Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Peringatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Kepada Para Pendidik

Thursday, November 4, 2010

UTUSAN: TAN Sri akan bersara esok. Apakah usaha Tan Sri yang paling signifikan dan mendalam kesannya?

ALIMUDDIN: Jiwa saya adalah jiwa guru dan selama 34 tahun ini saya bergelumang dengan dunia pendidikan. Saya mahu dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berjiwa guru biasa dan apa sahaja usaha yang saya buat semata-mata untuk memartabatkan profesion perguruan. Setiap dasar baru atau sebarang perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan cukup saya fahami. Begitu juga, saya cukup memahami apa yang terkandung dalam pemikiran pihak sekolah serta saya tahu bagaimana untuk menyampaikan dengan berkesan di sekolah.

Tan Sri berkhidmat di bawah dua Menteri Pelajaran, salah seorang ialah Timbalan Perdana Menteri. Kedua-duanya membawa dasar yang berat. 

Bagaimana Tan Sri melakukannya?

ALIMUDDIN: Pendekatan saya berlainan dengan KPPM sebelum ini. Saya berpegang bahawa pemikiran dan tindak tanduk kita mesti selari dengan dasar yang hendak dilaksanakan oleh menteri. Kalau ini berlaku,barulah kita boleh membuat kerja dengan baik. Saya ialah KPPM yang melaksanakan dasar yang hendak dilaksanakan oleh Menteri Pelajaran.

Apa perasaan peribadi Tan Sri sekarang?

Saya mengalami dua perasaan, iaitu sedih dan gembira. Saya sedih kerana cukup lama dalam bidang pendidikan iaitu 25 tahun, maka pendidikan ialah darah daging saya. Saya akan kehilangan rakan-rakan, kehilangan suasana bekerja, seminar, perjumpaan dengan guru dan pelbagai lagi aktiviti dalam pendidikan.

Dalam masa yang sama, saya rasa gembira kerana selepas bersara, saya dapat membuat sesuatu mengikut keupayaan saya sendiri, khususnya untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Jadi, kalau selama 34 tahun ini saya mendapat banyak keuntungan dalam kerjaya saya - daripada seorang guru biasa sehingga KPPM, jadi sudah tiba masanya saya memberi sesuatu kepada masyarakat.

Apa yang Tan Sri hendak lakukan selepas bersara?

ALIMUDDIN: Dengan pengetahuan dan pengalaman saya, saya ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan negara. Salah satu caranya ialah meneruskan peranan menjadi Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), yang telah saya pegang selama tiga tahun sebelum ini.

Mantan Menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melantik saya menjadi Pengerusi YGMB. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana suntikan dana sebanyak RM10 juta kepada YGMB dalam pembentangan Bajet 2011.

Saya akan pastikan dana ini dipulangkan kepada guru dalam pelbagai bentuk seperti khairat kematian, pampasan kemalangan, pembiayaan pendidikan dan sebagainya, sama ada untuk guru yang masih dalam perkhidmatan atau guru yang sudah bersara.
Saya menyeru semua warga pendidikan sentiasa melihat laman web YGMB, bagaimana hendak menghubungi YGMB supaya dana yang kerajaan beri ini dapat disalurkan kepada guru.

Banyak benar dasar baru yang hendak dilaksanakan tapi Tan Sri tidak berkesempatan untuk menyudahkannya. Tan Sri kecewa atau sebaliknya?

Memang beberapa perkara masih belum selesai. Antaranya ialah perluasan bidang vokasional dan kemahiran. Sehingga 2015 beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahu jumlah pelajar yang mengikut aliran vokasional ditingkatkan kepada 20 peratus.
Bidang vokasional dapat melahirkan usahawan, ahli perniagaan. Aliran ini mencipta pekerjaan.

Banyak yang boleh ditawarkan, seperti membuat roti dan kek, pengiklanan, masakan, persolekan, membaiki jentera dan teknologi maklumat dan komunikasi, perakaunan - semuanya berkembang dengan pesat.

Misalnya dalam prinsip akaun, mereka diajar mengendalikan isu-isu kewangan, memohon pinjaman bank, memasarkan barangan yang mereka hasilkan, dari segi pengiklanan termasuklah dari segi komunikasi sehingga apabila mereka meninggalkan bangku sekolah, mereka sudah boleh menjadi usahawan kerana ilmu yang diajar.
Lain-lain yang belum selesai ialah pada 2016 akan kita ubah suai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) , iaitu 60 peratus komponennya masih berpusat dan 40 peratus berasaskan sekolah.

Jadi apa yang menarik nanti, peperiksaan bukan semata-mata berasaskan kebolehan intelek.Kita akan campurkan juga dari segi kemahiran lain, misalnya kemahiran berkomunikasi, berkait dengan sukan, permainan kokurikulum. Jadi, dengan kata lain, penilaian lebih bersifat holistik dan tidak semata-mata intelek.

Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan ditiadakan dan digantikan dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS), yang kita akan percepatkan ke tahun 2014. Maknanya, tahun 2012 tingkatan satu, 2013 tingkatan dua dan 2014 tingkatan tiga.
Jadi, hal ini akan membolehkan guru memainkan peranan yang penting dalam menilai pelajar dan salah satu daripada perkara yang saya rasa akan berlaku ialah rasa hormat pelajar kepada guru akan lebih meningkat kerana penilaian oleh guru akan menyebabkan pelajar sentiasa mendekati guru mereka, sentiasa memberi kerjasama dan patuh kepada guru. Saya rasa selepas ini tiada lagi cerita pelajar melawan guru, atau menconteng kereta guru tidak akan berlaku. Pada saya, PBS ialah perkara yang sangat baik untuk memartabatkan profesion keguruan. Saya gembira dengan semua dasar yang cukup cantik ini.

Apakah antara perkara besar yang Tan Sri fikir perlu dilakukan oleh guru dengan keterbukaan dasar kerajaan sekarang?

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana membenarkan guru berpolitik. Saya rasa dasar ini sangat baik kerana sebelum negara mencapai kemerdekaan, ramai guru yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan.
Ramai pejuang kemerdekaan dahulu datangnya daripada profesion keguruan. Selepas mencapai kemerdekaan, guru masih memainkan peranan, ramai yang menjadi menteri, timbalan menteri, menteri besar.

Tetapi pada tahun 1980-an, bilangan guru yang menceburkan diri dalam politik semakin berkurangan kerana telah ramai guru yang aktif ini terdiri daripada guru siswazah. Di dalam perintah am memang tidak membenarkan guru siswazah aktif dalam politik.

Akibatnya berlaku satu kelompongan, iaitu kekosongan itu. Tetapi mulai Ogos baru-baru ini, apabila Ketua Setiausaha Negara mengumumkan guru boleh berpolitik, saya rasa ini satu peluang kepada guru untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara melalui pengalaman mereka.

Dalam kalangan masyarakat, guru ini dikaitkan dengan seorang yang jujur, amanah dan orang yang bertanggungjawab. Jadi, saya rasa mereka ini ‘kena’ aktif dalam politik untuk membangunkan negara kita.

Apakah harapan Tan Sri kepada guru selepas persaraan?

Saya harap guru jangan menconteng arang kepada profesion perguruan. Jaga nama baik profesion itu. Ada guru yang melanggar tata susila profesion itu, antaranya penyelewengan wang, gangguan seksual, terlibat dengan najis dadah dan juga perbuatan jenayah.

Saya sangat memberi perhatian, dan selalu saya tekankan, tidak sepatutnya guru melakukan perbuatan ini. Biarlah kita sentiasa disanjung oleh masyarakat.


Sumber : Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP