Lagu Kebesaran Negeri Sembilan Digubah Semula
Wednesday, October 27, 2010
SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, malam tadi melancarkan lagu kebesaran Negeri Sembilan yang digubah semula hasil inisiatif dan kreativiti anakanda baginda, Tunku Zain Al-Abidin.
Majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini turut dihadiri Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani, Tunku Zain Al-Abidin, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pembesar-pembesar negeri.
Dalam ucapannya, Mohamad berkata, lagu itu diubah semula kerana terdapat pelbagai versi dan berlakunya perubahan daripada segi tempo, melodi dan nyanyian iaitu ada yang perlahan dan ada yang agak laju.
"Justeru, atas inisiatif Tunku Zain Al-Abidin, sebuah projek bagi menyusun kembali dan menyeragamkan lagu kebesaran ini telah dilaksanakan. Dengan mengekalkan melodi asal dan lirik yang sedikit diubah, ia bakal menjadi sebuah gubahan lagu yang merdu dan sedap didengar. Ditambah pula dengan iringan suara harmoni dan instrumen muzik yang lebih klasik," kata Mohamad.
Tunku Zain Al-Abidin pula berkata, idea untuk mengubah semula lagu kebesaran Negeri Sembilan ini tercetus ketika beliau di luar negara.
"Saya amat gembira kerana berjaya mengubah semula lagu kebesaran Negeri Sembilan ini hasil dorongan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri. Lagu versi baru begitu bermakna buat diri saya," katanya. -
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment