdahulu dan semasa. 
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Read more...

Sejarah Bantu Kita Fahami Akar Umbi Tamadun Bangsa

Monday, November 1, 2010

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
ayop_60@yahoo.com

Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme

SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'.

Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942.


Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.

Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.

Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.

Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee).

Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta historis (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.

Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).

Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.

Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.

Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.

Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.

Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara. Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.

Pada hemat saya, sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.

Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.

Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.

Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan.

Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Read more...

Mengapa Generasi Muda Tidak Celik Sejarah?



Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.


Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya.. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalahibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah ?

MOHD ARIF ATAN
Bandar Baru Bukit Beruntung, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Read more...

Wajib Lulus Sejarah Pupuk Jati Diri

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu langkah yang tepat. 


Pada pendapat saya, pelajar kini hanya menganggap mata pelajaran Sejarah sebagai subjek pelengkap dalam SPM dan tidak menghayati kepentingan subjek ini.

Sebenarnya, mata pelajaran ini adalah sangat penting dalam membentuk jati diri seseorang warga negara Malaysia. Menerusi mata pelajaran ini, kita dapat mengingati tarikh dan saat penting dalam perjuangan untuk pembentukan Malaysia yang kita semua sayangi.
Dalam pemerhatian saya, tidak ramai pelajar yang dapat mengingati punca negara kita dijajah, kesan diterima rakyat ketika ditentang komunis dan kepentingan Perlembagaan Persekutuan. 

Dapatlah disimpulkan jika penerapan mata pelajaran Sejarah ini dilakukan dengan berkesan, tidak mustahil pada masa akan datang, Malaysia dapat melahirkan rakyat lebih patriotik dan bersemangat nasionalisme tinggi. 

Oleh itu, keputusan Kementerian Pelajaran ini haruslah disambut baik kerana sejarah penting dan perlu dikenang untuk kekalkan keharmonian. 

KHAIRIL, Kulai, Johor. 

Read more...

Orang Muda Buta sejarah!

Friday, October 29, 2010

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasti ramai terkejut dengan hakikat bahawa remaja hari ini tidak tahu siapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tidak cukup dengan itu, bayangkan bagaimanalah tahap patriotisme remaja masa kini kalau tarikh Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 yang disambut pada setiap tahun, pun boleh dilupakan.

Dalam satu soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini, ada remaja menjawab Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama.

Hari Kemerdekaan pula dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden. Antaranya 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun, khususnya antara 16 dan 20 tahun.

Daripada situ, ia menjadi bukti bahawa ramai remaja generasi kini dan segelintir orang dewasa bukan saja buta sejarah malah bersikap tidak ambil tahu dan memandang remeh fakta-fakta penting bangsa dan negara.

Sudah pasti mereka selalu mendengar nama dan melihat wajah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak yang kerap diulang tayang di televisyen atau disiar di akhbar-akhbar.
Namun, apabila ada sikap tidak ambil peduli dan tidak berminat, jika hari-hari pun mereka diajar bahawa Tunku Abdul Rahman itu adalah Perdana Menteri pertama, mereka tetap tidak akan ingat.

Begitu juga dengan Hari Kemerdekaan, sungguhpun tarikh itu terdapat dalam lagu dan diuar-uarkan secara meluas malah dicetak dalam setiap kalendar tahunan, mereka 'tidak ambil pusing' semua itu.

Kalau jumlah yang tidak mengetahui nama Perdana Menteri pertama itu adalah sembilan peratus, tidak hairanlah kalau 49 peratus daripada 200 responden itu tidak mengetahui bila tarikh penubuhan Malaysia.

Mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan pula seramai 17 responden atau 8.5 peratus.

Begitulah realitinya generasi masa kini. Siapa yang salah? Ibu bapa, generasi terdahulu atau sistem pendidikan? Ataupun, sikap orang muda yang memang tidak berminat dengan sejarah negara?

Soal selidik ini bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi sekadar mendedahkan tentang suatu fenomena yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini iaitu tentang ramainya anak muda yang buta sejarah.

Hasilnya, daripada 10 soalan yang diajukan, tiada seorang pun di kalangan responden kelompok di bawah 30 tahun yang berjaya menjawab kesemua soalan itu.

Kajian soal selidik tersebut berkisar tentang pengetahuan umum dan sejarah negara.
Bagi kelompok umur 31 hingga melebihi 51 tahun termasuk seorang responden berusia 55 tahun, semua berjaya dijawab kecuali bagi tiga soalan iaitu tarikh Hari Malaysia, cogan kata negara dan prinsip ketiga Rukun Negara.

Seramai 141 responden atau 70.5 peratus daripadanya tidak mengetahui tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Tiada alasan untuk melupakan tema '1Malaysia Menjana Transformasi' kerana Bulan Kemerdekaan negara baru saja diraikan.

Ketika ditanya tentang tarikh penubuhan Malaysia diajukan, hanya 102 responden yang menjawab dengan tepat sedangkan hari tersebut telah diumumkan sebagai cuti umum di negara ini.

Amat mengejutkan juga apabila sebahagian responden mempersoalkan tentang benarkah wujud cogan kata negara. Hakikatnya ia dilihat di mana-mana termasuk pada kulit belakang buku latihan sekolah.

Lantas, disebabkan tidak tahu, mereka menjawab cincai. Seramai 126 responden menyenaraikan jawapan yang tidak masuk akal seperti 'Hip Hip Hooray'. Selain itu adalah Malaysia Boleh, Berkhidmat untuk Negara, Majulah Sukan untuk Negara.
Menurut mereka, ketika diajukan soalan itu adalah kali pertama mendengar tentang cogan kata sebenar iaitu 'Bersekutu, Bertambah Mutu'.

Reaksi sama diterima berhubung nama bendera kebangsaan Malaysia. Biarpun Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana namun sukar dipercayai, 15 responden atau 7.5 peratus tidak mengetahui nama bendera kebangsaan itu.

Tambah memalukan, ada yang tergamak menamakan Jalur Gemilang sebagai 'Belang'. Ini sekali gus menggambarkan rendahnya moral golongan muda di negara ini yang boleh mempersenda bendera negara sendiri.

Nasib baiklah nama lagu kebangsaan, Negaraku diingati hampir semua responden kecuali empat orang.

Kajian tersebut turut mendapati, 40 responden tidak mengetahui bilangan negeri di Malaysia sehingga ada yang meneka Malaysia terdiri daripada 23, 17 dan 12 negeri.

Bagi soalan prinsip ketiga Rukun Negara dan juga nama Perdana Menteri keenam, iaitu perdana menteri sekarang, masing-masing 29 dan 19 responden gagal menjawab dengan tepat.

Sekali lagi diulangi dan ditegaskan, kebanyakan yang gagal menjawab soalan-soalan berkaitan sejarah dan pengetahuan am ini adalah mereka berusia di bawah 30 tahun serta kebanyakannya antara 16 dan 20 tahun.

Walaupun pelbagai kempen diadakan serta sukatan baru diperkenalkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah namun masalah ini nampaknya terus berlaku.

Kesimpulan daripada kajian dan soal selidik ini adalah:

- Remaja masa kini buta sejarah.

- Remaja masa kini tidak minat mengingati peristiwa lalu.

- Remaja masa kini tidak peduli soal-soal kenegaraan.

- Remaja masa kini tidak suka ilmu pengetahuan am.

- Remaja masa kini ambil mudah patriotisme.

- Remaja masa kini terlalu memandang ke depan.

- Remaja masa kini tidak dipupuk penghayatan, sebaliknya menghafal sejarah.

Read more...

Teknik Interaktif Pupuk Minat Sejarah

HASRAT Kementerian Pelajaran mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2013 ternyata satu tindakan bijak. Ketika bangsa kita kian lupa kepada asal usul sejarah negara, maka ada keperluan untuk memartabatkan ilmu ini dalam konteks masyarakat moden dan usaha ini adalah permulaannya. 


Sejarah membuktikan bangsa berjaya adalah bangsa yang belajar daripada sejarah silamnya. Dalam konteks sebuah negara merdeka dan berdaulat seperti Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana kita mempunyai susur galur peradaban hebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai sejarah agung sebuah empayar dihormati dunia satu ketika dulu.


Mengenai aplikasi subjek ini di sekolah, ternyata ia memerlukan pelaksanaan baru bagi mengikis tanggapan prejudis anak kita bahawa subjek Sejarah membosankan.

Tanggapan ini adalah tanggapan purba. Dengan kecanggihan teknologi dan keterbukaan minda masyarakat moden, pendekatan yang lebih relevan dan fleksibel perlu diguna pakai bagi menjana modal insan cemerlang. Subjek Sejarah tidak harus dilihat sebagai subjek yang hanya mentelaah nota dan buku tebal di dalam kelas. 

Masyarakat Eropah dan Jepun mendidik anak mereka melalui komik, video, filem, dokumentari, lakonan, puisi dan lebih yang efektif lagi melalui lawatan ke lapangan di tempat bersejarah seperti muzium dan tapak arkeologi. 

Anak mereka diajar untuk menghargai, mencintai dan merasai keperitan dan kemanisan sejarah silam melalui pendekatan yang lebih realistik. Dalam satu lawatan saya ke Jepun, mereka mengajar sejarah pemerintahan Maharaja Hirohito ketika Hiroshima dan Nagasaki dibedil bom atom melalui senaskhah komik yang menyeronokkan. 

Komik itu turut menyelitkan dialog bersifat patriotik dan memangkin semangat kebangsaan yang utuh. Hasilnya, lihatlah cintanya masyarakat Jepun kepada sejarah, seni dan budaya mereka lalu bangkit daripada keruntuhan empayar yang dahsyat. 
Pendekatan yang bersifat interaktif mampu mengubah minda masyarakat, terutama pelajar untuk meminati dan ‘berinteraksi’ dengan sejarah. Pelaksanaan melalui pendekatan ini dilihat lebih menyeronokkan, bebas, terbuka dan lebih penting ia mengajar mereka untuk memahami dan belajar daripada sejarah. 

Guru pula bertindak sebagai hakim dan memperbetulkan tanggapan pelajar sama ada betul atau salah sumber maklumat yang diperoleh itu, selain bertanggungjawab memastikan pelajar sentiasa menyuburkan minat terhadap subjek Sejarah. 

Anak pada zaman pasca moden ini perlu membesar dan belajar daripada sejarah. Hakikatnya, bangsa berjaya adalah bangsa yang mengambil iktibar daripada sejarah dan tidak pernah melupakan asal-usulnya. 


ZULFAZLAN JUMRAH, 
Persatuan Penulis-Penulis Johor.
 

Read more...

Kaedah Baru Ajar Sejarah

Monday, October 25, 2010

Drama, lawatan elemen pembelajaran diperkenal 2014 elak murid bosan

AYER KEROH: Sejarah yang menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam.



Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengenalan mata pelajaran Sejarah akan menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama.


Katanya, semua aspek yang akan digunakan itu amat sesuai bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.

“Kementerian akan memastikan mata pelajaran Sejarah tidak diajar sehingga membosankan murid dan oleh sebab itulah pendekatan kerja sampingan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama diperkenalkan.

“Elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda,” katanya selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, dan Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad. 


Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, mata pelajaran Sejarah perlu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan anak bangsa, selain memastikan mereka memahami asal usul supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila dewasa kelak.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah berasaskan kepada kehendak rakyat sendiri yang melihat aspek sejarah itu amat penting.

“Pembelajaran mata pelajaran itu dari awal pasti memberi impak positif yang memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lanjut berhubung pelaksanaan Sejarah bagai mata pelajaran teras dalam KSSR, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, selain Perlembagaan, murid juga akan didedahkan kepada peristiwa penting tanah air seperti kemerdekaan, mengenali tokoh tempatan dan latar belakang masyarakat di negara ini menerusi mata pelajaran itu.

“Bagaimanapun, kurikulum subjek ini di sekolah rendah akan lebih menjurus kepada sukatan asas serta mudah, dan bukan fakta berat seperti pada peringkat sekolah menengah.

“Kementerian akan membuat penyusunan supaya tidak berlaku pertindihan kurikulum antara mata pelajaran Sejarah dan Kajian Tempatan kelak. Namun, penentuan sama ada mata pelajaran teras ini dilaksanakan mulai Tahun Satu atau Tahun Empat masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alimuddin berkata, langkah melaksanakan Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah rendah juga akan membantu persediaan murid selari keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dalam konteks ini, beliau berkata, persediaan akan dilakukan untuk membantu guru melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik supaya pelajar mampu menghayati serta menguasai subjek teras itu dengan berkesan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Keputusan itu (wajib lulus Sejarah dalam SPM) bukan semata-mata disebabkan timbulnya pelbagai isu (berkaitan) kebelakangan ini, tetapi kerana pengetahuan Sejarah amat penting untuk melahirkan warga bertanggungjawab, ada jati diri dan bersatu padu,” katanya. 



Sumber : Berita Harian Online

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP