Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Rakyat Patriotik Patut Bangga Bertutur Guna Bahasa Melayu

Friday, February 4, 2011

RAKYAT bukan Melayu negara ini, khususnya yang berketurunan Cina begitu sensitif apabila ada pihak yang mempersoalkan semangat patriotisme mereka atau kesediaan mereka menjadi rakyat yang memiliki jati diri terhadap negara ini. 

Lantaran itu, pernahkah mereka bertanya pada diri sendiri kenapa masih ada orang Melayu yang sangsi terhadap pendirian sesetengah daripada mereka. Saya hanya mahu ajukan satu persoalan saja.



Apakah semua mereka yang mengakui sebagai warga negara ini tahu apa itu jati diri sebagai rakyat Malaysia? Bolehkah sesetengah daripada mereka menunjukkan sikap bahawa mereka menerima sepenuhnya jati diri itu yang antaranya menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan menghayatinya?

Kenapakah sehingga kini pun masih terdapat pelbagai puak yang sengaja memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu hingga ada yang tidak langsung menunjukkan rasa menghormati kepada bahasa kebangsaan negara yang mereka sendiri akui sebagai tanah tumpah darah mereka? 

Persoalannya ialah kenapa selepas 53 tahun merdeka pun masih ramai tidak mengambil kisah penggunaan bahasa kebangsaan negara ini? Sebagai warga negara yang taat setia, mereka sepatutnya berbangga dengan bahasa kebangsaan negara mereka sendiri. 

Apa kesetiaannya kalau bahasa kebangsaan negara sendiri pun mereka tidak berusaha mempelajari dan menggunakannya. Bahasa Melayu yang mereka pelajari di sekolah Cina pun hanyalah untuk lulus peperiksaan saja. Selepas menduduki peperiksaan, mereka terus melupakannya dan langsung tidak bertutur dalam bahasa Melayu. 

Maka itu, Kementerian Pelajaran patut mulai tahun ini menetapkan semua pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan lulus ujian lisan seperti ditetapkan untuk Bahasa Inggeris. Kalau mahu lulus Bahasa Inggeris, pelajar dikehendaki juga lulus ujian lisan bahasa Inggeris, kenapa ujian demikian tidak boleh diadakan untuk bahasa Melayu juga? 


Kini ramai di antara mereka memberi alasan usaha kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk terus mengabaikan bahasa Melayu. Kenapa demikian? Penguasaan bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan pengabaian bahasa Melayu. 

Seperti yang pernah dinyatakan Prof Dr Teo Kok Seong dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, bahawa bahasa adalah medium untuk meningkatkan perpaduan dan semangat nasionalisme. 

“Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita dan diperkenalkan demikian ke persada dunia. Walaupun dalam masa sama kita pelajari bahasa Inggeris, ia bukanlah bertujuan mengetepikan bahasa Malaysia,” katanya. 

Apakah keadaan ini yang menyebabkan akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu saja? Edaran akhbar Melayu kepada orang bukan Melayu tidak sampai lima peratus pun dari jumlah keseluruhan edarannya dengan hanya dua peratus dibaca orang Cina dan tiga peratus orang India. 

Apakah kesimpulan yang kita boleh buat dari perkembangan akhir-akhir ini hinggakan risalah iklan pelbagai barangan dan pembinaan rumah hanya diadakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Seperti juga sesetengah kopitiam yang dilanggan orang Melayu pun tidak menghormati bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja di kedai-kedai itu. Apakah mereka bukan beroperasi di Malaysia? 

Apakah jati diri mereka sebagai rakyat negara ini? Salahkah kalau orang Melayu beranggapan bahawa ada orang Cina sememangnya tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini. 

Kita tidak pula persoalkan malah jauh sekali mahu menyekat mereka mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda mereka. Tetapi dalam mereka berterusan menggunakan bahasa ibunda tidakkah mereka boleh berusaha dan menunjukkan kesungguhan mahu mendaulatkan juga bahasa kebangsaan negara ini? 

Apakah ini pun suatu kehendak yang melampau? Mereka ini begitu sensitif apabila semangat patriotisme mereka disangsikan tetapi sedikit pun tidak mahu berusaha mengguna dan faham bahasa Melayu? 

Bilakah agaknya kita boleh mengharapkan keseluruhan rakyat keturunan Cina dan India akan bertutur dalam bahasa kebangsaan negara ini dalam perbualan harian mereka. Perkara ini adalah suatu kebiasaan di Indonesia yang mana rakyat berketurunan Cina akan bertutur bahasa Indonesia walaupun sesama orang Cina? 

Kita sudah merdeka lebih 53 tahun. Apakah kita perlu menunggu 50 tahun lagi baru dapat mengharapkan hal ini akan berlaku? Tetapi kalau kita lihat dari pelbagai tindak tanduk sesetengah mereka, lagi 100 tahun pun tentunya akan ada rakyat negara ini yang masih tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu. 

Mereka memberi alasan kononnya orang Melayu sendiri pun tidak bertutur bahasa Melayu. Ini sebenarnya tidak harus dijadikan alasan kerana sememangnya orang Melayu akan dapat bertutur bahasa Melayu pada bila-bila masa. Usaha kerajaan hendak menggalakkan bahasa Inggeris tidak seharusnya dijadikan alasan kenapa mereka tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu. 

Buat masa ini pembelajaran bahasa Melayu sebagai subjek di sekolah Cina tidak diberikan penekanan. Mereka sebenarnya lebih mengutamakan bahasa Inggeris selain Mandarin. Sebab itulah guru yang mengajar bahasa Melayu dikehendaki juga tahu bertutur Mandarin. Anehnya syarat ini tidak pula dikenakan ke atas guru yang mengajar bahasa Inggeris. Mereka tidak perlu tahu berbahasa Mandarin. Kenapa guru bahasa Melayu didiskriminasikan demikian? 

Inilah yang patut direnungi kalau mereka benar-benar cintakan negara ini sebagai tanah tumpah darah sendiri. 


Penulis adalah Felo Kanan di UKM 


0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP