Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Masih Ramai Lulusan Universiti Bergaji Kecil

Wednesday, January 5, 2011

AKHIR-AKHIR ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai matlamat ini. 

Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti.

Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima ganjaran setimpal dengan kelulusan. Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan.
Apa pun tidak juga ada maknanya berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk melangsaikannya. 

Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak. 

Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank. 

Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan ringgit. 
Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri. 

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu dibeli pekerja demikian ini.

Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini? 

Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan hampir setahun lalu. 

Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa diberikan surat pelantikan. 

Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan mereka di kota. 

Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang bekerja. 

Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan tanpa diberikan bayaran lebih masa. 

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang alasan munasabah. 

Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan. 

Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik. 

Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian. 

Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan. 

“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.” 
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat. 

Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu? 

Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang mengeksploitasi rakyat sedemikian? 

Penulis adalah Felo Kanan UKM 

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP