Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Subjek Sejarah Bentuk Warga Negara Bestari

Tuesday, November 2, 2010

Oleh Teo Kok Seong
Kepemimpinan enam Perdana Menteri boleh diterapkan 

PENGUMUMAN bahawa Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras pada peringkat sekolah rendah mulai 2014, adalah langkah yang bijak. Ini antaranya adalah kerana pemahaman terhadap sejarah tanah air boleh membantu dalam pembentukan nasionaliti Malaysia yang lebih tulen, dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, khususnya generasi muda.


Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda kini tidak banyak mengetahui pelbagai peristiwa sejarah negara yang penting. Sesungguhnya, inilah cabaran utama pada masa kini dalam usaha kita membentuk bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu padu, seperti yang digagaskan dalam 1Malaysia.
Dalam hal ini, tumpuan utamanya adalah kepada pelajar agar mereka bukan saja dapat memahami proses pembinaan negara dengan lebih baik. Tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka dapat menghayati pengertian nasionaliti Malaysia dengan penuh semangat patriotisme. 

Hasrat yang sebegini mulia sesungguhnya tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak, dalam apa-apa cara jua. Cadangan untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus perlu dilihat secara positif. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk membebankan pelajar atau menggapai agenda mana-mana pihak. 

Sebaliknya ia adalah untuk memastikan pelajar mengambil serius mengenai subjek ini, yang boleh diolah sedemikian rupa, agar sukatan pelajarannya lebih mengarahkan kepada pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam konteks ini, sukatan pelajaran Sejarah boleh antaranya memberi penekanan kepada proses pemupukan perpaduan kaum di Semenanjung dan integrasi nasional antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, selain membentuk jati diri kebangsaan. Hal ini didapati amat penting dalam negara majmuk, seperti Malaysia yang membenarkan pengamalan kepelbagaian budaya. 


Penekanan kepada proses, yakni siri peristiwa yang membabitkan pelbagai pihak untuk mencapai sesuatu, khususnya kepada penyatupaduan negara serta jati diri kebangsaan, adalah penting untuk pendukungan nasionaliti Malaysia yang jelas sifat Malaysianya. 

Ini antaranya boleh dilakukan dengan meneliti era setiap Perdana Menteri secara rinci, untuk menggarap peranan perkongsian kuasa antara kaum yang diterajui kaum Melayu dalam membina negara daripada Malaya sehinggalah ke Malaysia. 

Dalam hal ini, sumbangan Datuk Onn Jaafar, walaupun beliau bukan Perdana Menteri negara ini, perlu ikut dibincangkan. Legasi beliau sesungguhnya adalah dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, selain menumpaskan rancangan Malayan Union. 

Dalam kerjaya politiknya, pada mulanya Onn memperjuang hak kaum Melayu, tetapi kemudian beliau beralih untuk memperjuang pendekatan pelbagai kaum dalam politik negara. Walaupun Onn tidak berjaya dengan pendekatan ini, beliau sebenarnya meletak asas politik Malaysia yang bersifat multietnik dalam bentuk pentadbiran yang berkongsi kuasa antara kaum. 

Asas ini direalisasikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj apabila beliau berjaya memperoleh kemerdekaan negara daripada British, yang hanya akan memberinya selepas mereka meyakini adanya permuafakatan antara kaum dalam mengurus tadbir negara selepas merdeka. 

Era Tunku banyak meletakkan peraturan asas untuk mengurus hubungan etnik, yang menekankan perkongsian tanggungjawab, selain kuasa. Realiti kebergantungan antara kaum mula diinstitusikan pada era ini. 

Kontrak sosial yang menggariskan prinsip asas bagaimana negara ini perlu diurus tadbir, sebenarnya memperlihat permuafakatan tulen antara Melayu-Cina-India pada waktu kemerdekaan. Ia perlu diinterpretasi dalam semangat dan konteks ia digubalkan, walaupun pada zaman moden ini. 

Era Tun Abdul Razak Hussein memperlihat bagaimana beliau memperkemas sistem selepas kontrak sosial rapuh dengan berlakunya rusuhan kaum pada 1969. Untuk ini, dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, beliau menambahkan prinsip perimbangan dalam kontrak sosial ini dengan memasukkan prinsip kesamaan, khususnya kesamaan ekonomi. 

Ini dilakukan melalui penggubalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970, yang bertujuan untuk mewujudkan kesamaan ekonomi antara kaum Melayu/Bumiputera dengan kaum bukan Melayu/Bumiputera. 

Peranan yang dimainkan Hussein dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, mengambil bentuk yang sedikit berlainan. Untuk ini, beliau mempertahan kedaulatan undang-undang negara, prinsip keempat dalam Rukun Negara. Hal ini dapat dilihat pada kes Datuk Harun Idris yang disabitkan dengan rasuah pada 1975-1978. 

Dalam memastikan pentadbiran era beliau ‘bersih, cekap dan amanah’, Hussein menekankan pentingnya etika yang menjadi asas moral dalam pembinaan negara. Selain terus memberi perhatian serius kepada hubungan etnik, beliau memastikan undang-undang negara perlu selalu dihormati semua pihak. Ini adalah satu lagi prinsip kenegaraan Malaysia yang perlu ditegaskan. 

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam terus membina negara, menambahkan dimensi antarabangsa kepada Malaysia. Beliau selain memantap permuafakatan antara kaum, memberi perwatakan kepada Malaysia agar berlainan dengan negara lain. Antara perwatakan ini ialah pengiktirafan Malaysia sebagai negara maju yang berstatus ekonomi moden melalui Wawasan 2020. 

Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi didapati memberi penekanan kepada etika dalam penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan. Ini antaranya dapat dilihat pada usaha untuk membanteras rasuah, mempertingkat keefisienan, integriti, sistem penyampaian, selain memupuk budaya telus dan bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Peningkatan hubungan etnik yang lebih baik ikut menjadi misi negara pada era ini. 

Era Datuk Seri Najib Razak melalui Gagasan 1Malaysia, ingin menyemai nasionalisme Malaysia yang menekankan konsep ‘1Bangsa 1Negara’. Dalam konteks penyatupaduan negara dan jati diri kebangsaan, Najib mengajak rakyat untuk menukar nilai dan cara pemikiran bagi mencapai transformasi, berdasarkan beberapa prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. 

Ini ingin dilakukan melalui rakyat yang bersatu padu dan bertindak bersama-sama sebagai bangsa Malaysia untuk menjayakan pelbagai program kemajuan yang direncanakan. 

Pendidikan adalah saluran penting untuk mencapai transformasi ini. Sejarah adalah antara kurikulum penting yang perlu dimanfaatkan, selain diubah, yakni diolah untuk memenuhi fungsi pertama dan asas pendidikan, iaitu pembentukan warga negara. Ini boleh dilakukan melalui etos yang digaris oleh pentadbiran Perdana Menteri terdahulu dan semasa. 
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP