Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Kesilapan Pada Buku Teks Sekolah Jejas Pembelajaran Murid

Wednesday, January 5, 2011

ISU kesalahan tata bahasa, kosa kata dan struktur ayat yang dikesan berlaku dalam buku teks Bahasa Inggeris Tahun 1 (2011) seperti dilaporkan kelmarin tidak boleh dipandang ringan dan perlu diambil tindakan segera untuk membetulkannya. Aduan mengenai kesalahan itu dimuatkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris selepas orang ramai mengesan kesilapan itu.


Selepas disemak secara terperinci, Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) turut mengesahkan terdapat kesilapan yang amat ketara pada buku teks berkenaan seperti yang didakwa orang ramai. Kita harus akui masyarakat khususnya ibu bapa kini begitu peka dengan apa yang berlaku membabitkan soal pendidikan anak mereka. Keprihatinan dan kepekaan ibu bapa dalam soal pelajaran membuktikan mereka amat menitikberatkan apa yang berlaku dan dilalui oleh anak mereka di sekolah. 


Oleh itu, kita tidak boleh mengambil ringan setiap aduan berkaitan soal pelajaran dan menerimanya secara positif termasuk teguran mengenai kesilapan dalam buku teks berkenaan. Kita tidak boleh menganggap perkara itu kecil dan sengaja ditimbulkan atau mencari kesalahan pihak lain termasuk mereka yang cuai dan menjadi punca kesilapan berkenaan. Sebaliknya jika kesalahan itu benar-benar berlaku dengan ketara, kita tidak mempunyai pilihan selain membetulkannya segera supaya murid Tahun Satu yang baru hendak membina kemahiran bahasa Inggerisnya, tidak melakukan kesalahan sama. 


Apa yang menghairankan kita dan menjadi persoalan ialah bagaimana kesilapan itu boleh berlaku kerana buku teks sekolah sepatutnya bebas sepenuhnya daripada sebarang kesilapan. Setahu kita, proses menyediakan buku teks sekolah disemak secara rapi dan terperinci oleh mereka yang mahir dan profesional. Sebelum dicetak oleh penerbit, manuskrip terlebih dulu harus melalui beberapa kali proses saringan oleh pakar bahasa serta ahli akademik berkaitan. 

Justeru, dalam kes buku Bahasa Inggeris Tahun 1 (2011) ini, apakah proses rutin itu dipatuhi dengan penuh beretika dan bertanggungjawab? Jika ia disaring secara profesional, bagaimana kesilapan itu boleh terlepas pandang dan tidak dapat dikesan sebelum dicetak? Kes sebegini boleh menjejaskan imej Kementerian Pelajaran walaupun proses menerbitkan buku teks itu dilakukan di bahagian tertentu. 



Kita bersetuju dengan tindakan pantas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, yang mengarah Bahagian Buku Teks (BBT) bertindak segera meneliti dakwaan itu dan mengambil tindakan susulan mengenainya. Beliau memberi jaminan sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid Tahun Satu tidak terjejas dan berjalan lancar. 


Kita tidak mahu kecuaian segelintir pegawai dalam penerbitan buku berkenaan akan memberi ruang kepada pihak tertentu untuk memperlekeh dan menggembar-gemburkan kelemahan agensi terbabit. Kecuaian itu juga menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan membuat pembetulan sama ada mencetak semula buku berkenaan atau menampal bahagian yang salah. 


Kesilapan begini tidak sepatutnya berulang pada masa depan dan semua pihak terbabit dalam penerbitan buku teks sekolah harus menjadikannya sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas. Adalah penting, apa juga jenis buku diterbitkan dan diedarkan untuk tatapan umum, apatah lagi buku teks sekolah yang menjadi rujukan pelajar mesti bebas sepenuhnya daripada sebarang kesalahan, sama ada dari segi fakta, ejaan, bahasa, kosa kata dan struktur bahasa. Setiap karya mesti diterbitkan dengan penuh teliti dan jaminan dari segi kualitinya supaya menepati piawaian ditetapkan.

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP