Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Menilai Tujuan Belajar

Wednesday, August 18, 2010

PELBAGAI peristiwa malang yang berlaku di sekitar kita, baik di dalam mahu pun di luar negara sering menyentuh perasaan kita. Hari ini, hati kita bagai dirobek menyaksikan hari demi hari nyawa anak-anak kecil, malah bayi yang baru dilahirkan mati disebabkan oleh kekejaman sebahagian mereka yang tidak berperikemanusiaan.

Kita melihat paparan media wajah-wajah comel yang ditinggalkan di tepi jalan, di dalam tong sampah, dihanyutkan di sungai dan tali air yang hitam pekat airnya, di dalam longkang malah dihurung serangga di dalam semak samun, semata-mata kerana mereka tidak mahu bayi ini melihat dunia dan bakal menyusahkan hidup mereka.
Mereka mungkin rasa kelahiran anak itu akan mengancam dari kesilapan mereka atau nafsu serakah telah menutup rasa belas kasihan yang ada.

Kita juga dipaparkan dengan pelbagai wajah sedih mereka yang mengharapkan bantuan belas ehsan untuk meneruskan kehidupan. Kemiskinan yang dihadapi, kekurangan makanan dan kedaifan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, pada tahun ini juga kita melihat kes saman menyaman sesama keluarga yang semakin merisaukan, walau pun dilaporkan melibat kes anak-anak berjawatan dan berkelulusan tinggi.

Pada masa yang sama, kita juga melihat pelbagai bencana menghimpit masyarakat di seluruh dunia. Di Pakistan, kira-kira 14 juta rakyatnya berdepan dengan banjir besar yang melanda negara tersebut. Lebih 1,600 orang dilaporkan mati dan mereka kini berhadapan dengan bencana penyakit berjangkit dan kekurangan bekalan air bersih. Tentu sahaja ekorannya, ubat-ubatan dan pelbagai kemanusiaan lain.

Di Republik Rakyat China juga dikhabarkan berlaku pelbagai bencana termasuk lebih 1,000 kematian di wilayah-wilayah yang dilanda bencana alam. Di Haiti, lebih tiga juta orang dikatakan menjadi mangsa gempa bumi pada Januari lalu.

Semuanya adalah sebahagian dari senario yang berlaku di sekeliling kita, belum lagi mengambil; kira kejadian-kejadian lain yang berlaku berterusan akibat dari kerakusan manusia dalam memburu kuasa, kekayaan dan pelbagai keinginan lain, termasuk sehingga sanggup memperdagangkan manusia.

Semua ini menimbulkan pertanyaan tentang sejauh manakah sistem dan proses pendidikan menyumbang dalam membantu meningkatkan jiwa kemanusiaan kita? Sejauh manakah mereka yang keluar dari pelbagai universiti di mana sahaja berupaya untuk menggembleng kekuatan dan lebih prihatin dengan cabaran yang kita depani sekarang ini?

Atau pun ilmu pengetahuan yang ada hanya sekadar tercatat pada sekeping kertas yang dipanggil diploma atau ijazah tanpa ada rasa belas ehsan dan tanggungjawab terhadap manusia dan alam yang didiami, jauh sekali berupaya untuk membangun jiwa keinsanan kita untuk merasai apa yang dideritai oleh orang lain.

Sejauh manakah sebenarnya proses pendidikan yang dilalui termasuk di universiti berupaya menggerakkan jiwa kita untuk sama-sama melakukan sesuatu untuk memberikan kesan yang besar terhadap kehidupan masyarakat semasa mahu pun pada masa depan.

Ini penting kerana tanpa kesedaran sedemikian, universiti akan hanya melahirkan sumber manusia yang hanya mengejar kebendaan tanpa ada usaha untuk memajukan jiwa kemanusiaan, bijak dalam menuding jari, tanpa ada perkiraan untuk memainkan peranan sebagai manusia berilmu untuk bersama-sama membangunkan masyarakat dan negaranya, apatah lagi manusia sejagat.

Kerana itu, jika pengajian tinggi dikatakan mempunyai peranan penting dalam pembangunan tamadun manusia, maka proses untuk mendidik anak-anak muda yang menghayati peranannya dalam konteks manusia dan alamnya tidak harus di kesampingkan.

Ia bukan sekadar berkaitan dengan kurikulum, tetapi juga dorongan yang diberi dalam membuka pemikiran mahasiswa untuk menghargai kebebasan dan bereksperimen melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki untuk faedah sejagat.

Mahasiswa dan siswazah harus berupaya menggemblengkan kekuatannya untuk bersama-sama membentuk jiwa atau roh pengajian tinggi yang dapat membantu, bukannya merobohkan tamadun kemanusiaan yang dibina sekarang ini, mahu pun tamadun ilmu yang lebih gemilang pada masa depan.

Kerana itulah, pemikiran terhadap pengajian tinggi, terutamanya dalam kalangan mahasiswa dan siswazahnya dalam menghadapi proses pembelajarannya dan sosialisasi perlu diubah. Universiti perlu kembali kepada peranan asasnya untuk melahirkan mereka yang berupaya berfikir tanpa sempadan (universe dan universal) terutamanya dalam menangani pelbagai isu sejagat.

Malah, tujuan seseorang mahasiswa belajar di universiti harus difahami dan bagaimana sistem pengajian universiti sepatutnya mampu mengubah cara dan corak pemikiran anak-anak muda kita. Universiti sepatutnya menjadi tempat membuahkan pemikiran-pemikiran baru dalam memanfaatkan ilmu dalam bidang apa jua pun untuk masyarakat dan dunia seluruhnya.

Mereka juga perlu diberikan pendedahan seluas-luasnya dalam menerokai ilmu dan pengalaman dengan membanyakkan lagi wacana-wacana ilmu di dalam kampus.
Kampus-kampus universiti seharusnya terus riuh dan rancak dengan pertukaran pendapat dan pandangan secara terbuka tetapi beradab dan beretika, siang dan malamnya. Universiti harus menjadi tempat orang cintakan ilmu dan tahu menghargai ilmu.

Sekali gus ini berupaya menyemarakkan budaya ilmu, kesedaran terhadap bagaimana untuk memanfaatkannya untuk masyarakat termasuk menggerakkan mahasiswa untuk keluar dari kampus dan menerokai pengalaman dalam dunia yang terbuka di mana sahaja.

Walau pun telah ada usaha untuk membawa pelajar ke Kemboja, Bosnia Herzegovina dan pelbagai tempat lain di seluruh dunia untuk melihat sendiri ancaman terhadap kemanusiaan di mana sahaja dengan kekangan dana yang ada, namun ia perlu diteruskan dengan lebih kerap dan banyak lagi.

Harapan ini agaknya terkeluar dari pemikiran di mana ibu bapa kerap kalinya ingin melihat anak-anak yang keluar dari universiti dapat pekerjaan dan meneruskan kehidupan yang ada, namun hakikatnya universiti tidak boleh lari dari peranannya dalam membuka pemikiran anak-anak muda yang ada terhadap peranan sebenar yang harus dimainkannya semasa dan setelah meninggalkan kampus universiti.

Pada era yang menekankan kepada inovasi dan kreativiti, tujuan belajar di universiti juga harus selari dengan hasrat sedemikian. Sudah tiba masanya untuk mahasiswa mencabar pemikiran dan kemampuan diri untuk melihat segala peluang yang ada di sekeliling untuk menghasilkan sesuatu dengan kreatif dan pada masa yang sama menjadi role model sebagai orang berilmu yang berupaya membentuk dunia masa depan yang bermakna dalam konteks nilai kemanusiaan.

Memahami semua ini, apakah agaknya yang boleh dilakukan oleh mahasiswa dan anak-anak muda kita yang baru meninggalkan kampus universiti untuk masyarakat selain dari hanya mencari kerja dan meneruskan kehidupan seperti lazimnya.

Bagaimanakah mahasiswa dan anak-anak muda kita dapat memberi impak kehadiran mereka dalam mengubah senario semasa dan masa depan, melakukan transformasi dan sekali gus memberikan roh kepada proses pengajian tinggi yang dilalui?
Berupayakah seorang mahasiswa dan sarjana dari universiti merealisasikan transformasi untuk kelestarian hari esok seperti mana yang sering diutarakan?
Ramadan ini sewajarnya membuka minda kita untuk menilai semula tujuan melanjutkan pengajian di universiti dan bagaimana memanfaatkan ilmu untuk membantu mewujudkan dunia yang lebih sejahtera.

Sekali gus harus berfikir dan membuat muhasabah melalui penghayatan terhadap al-Quran dan sirah, mengadunkan dengan disiplin Ramadan sekali gus mengintegrasikan dengan proses yang ada dengan melihat peranan manusia sebagai khalifah yang diamanahkan menjaga alam ini, bukannya melihat segenap kejadian dengan jiwa dan pemikiran yang kosong.

Tujuan belajar seharusnya untuk meningkatkan kualiti hidup manusia, kesejahteraan alam dan seluruh makhluk yang ada malah mendekatkan kita dengan Pencipta, bukan sekadar untuk mendapat ganjaran material dan berpuas hati dengan apa yang diperolehi.

Universiti seharusnya menjadi institusi ilmu yang menegak akal budi bukannya sekadar tahu menuding jari terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi.
Pada akhirnya, gejala membuang bayi, bencana alam, krisis moral termasuk keruntuhan nilai keluarga dan sebagainya harus lebih berupaya menyentuh jiwa dan kalbu seorang yang berilmu, jauh sekali untuk menjadi sebahagian dari pencetus masalah yang timbul.

Agaknya, hanya jika kita dapat betulkan niat dan keikhlasan menuntut ilmu, kita akan lebih sedar tentang perkara ini dan menjadi insan kamil yang sering diperkatakan. Berupayakah kita melakukan anjakan dalam proses pendidikan yang dilalui dan mengubah senario ini?

PENULIS bertugas di Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP