Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Kaji Semula Ruang Bandar dan Luar Bandar

Wednesday, December 29, 2010



SETIAP kali keputusan peperiksaan utama sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan, salah satu isu yang diberikan perhatian khusus ialah perbezaan kejayaan atau kegagalan yang diperoleh pelajar luar bandar dan bandar. Sejak akhir-akhir ini, keputusan peperiksaan yang diumumkan menunjukkan perbezaan pencapaian yang semakin rapat.

Apa yang menjadi persoalannya ialah pembahagian (demarcation) dan definisi ruang di antara bandar dan desa yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran bagi meletakkan kategori sekolah dilihat tidak selari dan seiring dengan proses perkembangan bandar yang berlaku di negara ini.

Proses pembangunan bandar yang begitu pesat bermula sejak awal tahun 1970-an sehingga sekarang telah menuju kematangan yang memungkinkan kedua-dua ruang desa dan bandar bercantum sekali gus menjadi sebahagian daripada wilayah perbandaran mega.

Jumlah penduduk bandar di Malaysia kini menunjukkan peningkatan ketara disebabkan kadar pertumbuhan semula jadi, migrasi ke bandar dan perubahan serta perluasan sempadan pentadbiran bandar itu sendiri. Jumlah penduduk bandar ini diunjurkan bertambah menjadi lebih 85 peratus atau hampir 35 juta orang pada tahun 2050.

Justeru, pengumuman yang mengatakan bahawa jurang perbezaan di antara desa-bandar yang semakin rapat itu perlu dilihat dalam konteks perubahan penduduk yang mendiami kawasan perbandaran di negara kita. Kategori yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran dilihat masih lagi menggunakan tafsiran atau definisi lama pembandaran di negara ini.

Kawasan-kawasan perkampungan yang dahulunya terletak agak jauh dari kawasan bandar kini telah dikelilingi kawasan yang begitu pesat membangun, namun sekolah-sekolah yang terdapat di kawasan itu masih dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Sebagai contohnya, beberapa buah sekolah di Hulu Langat, Selangor dan berhampiran Putrajaya masih lagi dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, sedangkan daerah-daerah ini telah mengalami perkembangan perbandaran yang begitu pesat sejak dua dasawarsa yang lampau.

Jumlah penduduk yang dicatatkan dalam Laporan Kiraan Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 yang baru dikeluarkan menunjukkan kawasan ini mengalami pertambahan jumlah penduduk yang begitu ketara berbanding dengan 20 tahun lampau.

Kesenjangan ini wajar diteliti semula memandangkan implikasi yang terhasil daripada perbezaan kategori dan definisi yang digunakan di antara jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang berbeza berbanding dengan situasi sebenar akan mengundang pelbagai tafsiran daripada pembuat keputusan pada masa depan yang akan melibatkan peruntukan pembangunan prasarana, penempatan guru, keperluan komputer dan sebagainya.

Sesetengahnya pula melahirkan rasa bangga dan gembira kerana sekolah yang dikategorikan sebagai luar bandar itu menunjukkan peningkatan keputusan dengan jumlah pelajar yang mendapat A bertambah saban tahun, sedangkan realiti sebenarnya ialah darjah kesampaian penduduk tersebut terhadap kemudahan-kemudahan perbandaran dan pendidikan begitu tinggi yang memudahkan pelajar menelaah buku, mendapatkan keperluan tuisyen dengan mudah, kewujudan perpustakaan yang serba lengkap dengan buku rujukan terkini, kemudahan Internet jalur lebar yang begitu pantas capaiannya dan seumpamanya.

Dalam erti kata lain, segala kemudahan prasarana pendidikan yang tersedia di kawasan tersebut berstatus bandar, sedangkan kategori sekolahnya berstatus luar bandar. Keadaan ini mungkin ada buruk dan baiknya terhadap sekolah tersebut.
Seperkara lagi yang wajar diberikan perhatian dalam konteks ini ialah dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan luar bandar, ia haruslah seiring dengan pembangunan negara keseluruhannya. 

Para pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang itu akan berhijrah ke kawasan bandar untuk meneruskan pelajaran dan kecemerlangannya yang tidak mungkin akan diperoleh di desa tempat tinggalnya.

Selepas para pelajar ini selesai pembelajarannya di peringkat sekolah, maka akan berduyun-duyunlah mereka menghala ke universiti dan kolej untuk meneruskan pengajian. Keputusan dengan deretan A yang diperoleh semasa di peringkat sekolah akan dibawa ke universiti tetapi yang lebih penting kepada pelajar ini ialah menyediakan mereka dengan corak pemikiran kritis dan kreatif di peringkat sekolah lagi.

Lantaran itu, apabila berada di universiti para pelajar ini mampu memberikan hujah dan pandangan yang lebih bernas apabila berbincang dan berdebat dalam sesuatu perkara berkaitan dengan pembelajarannya.

Tidaklah bermakna pelajar yang mendapat kesemua A dalam mata pelajaran yang diambilnya di peringkat sekolah mampu berhujah dengan lebih bernas bersama-sama dengan lenggok bahasa yang baik semasa di universiti jika mereka tidak didedahkan dengan corak pemikiran kritis dan kreatif.

Justeru, pembahagian kategori bandar dan luar bandar bagi sekolah-sekolah di Malaysia wajar dinilai semula dalam konteks perbandaran negara agar kita tidak terperangkap dalam definisi maya bikinan kita sendiri, sedangkan realiti yang terhampar adalah amat jauh perbezaannya.

Kaedah yang agak mudah dan pantas yang boleh dilakukan untuk memahami pembahagian kategori bandar dan luar bandar ini melalui pemetaan kesemua hampir 10,000 buah sekolah yang wujud di negara ini ditindanlapiskan (overlaying) dengan kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan bandar. Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) akan dapat membantu pelaksanaan proses ini dengan lebih mudah dan pantas.

PENULIS ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP