Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Penilaian Baru Mampu tingkat Motivasi Kerja Penjawat Awam

Thursday, January 20, 2011

SISTEM penilaian baru yang bakal diperkenalkan kerajaan bagi menilai prestasi kakitangan awam menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) diharap dapat mengatasi beberapa masalah yang timbul dalam pelaksanaan PTK sebelum ini. Kita percaya sistem penilaian baru itu yang akan dilaksanakan selepas pemansuhan PTK berkuat kuasa 1 Januari lalu dapat memuaskan hati semua pihak, terutama kakitangan awam. 


Kita mahu pelaksanaan sistem penilaian baru itu dapat menjamin hanya kakitangan awam yang benar-benar layak dan cemerlang mendapat kenaikan pangkat dan pergerakan gaji. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011 Oktober lalu menyedari masalah yang wujud berikutan banyak rungutan berhubung PTK. Sebab itulah kerajaan memutuskan PTK tidak lagi diguna pakai dalam proses kenaikan pangkat dan jawatan bagi sektor perkhidmatan awam. Tentunya ramai kakitangan awam menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu kerana prestasi seseorang kakitangan awam itu sewajarnya dinilai daripada banyak aspek dan tidak berdasarkan peperiksaan PTK semata-mata. 


Antara aspek yang perlu diambil kira termasuk pengalaman kerja, produktiviti, pencapaian individu dalam menyumbang kepada jabatan masing-masing serta kemampuan menjawab soalan peperiksaan berdasarkan bidang tugas hakiki. Kelmarin akhbar ini melaporkan, satu sistem penilaian baru akan diwujudkan bertujuan meningkatkan prestasi kakitangan awam serta keseluruhan sektor perkhidmatan awam di negara ini. Walaupun sistem penilaian baru itu belum diberi nama khusus, kita yakin ia dapat menilai kakitangan berdasarkan tugas hakiki, pengalaman dan keunikan jabatan antara aspek utama yang akan diambil kira, berbanding PTK. 

Kita sedia maklum kaedah mengukur prestasi kakitangan awam menggunakan PTK sering dipersoal kakitangan awam sendiri. Sebahagian besar kakitangan yang mengguna pakai sistem itu mendakwa prestasi kerja mereka tidak dinilai dengan tepat, malah lebih buruk wujud pilih kasih.


Menilai hanya berdasarkan jawapan yang diberi di atas kertas melalui PTK sama sekali gagal mencapai matlamat melahirkan kakitangan cemerlang, produktif dan memiliki integriti. Selain penyediaan soalan objektif, ada juga berbentuk subjektif yang dikatakan tiada kaitan langsung dengan tugas hakiki dan pengalaman bekerja kakitangan. Keadaan itu, secara tidak langsung memberi tekanan kepada kakitangan awam, terutama yang kebanyakannya hampir mencecah usia persaraan untuk mentelaah sukatan pelajaran PTK, berbanding kakitangan muda.


Berikutan itu, ada kakitangan yang terpaksa meninggalkan tugas mereka semata-mata mahu memberi tumpuan kepada peperiksaan dan keadaan itu menyebabkan produktiviti terjejas. Kepada kakitangan senior yang gagal PTK mereka akan kecewa, apatah lagi melihat kakitangan baru lebih muda lulus, dinaikkan pangkat dan menjadi ketua mereka, walaupun tiada pengalaman. Apa yang membimbangkan kita disebabkan tidak lulus PTK, ada kakitangan yang memprotes secara senyap dengan tidak bekerja bersungguh-sungguh.


Berikutan itu, banyak pihak, terutama CUEPACS yang mewakili hampir 1.2 juta kakitangan awam mahu PTK dimansuhkan dan digantikan dengan kaedah lebih sesuai dalam menilai prestasi kakitangan awam. Kita harap prestasi kakitangan awam akan dinilai dengan seadil-adilnya menerusi sistem penilaian baru ini agar tidak ada lagi kelemahan yang boleh menjejaskan motivasi kakitangan awam melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat.


Sumber : Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP