Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Hijrah Bukan Sekadar Di Mulut

Monday, December 6, 2010



UNTUK meninggalkan perbuatan sekecil seperti merokok yang jelas merosakkan kesihatan, pun belum tentu dapat kita dilakukan. Apatah lagi untuk berhijrah dalam perkara-perkara yang lebih besar.

Ini termasuklah meninggalkan perbuatan maksiat.

Dalam hal ini kata Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, adalah tidak adil dan tidak wajar sekiranya umat Islam pada hari ini hanya bercakap fasal peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Sedangkan katanya, pada masa yang sama mereka bersungguh-sungguh berusaha mengadaptasi segala jenis ideologi hingga terus melupakan usaha dakwah yang dilakukan oleh baginda dan golongan terdahulu.

"Ini termasuk perbuatan merokok yang jelas terdapat pelbagai budaya negatif dibawa bersama pelbagai jenama rokok tersebut.

"Justeru peristiwa Hijrah tidak sewajar hanya terpahat pada lidah semata-mata. Tetapi patut diaplikasikan dalam semua amalan kehidupan. Sekali gus mencorak generasi al-Quran di masa hadapan," kata Mohd. Izhar Ariff.

Mengapa perlu sangsi untuk berhijrah kerana ternyata apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW terbukti mendatangkan pelbagai hasil yang sangat lumayan.
Tidak sahaja sebuah negara dapat ditegakkan malah peristiwa Hijrah itu menjadi titik permulaan untuk Islam tersebar luas sehingga merentasi waktu, zaman dan sempadan. Sehingga membolehkan kita menikmati iman kepada Allah itu pada hari ini.
Bayangkan jika tiada berlaku proses penghijrahan pada 1 Muharam, lebih daripada 1,400 tahun itu, siapakah kita pada hari ini? Sudah tentu kita termasuk dalam golongan yang sesat.

Namun syarat mendapatkan hasil yang lumayan itu apabila baginda tidak sahaja berjaya membina masjid dalam aspek fizikal tetapi bagaimana Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang baginda bina itu tidak sekadar sebagai rumah untuk beribadat semata-mata.

"Pembinaan masjid-masjid tersebut bertujuan memastikan umat Islam dapat bersatu padu dalam banyak perkara.

"Hanya di situ sahajalah mereka akan dapat mempelajari pelbagai falsafah perpaduan. Apabila telah bersatu maka banyak perkara khususnya dalam urusan yang akan mendatangkan keuntungan kepada Islam dan negara dapat dijayakan," jelasnya.
Malah hijrah juga dapat menyatukan pelbagai kaum yang berbeza iaitu golongan Ansar dan Muhajirin serta pelbagai puak Yahudi.

Semua ini kata Mohd. Izhar Ariff, akan tercapai apabila masjid menjadi satu-satunya tempat yang akan membuatkan umat Islam berusaha memupuk sifat persaudaraan dan persamaan antara mereka di hadapan Allah SWT.

Semua perbuatan itu akan menyerlahkan lagi sifat keimanan seseorang itu kepada Allah SWT dan Nabi SAW.

Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya golongan yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), semoga mereka semua tergolong daripada golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18)

Lebih-lebih lagi pada hari ini, senario perpecahan umat akibat faktor-faktor tertentu menyebabkan ramai umat Islam semakin hanyut. Seterusnya, jauh daripada penghayatan Islam dalam aspek ilmu dan amalan kehidupan.

Kata Mohd. Izhar Ariff, ini memerlukan umat Islam kembali menjadikan masjid sebagai medan kesatuan umat Islam.

"Tugas menyatukan puak Ansar dan Muhajirin itu sendiri sebenarnya tidak mudah, sehingga baginda berjaya menyatukan mereka melalui institusi masjid.

"Sebagaimana Profesor. Dr. Mohammad Said Ramadan al-Buty dalam bukunya, Fiqh Sirahmenjelaskan antara hikmah di sebalik perbuatan menyatupadukan itu adalah menghubungkan persefahaman antara dua kumpulan yang berbeza perwatakan, ideologi dan sebagainya," katanya.

Menurut Mohd. Izhar Ariff, umat Islam dari Mekah bersifat lebih kasar dan tegas berbanding umat Islam di Madinah yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan beradab.

Oleh itu, kata beliau, sekiranya benar-benar ingin berubah dan bersungguh-sungguh mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW adalah menjadi kewajipan ke atas semua pemimpin memikirkan bagaimanakah cara terbaik menyatukan perpaduan antara umat Islam khususnya orang Melayu di Malaysia.

"Perbezaan ideologi tidak salah dalam Islam. Ini kerana Khalifah Abu Bakar dan Umar bin Khattab r.a saling berselisih pendapat.

"Namun, mereka langsung tidak menghina antara satu dengan yang lain, bahkan mereka saling hormat-menghormati dan saling menerima teguran sesama mereka bagi tujuan penambahbaikan pentadbiran sebuah negara yang didiami oleh manusia yang berbilang agama dan bangsa," katanya.

Itulah yang diamalkan oleh baginda dalam mengajar umat Islam agar sentiasa bermusyawarah dalam semua urusan. Ia sebagai mana firman Allah SWT dalam Surah Aal Imran ayat 159 yang bermaksud: Dan berbincanglah dengan mereka dalam setiap perkara...(ali-'Imran: 159)

"Namun, apa yang menyedihkan kita pada hari ini ialah keengganan dan beratnya kaki umat Islam untuk melangkah dan mendekati institusi masjid," katanya.
Tentu sahaja penghalang besarnya, program-program berbentuk hiburan lebih mendominasi pemikiran dan budaya umat Islam pada zaman ini.

"Lihat sahaja penganjuran jelajah konsert hiburan di sana sini misalnya, jumlah yang hadir adalah jauh melimpah ruah berbanding yang hadir ke masjid-masjid dan surau-surau.

"Ribuan peminat bersesak-sesak lelaki perempuan, sanggup berdiri lama, berbanding berdiri lama untuk solat dan tidak akan berganjak sehingga konsert tamat," katanya.
Sebaliknya, kuliah-kuliah maghrib dan subuh oleh para ustaz dan penceramah yang bertauliah dan berwibawa sepi kerana tidak ramai yang sudi mendengar.

"Jika hal sedemikian masih membelenggu umat Islam di seluruh negara, adakah ia melambangkan bahawa minda mereka sudah berhijrah daripada kejahatan dan kejahilan kepada kebaikan," soal Mohd. Izhar Ariff.

Maka tidak menghairankan, kalangan remaja yang 'berhijrah' antara destinasinya, Pusat Perlindungan Wanita dan Pemulihan Akhlak yang kini mereka bersesak pula di situ!

Sumber : Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP