Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Sekolah kebangsaan Sebagai Pilihan Rakyat

Thursday, March 3, 2011

Kementerian Pelajaran patut keluar kenyataan tangkis persepsi isu penswastaan 

PANDANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu mengenai kemungkinan kerajaan mendapatkan bantuan swasta untuk membiayai pembinaan semula atau penambahbaikan sekolah yang daif kiranya peruntukan kerajaan tidak mencukupi menimbulkan pelbagai tafsiran sesetengah rakyat.

Yang ketara ialah salah anggap oleh sebuah stesen radio swasta, BFM hingga menjadikannya satu tajuk perbincangan dengan pendengarnya Jumaat lalu, kononnya kerajaan berhasrat untuk menswastakan sekolah kebangsaan.


Demikian juga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah mengeluarkan kenyataan membantah sebarang langkah demikian. Kesatuan itu berpendapat kiranya benar ada usaha itu ia perlu dihadkan kepada penambahbaikan dalam infrastruktur serta peralatan saja dan tidak seharusnya menyentuh aspek akademik. Penswastaan sepenuhnya akan ‘melonjakkan kos dan menjadikan persekolahan terlalu mahal dan di luar jangkauan golongan miskin.’ 

Saya kurang pasti bagaimana tanggapan salah ini boleh timbul dan berlanjutan demikian kerana apa yang disebutnya kepada akhbar di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai dekat Limbang, Sarawak pada 17 Februari lalu hanyalah berkisar pertimbangan membaiki kira-kira 600 sekolah daif dan kemungkinan pembabitan syarikat swasta membaiki sekolah itu kerana peruntukan kerajaan tidak mencukupi. Jadi amat menghairankan bagaimana ia boleh pula disalah tafsir oleh stesen radio itu, malah NUTP sendiri terhadap kemungkinan kerajaan menswastakan sekolah kebangsaan. 

Jelas persepsi salah ini memang wujud. Maka itulah Kementerian Pelajaran sudah sepatutnya mengeluarkan kenyataan memberikan gambaran yang sebenar, iaitu apakah yang dimaksudkan Muhyiddin apabila mengesyorkan pihak swasta membiayai sesetengah sekolah. 

Kiranya tidak ada penjelasan yang tegas mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan Muhyiddin salah sangka demikian ini tentunya akan berlarutan. Kalau dilihat daripada reaksi ramai pendengar stesen radio swasta itu yang majoritinya bukan Melayu, rata-ratanya memang mahu kerajaan menswastakan sekolah bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat pelajaran terbaik di sekolah. Mereka rata-ratanya tidak keberatan membiayai persekolahan anak-anak kalau pun yuran sekolah akan berganda kiranya ia diswastakan sebab mereka sememangnya mampu. 


Tentunya bagi mereka yang mampu dan kebanyakannya pula terdiri daripada rakyat menengah berada di bandar besar bukanlah satu masalah. Tetapi bagaimana pula dengan rakyat yang tidak berkemampuan demikian yang kebanyakannya di bandar kecil dan di luar bandar. Malangnya, bagi kita di Malaysia kedudukan ini mengikut bangsa iaitu majoriti yang tidak berkemampuan demikian terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. 

Maka itu kiranya penswastaan sekolah seperti yang difikirkan mereka itu berlaku akan berengganglah lagi rakyat negara ini dan bagaimana hendak mengisi usaha 1Malaysia yang dilaungkan. 

Sudah tidak cukup dengan kedudukan majmuk yang ada dengan perbezaan mengikut kaum, agama, adat resam dan bahasa, nanti ditokok pula dengan perbezaan berdasarkan kelas antara golongan berada dengan miskin. Lebih mengusutkan lagi perbezaan ini rata-ratanya pula mengikut bangsa. 

Usaha saya menghubungi stesen radio itu ketika perbincangan mengenai isu ini di udara gagal kerana sering saja mendapat deringan menunjukkan talian digunakan. Tetapi apabila telah dapat sambungan tiada siapa pula mengangkat gagang telefon. Jadi usaha saya memberikan pandangan bercanggah dengan pandangan kebanyakan pendengar stesen radio itu tidak berjaya. 

Kita sekarang sudah pun mempunyai pelbagai aliran sekolah hingga kurangnya interaksi bagi kebanyakan kanak-kanak berbilang bangsa. Maka itu majoriti murid di sekolah kebangsaan terdiri daripada anak-anak Melayu, anak-anak Cina kebanyakannya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina dan demikian pula anak-anak India mendapat pendidikan di sekolah Tamil. 

Keadaan yang tidak memberikan ruang untuk wujudnya pergaulan berbilang bangsa tentunya memberikan implikasi yang tidak menyenangkan pada jangka masa panjang dalam usaha memupuk persefahaman dan keharmonian antara kaum. 

Pergaulan antara kanak-kanak berbilang bangsa amat penting digalakkan dari kecil demi kewujudan keharmonian dan persefahaman. Pergaulan demikian ini juga penting bagi membolehkan anak Melayu biasa bertutur Inggeris dan anak bukan Melayu pula bertutur bahasa Melayu. 

Satu cara terbaik untuk menggalakkan usaha penyatuan supaya tidak akan wujud prasangka buruk di antara kaum ialah dengan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan oleh ibu bapa semua bangsa tanpa mengira kedudukan mereka. 

Ini bermakna semua sekolah kebangsaan sudah sepatutnya boleh menampung segala kehendak ibu bapa hingga mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah di situ. 

Sememangnya sudah bertahun kerajaan melaungkan mahu memperkasakan sekolah kebangsaan. Malangnya ia tinggal laungan saja tanpa ada usaha serius dan berkesan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan oleh semua rakyat negara ini. Jadi apa yang perlu dilakukan? Kita tahu bukan Melayu mahu anak-anak mereka, selain daripada boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik mahukan anak-anak mereka juga fasih bahasa Inggeris selain daripada bahasa ibunda. 

Maka itu semua sekolah kebangsaan sepatutnya sudah boleh menyediakan kehendak ini. Ada juga yang persoalkan disiplin yang dikatakan semakin merosot di sekolah kebangsaan walhal disiplin di sekolah jenis kebangsaan Cina amat baik sekali. Kenapa perkara ini boleh berlaku dan tidakkah keadaan tidak menyenangkan ini boleh dibaiki? 

Juga dikatakan bukan Melayu tidak begitu senang dengan keghairahan pengajaran agama walaupun hanya untuk murid Islam hingga menjadi penghalang bagi mereka memilih sekolah kebangsaan. Apakah hal ini tidak boleh diselidiki kebenarannya dan diatasi?. 

Demikian juga dikatakan guru di sekolah jenis kebangsaan lebih dedikasi dan prihatin terhadap murid-murid mereka dengan memberikan pelajaran terbaik di sekolah. 
Ini dikatakan tidak begitu ketara di sekolah kebangsaan kerana terdapat mereka yang menjadi guru bukan kerana minat tetapi kerana terpaksa sebab gagal mendapat pekerjaan lain. 

Kiranya ini betul apa yang perlu dilakukan ialah menjadikan profesion keguruan sebagai suatu profesion pilihan seperti dulu dengan menyediakan apa saja yang perlu untuk menjamin kedudukan demikian. 

Kiranya ia memerlukan peningkatan pendapatan guru supaya setimpal dengan profesion lain, maka laksanakannya. Ini tentunya akan dapat menggalakkan mereka yang lebih berdedikasi memilih kerjaya ini. 

Apa yang dinyatakan di sini hanyalah beberapa perkara yang harus dilakukan kerajaan kiranya serius mahu memperkasakan sekolah kebangsaan dan menjadikannya sekolah pilihan untuk semua rakyat negara ini. Kalau tidak, biarlah keadaan sekarang ini berlarutan dan usaha memupuk perasaan saling menghormati, persefahaman dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum ini berterusan terbantut. 



Rejal Arbee

Penulis ialah Felo Kanan UKM 

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP