KPKK Mohon Kementerian Teliti Isu Guru Kerja Sabtu
Saturday, October 23, 2010
KANGAR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) hari ini meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata buat masa ini semakin ramai guru terpaksa
mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.
"Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru
semakin bertambah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco KPKK di sini.
Selain itu, Hashim berkata KPKK juga meminta kementerian agar memberi
pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.
Beliau berkata, perkara itu perlu kerana rata-rata guru belum memahami
KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.
"Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran," katanya.
Mengulas isu berkaitan, Hashim berkata KPKK juga akan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran agar meneliti pengurusan kewangan Persatuan Sukan
dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan (PSKPP).
Beliau berkata, ini kerana sehingga kini tidak ada satu laporan yang jelas
mengenai pengurusan kewangan persatuan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan Pelajaran negeri.
Katanya KPKK juga menerima aduan daripada guru yang dipaksa membayar yuran antara RM3 dan RM5 setahun oleh persatuan tersebut walaupun ia sebenarnya
tidak wajib.
"Guru tak boleh dipaksa bayaran yuran. Jabatan Pelajaran tak ada hak (memaksa guru). Ini sukarela," katanya
Hashim turut menegur tindakan Jabatan Pelajaran daerah di sebuah negeri yang
bertindak di luar batas profesional apabila mengedarkan senarai nama guru dan
butiran peribadi mereka termasuk gaji, kepada sekolah tempat guru terbabit
mengajar untuk menuntut tunggakan yuran PSKPP. -
BERNAMA















0 comments:
Post a Comment