Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Menjaga Maruah Linguistik Negara

Wednesday, October 27, 2010

Kurikulum bahasa Melayu berpaksi pelajar pupuk minat 

BELANJAWAN 2011 mencadangkan peruntukan RM29.3 bilion diagihkan kepada sektor pendidikan. Daripada jumlah besar ini, sebanyak RM213 juta pula dicadangkan digunakan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Cadangan ini selari dengan Program Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBM-MBI), yang diperkenalkan selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diumumkan pemansuhannya pada Julai 2009.

Sebenarnya, pelajar kita bukan saja lemah dalam kemahiran berbahasa Inggeris, mereka juga lemah ketika menggunakan bahasa Melayu. Justeru, langkah yang diambil untuk mempertingkatkan penguasaan kedua-dua bahasa pada masa sama, bukan saja menepati semangat Program MBM-MBI. Tetapi yang lebih penting lagi ia menjaga maruah linguistik negara yang antaranya perlu sentiasa wujud dalam bentuk bahasa Melayu sebagai idiom teras kepada jati diri kebangsaan dan nasionaliti Malaysia. 

Sehubungan ini, dalam pelaksanaannya, bahasa Melayu selaku bahasa negara perlu sentiasa diutamakan, agar bertepatan dengan hasrat kita untuk memartabatkannya. 

Manakala bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa yang penting, perlu dipelajari dengan tekun, supaya kita dapat memanfaatkan ilmu yang diungkapkan di dalamnya. 

Langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris akan dimulakan dengan pengambilan 375 orang guru penutur jati bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Australia. Penggunaan guru daripada kalangan penutur natif tidak dapat dinafikan adalah antara kaedah berkesan untuk mengajar bahasa. 
Namun, pendidik tempatan tidak boleh sekali-kali dipinggirkan, yakni dalam erti kata dijadikan pihak yang mempunyai kedudukan yang lebih rendah daripada 375 orang asing itu. Guru bahasa Inggeris tempatan perlu digandingkan dalam rangka kerja bahawa mereka lebih berkuasa, dalam pengendalian usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, khususnya pada tahap membuat keputusan. Ini adalah penting kerana mereka lebih mengetahui keadaan tempatan, selain psikologi pelajar Malaysia. 

Hal ini juga perlu untuk memastikan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan penyebaran bahasa itu dan tidak sekali-kali atas landasan kekuasaan bahasa berkenaan. Atas landasan penyebarannya, bahasa Inggeris akan dipelajari kerana kepentingannya dalam bidang pendidikan dan beberapa yang lain. 

Orientasi pembelajaran landasan begini bersifat instrumental, yakni bahasa Inggeris dikuasai sebagai alat untuk memperoleh ilmu, yang boleh memajukan rakyat dan negara. 

Ia tidak boleh diajar dan dipelajari lebih daripada itu, apatah lagi atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris, yang didapati boleh meminggirkan bahasa yang kurang berprestij daripadanya. Peminggiran ini boleh mengambil pelbagai bentuk. 

Antaranya adalah peranjakan bahasa, yang menjadi fenomena bahasa berprestij mengambil alih peranan yang dimainkan oleh bahasa kurang berprestij dalam bidang penting negara, misalnya sistem pendidikan kebangsaan. Ini pernah berlaku di negara ini apabila PPSMI dilaksanakan pada 2003. 

Tidak seperti yang berlaku pada bahasa Inggeris, langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu tidak dinyatakan langsung, walaupun secara ringkas, ketika pembentangan Belanjawan 2011 itu. 

Walaupun tidak disebut, penguasaan bahasa Melayu yang akan dipertingkatkan itu perlu dilakukan melalui pelbagai strategi. Antaranya pedagogi, psikologi, sosiologi dan politik. 

Dari segi pedagogi, iaitu bidang perkaedahan mengajar, pelajar perlu diajar mengenai sistem bahasa Melayu agar mereka dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Selain ini, pelajar, khususnya bukan Melayu juga perlu dipastikan menguasai budi bahasa Melayu. 

Ini adalah penting untuk membolehkan mereka berfungsi dengan baik ketika berada dalam komuniti bahasa Melayu dan tidak dianggap sebagai tidak sopan. 

Strategi ini akan menghasilkan pelajar yang cekap dari segi sistem dan budi bahasa Melayu dengan menggunakan pelbagai kaedah pendidikan yang menarik lagi berkesan. Penguasaan kedua-dua kecekapan ini secara rentak adalah penting sekali ketika berbahasa Melayu. 

Dari segi psikologi, iaitu bidang yang meneliti proses minda dan pemikiran, peningkatan penguasaan bahasa Melayu ini boleh mengambil bentuk perhatian yang lebih mengutamakan pelajar. 

Ini bermakna kurikulum bahasa Melayu itu perlu berpaksi pelajar. Dengan ini, faktor pelajar yang antaranya merangkumi kebolehan mereka dari segi pemahaman, perasaan dan sikap, diberi perhatian serius. 

Strategi begini didapati berjaya membantu pengembangan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Ini antaranya adalah kerana kebanyakan keputusan mengenai proses pembelajaran ditentukan pelajar sendiri. Antaranya, termasuk penilaian kendiri serta penggunaan teknik pembelajaran yang digemari mereka. 

Dari segi sosiologi, yakni bidang yang meneliti masyarakat dan dalam konteks peningkatan ini, bahasa Melayu perlu diajar sebagai bahasa yang dapat memberi prestij sosial yang tinggi kepada pelajar. 

Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlu dijadikan penanda kecemerlangan, yakni dalam pengertian sebagai bahasa yang paling berpengaruh di negara ini. 
Faedah sosial ini sudah tentu mempunyai kesan positif kepada pembelajaran bahasa Melayu. Nilai bahasa Melayu yang tinggi, ekoran daripada peranan penting yang dihubungkan dengannya dan/atau persepsi masyarakat yang baik terhadapnya. 
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP