Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

‘Kesilapan Manusia’ Tak Patut Berulang

Monday, February 7, 2011






BARU-BARU ini Kementerian Pelajaran mengambil keputusan menarik balik kira-kira 400,000 buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi banyak kesalahan. Tindakan itu bermakna buku yang diterbitkan berkenaan terpaksa ‘dilupuskan’ dan Kementerian Pelajaran memerlukan kos tambahan untuk mencetak buku baru bagi menggantikannya.

Kesalahan kandungan buku itu disedari apabila akhbar New Straits Times menerusi halaman Letters, menyiarkan aduan seorang pembaca mengenai buku teks Bahasa Inggeris Tahun Satu yang mengandungi banyak kesalahan dari segi tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat. Pembaca yang menggunakan nama ‘Sandra Rajoo’ dari Ipoh, Perak, turut memperincikan contoh kesalahan berserta muka suratnya sekali, selain mempersoalkan bagaimana kesalahan itu gagal dikesan tiga penulis dan empat editor yang terbabit menghasilkan buku teks berkenaan. Kesilapan itu turut diakui oleh Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA).

Berikutan itu, banyak pihak memberi pandangan dan mencadangkan agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan buku itu. Akhirnya pada 27 Januari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud mengumumkan buku itu ditarik balik dan diganti dengan buku teks cetakan baru, Mac ini. 

Bagaimanapun, buat masa ini buku yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu masih digunakan dan apabila buku baru siap dicetak dan diedarkan ke semua sekolah kebangsaan tidak lama lagi, barulah buku teks sedia ada yang mengandungi kesalahan itu ditarik balik dan dilupuskan. 

Kita percaya keputusan menarik balik buku teks itu adalah tindakan yang terbaik dan tepat bagi menjaga kualiti bahan pembelajaran dan ilmu yang mahu disampaikan kepada murid. Adalah tidak wajar murid didedahkan dengan bahan yang mengandungi kesalahan, walaupun ia dianggap kesalahan kecil. Kita yakin tindakan itu diambil selepas Kementerian Pelajaran membuat kajian terperinci dan mendapatkan pandangan mereka yang pakar dalam bahasa Inggeris. 

Dalam hal ini, kita patut memuji sikap pembaca kerana cepat mengesan kesalahan itu, kemudian tampil mendedahkannya kepada pihak media. Sikap itu membuktikan masyarakat kini amat prihatin dan turut mengambil tanggungjawab membetulkan sebarang kesilapan terutama berkaitan soal pendidikan membabitkan anak mereka. 
Kita harus bersikap profesional dan menerima pendedahan yang dibuat pembaca itu secara positif. Tidak sepatutnya ada pihak menganggap pendedahan itu sebagai cubaan mencari kesilapan mana-mana pihak, sebaliknya anggaplah ia demi kebaikan pelajar dan ilmu yang ingin disampaikan. Bayangkan jika kesilapan itu tidak dibangkitkan, sedangkan ada pihak mengetahui wujud kesalahan dalam buku berkenaan. Apa akan terjadi jika murid terus menerima ilmu yang salah? 

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, menyifatkannya sebagai ‘kesilapan manusia’ yang terlepas pandang kerana katanya, ia tetap berlaku walaupun sudah disaring panel penilai DBP dan Kementerian Pelajaran. Beliau juga tidak bercadang mengambil sebarang tindakan atau meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada mana-mana individu. Semua pihak terbabit bertanggungjawab kerana penerbitan buku itu membabitkan beberapa pihak dan tidak patut menyalahkan individu tertentu saja. 

Kita difahamkan Kementerian Pelajaran mempunyai sistem dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi dalam proses penerbitan sesebuah judul buku. Persoalannya bagaimana kesalahan itu boleh terlepas pandang? Apakah ada individu yang bersikap sambil lewa dan beranggapan tidak mungkin penulisnya melakukan kesilapan, memandangkan kandungan buku teks bahasa Inggeris Tahun Satu adalah mudah dan paling asas. 

Dalam penerbitan sesebuah judul buku, perkara yang harus diutamakan ialah kandungan serta kualitinya. Buku teks diterbitkan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Mutu pendidikan bergantung kepada buku teks kerana sistem pengajaran dan pembelajaran kita masih sepenuhnya berpandukan buku teks. Oleh itu Kementerian Pelajaran harus memastikan mutu buku teks, iaitu dari segi kandungannya memenuhi matlamat sukatan pelajaran. 

Kita tidak mahu disebabkan kecuaian segelintir individu, menyebabkan masyarakat hilang keyakinan dan mempersoalkan tahap kualiti bahasa Inggeris yang diajar di sekolah, termasuk kualiti guru yang mengajar subjek berkenaan. Ketika kerajaan berusaha memperkasakan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar, kesalahan dalam buku teks sekolah yang diterbitkan sendiri DBP tidak sepatutnya berlaku. 

Mereka yang terbabit menyediakan buku untuk kegunaan pelajar sebenarnya memikul amanah besar, sama pentingnya dengan tugas pendidik kerana buku teks sekolah digunakan oleh ramai pelajar, apatah lagi kanak-kanak Tahun Satu. 

Mereka masih baru belajar untuk mengenal huruf dan angka. Mereka juga belum mampu mengesan yang mana salah dan mana yang betul. Apa yang diajar guru di dalam bilik darjah, itulah yang menjadi ikutan dan panduan mereka. 

Sikap berlembut Kementerian Pelajaran diharap tidak diambil kesempatan mana-mana pihak untuk bersikap sambil lewa menjalankan tanggungjawab pada masa depan. Walaupun tiada tindakan diambil terhadap mana-mana kakitangan, namun mereka yang terbabit termasuk penulis, editor dan panel penilai wajar menganggap penarikan buku itu sebagai satu tamparan kepada mereka di atas kepercayaan yang diberikan. 

Kita harap kesalahan seperti yang berlaku itu tidak akan berulang bagi mengelak kerugian yang sia-sia. Jadikan ia sebagai iktibar dan pengajaran agar mereka yang terbabit dalam penerbitan buku sentiasa peka dan mengutamakan kualiti pada masa depan. Selain memastikan kesalahan sifar dalam buku teks sekolah, Kementerian Pelajaran juga mesti memantau semua buku kerja yang digunakan pelajar, terutama yang berbahasa Inggeris bagi memastikan penerbitnya tidak mengabaikan kualiti.



Sumber : Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP