Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Cerita Seorang Guru

Friday, December 3, 2010


Keputusan peperiksaan UPSR sudah seminggu diumumkan. Namun isu berkaitan keputusan peperiksaan itu masih berlegar di sekitar kita. Bukan niat mahu memanjangkan hikayat, namun ada sesuatu yang harus kita kongsikan bersama berkaitan dengan isu tersebut.

Dalam kesempatan berbual bersama seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala lumpur, saya sempat bertanyakan tentang keputusan peperiksaan UPSR di sekolahnya. Dengan nada agak kecewa, beliau memaklumkan bahawa keputusan UPSR di sekolahnya kali ini merosot dengan teruk. Hanya 10 orang pelajarnya mendapat 5A berbanding 28 orang pada tahun lalu.

“Keputusan yang sudah dijangka. Padan muka,” ujarnya.
Saya tertarik dengan ungkapannya itu.

Katanya lagi, disiplin calon peperiksaan UPSR di sekolahnya kali ini agak teruk. Lebih merumitkan keadaan, guru-guru berhadapan dengan kesukaran mendapatkan kerjasama yang sepatutnya daripada ibu bapa.

“Bayangkan, ada ibu yang menulis surat kepada cikgu bagi memaklumkan bahawa anaknya tidak dapat menyiapkan kerja sekolah gara-gara sibuk menyambut hari ulang tahun kelahiran bapanya. Ibu itu meminta agar anaknya tidak didenda!” keluhnya kesal.

“Padahal, ibu bapa seharusnya bertegas dengan anak-anak. Tidak menyiapkan tugasan sekolah adalah satu kesalahan yang harus dihukum,” ujarnya lagi.

Guru itu terus bercerita. Sewaktu keputusan peperiksaan dikeluarkan, ramai juga ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan peratusan kelulusan 5A pelajar sekolah tersebut yang didapati merosot. Ada dalam kalangan ibu bapa yang mahu membuat rayuan bagi menyemak semula kertas peperiksaan anak mereka yang hanya mendapat 4A1B. Menurut mereka, anak mereka itu seharusnya mendapat 5A.

Tiba-tiba guru itu tersenyum. Dia menyambung lagi ceritanya, “Ada seorang bapa datang mengucapkan terima kasih kepada saya. Anaknya mendapat 4A1B. Walaupun anaknya kecewa kerana tidak mendapat 5A, namun si bapa menerima keputusan itu dengan sikap yang positif. Kata si bapa, biarlah 4A1B itu menjadi pengajaran kepada si anak. Biarkan si anak itu belajar menerima kesilapan diri dan berusaha membaikinya. Si bapa menyifatkan anaknya sebagai sangat bertuah kerana mengalami kekecewaan di peringkat UPSR, bukan di peringkat SPM.”

“Bukan semua ibu bapa boleh menerima kegagalan anak-anak mencapai keputusan 5A dalam UPSR. Ada juga yang menyalahkan guru,” keluhnya lagi.

Kasihan. Kasihan kepada ibu bapa yang tidak dapat menerima kegagalan anak mereka mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. 4A1B dikira sebagai gagal? Keterlaluan!

Memang ibu bapa berhak membuat rayuan bagi menyemak semula kertas peperiksaan anak mereka. Namun jikalau kita fikirkan semula, itu bukanlah cara yang betul dalam mendidik anak-anak mencapai kejayaan. Mungkin lebih baik jikalau anak itu diajar agar mereka muhasabah diri. Fikirkan dan kaji semula kesilapan diri. Belajar daripada kesilapan.

(Melainkan si anak mendapat 5E dalam UPSR, sedangkan dalam setiap ujian di sekolah dia mendapat 5A, maka semakan semula kertas peperiksaan wajar dilakukan – sekadar pendapat peribadi).

Pendidikan awal anak-anak bermula di rumah, bermula daripada sikap ibu bapa. Jikalau sejak kecil anak-anak diajar agar tidak menerima kesilapan diri dan suka menuding jari mencari kesilapan orang lain, maka itulah keperibadian yang akan menjadi darah daging anak itu apabila mereka dewasa kelak.

Maka, kita seharusnya mengasihani anak-anak kita. Latihlah mereka belajar daripada kesilapan. Latihlah mereka agar menilai semula setiap perbuatan dan tindakan. Latihlah mereka agar akur kepada kenyataan. Latihlah mereka agar tidak menuding jari menyalahkan orang lain setiap kali mereka berhadapan dengan kegagalan.

Insya-Allah, anak-anak itu akan menjadi generasi yang lebih bijak, matang, berkebolehan dan berperikemanusiaan…

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP