Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Tiada Tempat Bagi Orang Tua

Saturday, August 14, 2010

DALAM zaman teknologi maklumat ini, definisi orang tua bukannya 80 tahun ke atas. Itu dipanggil warga emas.

Jangan terkejut, orang tua didefinisikan terhadap mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Ini kerana orang muda hanya untuk mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun. Lagipun budak belasan tahun pun sudah dicadang supaya berkahwin.

Yalah, untuk mengelak kes membuang bayi. Kalau kahwin awal dan dapat anak, tidaklah dianggap anak luar nikah. Orang tua merekalah yang terpaksa menjaga anak-anak itu.

Anak-anak muda ini dipelihara macam menatang minyak atas dulang yang penuh. Pelbagai kemudahan diberikan supaya mereka akan menjadi orang dewasa yang baik.
Semua tumpuan negara diberikan kepada orang muda. Hinggakan seolah-olah tidak ada tempat bagi orang tua.

Dari kalangan pihak politik, ekonomi, perniagaan, media, kesemuanya ditumpukan kepada orang muda. Maka sepanjang hayat orang tua, hidupnya adalah untuk memberikan perhatian kepada orang muda.

Di kalangan politik, apa yang diambil kira ialah undi orang muda. Ini kerana undi orang muda boleh menentukan siapakah yang akan berkuasa di negara.
Maka tidak hairanlah dasar dan rancangan adalah untuk orang muda. Seolah-olah orang muda itu tidak akan tua. Sedangkan hakikatnya masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Cumanya sekarang banyak kepincangan daripada keseimbangan tua dan muda. Di negara-negara maju, Jepun dan Eropah umpamanya terdapat banyak orang tua daripada orang muda. Siapakah yang akan menanggung mereka kelak apabila masyarakat terpaksa membayar banyak pencen tetapi tidak ada cukup orang muda untuk produktif.

Di tempat-tempat tertentu di Itali, bilangan kanak-kanak begitu kurang hingga banyak sekolah rendah ditutup kerana tidak cukup anak-anak bersekolah.

Apabila ada kanak-kanak dibawa masuk ke sesuatu kampung, maka berkerumunlah orang-orang tua untuk melihat mereka kerana sudah lama tidak melihat kanak-kanak.
Tetapi di Asia dan negara-negara membangun, bilangan orang muda jauh lebih besar daripada orang tua.

Masalah besar mereka ialah orang orang muda ini bercita-cita tinggi dan mempunyai tenaga yang banyak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Oleh kerana komunikasi global sudah begitu meluas, maka orang muda di seluruh dunia mahukan kehidupan yang mewah seperti mana dinikmati di negara-negara maju.

Maka orang muda ini merantau dan mencari kehidupan yang lebih baik. Sementara yang kecewa dan gagal untuk memperoleh harapan kehidupan lebih baik, terlibat pula dengan jenayah atau terjebak dalam keganasan.

Dunia ditentukan oleh orang muda. Mereka yang berjuang menuntut kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua di banyak tempat di dunia. Pada masa itu banyak orang tua mati dalam perang.



Sejak berzaman-zaman, orang tua merupakan sumber bagi mendapatkan pengajaran. Kalau dalam masyarakat primitif dan kampung, orang tua bukan saja dihormati tetapi merupakan gedung ilmu. Mereka ialah arkib bagi masyarakat mereka. Sentiasa dirujuk untuk memberi pandangan, pendapat dan petua kepada anggota masyarakat.
Sebab itulah pemimpin dipanggil ketua. Begitu juga panduan disebut sebagai petua. Kesemuanya berkaitan dengan kepentingan orang tua.


Tetapi sekarang tidak. Sebaliknya orang tua yang meminta bantuan daripada orang muda untuk mendapatkan tunjuk ajar mengenai komputer dan gajet. Sebab itulah berusia 40 sudah tidak muda. Ini kerana mereka akan dikalahkan oleh golongan berusia 20 dan 30-an.


Tetapi adakah dengan pandai menggunakan peralatan teknologi, mereka sudah wajar diserahkan segalanya? Tidakkah setiap kali matinya seorang tua, dunia akan kehilangan pengalaman, sejarah dan kebijaksanaan yang tidak akan dapat dirujuk kembali?


Sememangnya masa depan milik orang muda. Tetapi masa kini milik semua lapisan usia.

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP