Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Wajib Bahasa Mandarin, Tamil ?

Wednesday, June 16, 2010


NAMPAKNYA kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tercabar lagi. Dasar mewajibkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah meletakkan status bahasa itu setaraf dengan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.


Kita boleh menerima bahasa Inggeris diwajibkan kerana ia adalah bahasa ilmu dan bahasa ekonomi antarabangsa. Bahasa Melayu pula adalah bahasa kebangsaan dan sewajarnya menjadi bahasa rasmi tidak hanya di sekolah malah dalam semua lapangan kehidupan.


Tetapi apabila bahasa Mandarin dan Tamil mahu diwajibkan, ia menimbulkan kecelaruan apa sebenarnya identiti bangsa Malaysia yang mahu diwujudkan?
Memang tidak dinafikan rasional di sebalik dasar ini adalah untuk menarik minat ibu bapa bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Ini kerana ada kebimbangan yang jelas di kalangan ibu bapa bukan Melayu bahawa anak-anak mereka tidak akan menguasai bahasa ibunda masing-masing di sekolah kebangsaan.


Maka dari sudut itu, pengenalan bahasa ibunda kaum masing-masing dilihat sangat wajar. Namun dalam membuat sebarang dasar terutamanya membabitkan pendidikan, ia tidak boleh hanya bergantung kepada sebahagian kecil asas sahaja.


Banyak yang perlu dipertimbangkan dan dikaji sebelum ia dimuktamadkan. Pertamanya ialah sejauh mana kita melihat kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dalam konteks pendidikan negara hari ini.


Apabila dasar ini dikatakan akan menggalakkan perpaduan, kita sebenarnya sudah memberi takrifan bahawa bahasa Melayu gagal memainkan peranan tersebut. Sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, maka seharusnya menjadi bahasa pemersatu di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.


Hakikat ini secara tidak langsung menjawab persoalan sama ada bahasa Mandarin dan Tamil wajar dijadikan subjek wajib atau sebaliknya. Dengan dua subjek bahasa yang perlu dikuasai pelajar ketika ini, maka adalah wajar sekiranya bahasa Mandarin dan Tamil hanya dijadikan subjek elektif kepada pelajar dan ibu bapa.


Ini juga seperti yang ditegaskan oleh pemerhati pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, mengambil semangat Perlembagaan serta Laporan Pelajaran Razak (1956) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Maka, sepatutnya kerajaan dan masyarakat umum memperkasakan bahasa Melayu dengan matlamat itu.


Dalam masa yang sama menggalakkan bahasa Mandarin dan Tamil untuk menjadi mata pelajaran pilihan di sekolah kebangsaan. ''Jangan sampai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan 'hilang' status kerana dasar ini," tegas Anuar.


Kemampuan pelajar-pelajar menyerap ilmu bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah juga perlu dipertimbangkan dalam dasar ini. Subjek bahasa adalah antara subjek yang sukar untuk difahami dan dikuasai. Ia bukanlah subjek yang boleh dipupuk atau dilatih di luar bilik darjah terutama bagi pelajar yang bahasa itu bukanlah bahasa ibunda atau bahasa rasmi di rumah.


Ambil sahaja contoh bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu dan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu. Meskipun bahasa-bahasa ini diwajibkan dari peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah ke peringkat universiti, namun berapa ramai di kalangan kita yang benar-benar menguasainya?


Barangkali perkara ini ada kaitan dengan persekitaran pembelajaran subjek bahasa di sekolah-sekolah. Subjek ini seperti yang dikongsi daripada pengalaman Anuar, tidak diajar dalam suasana yang ceria dan membangkitkan minat pelajar. Sebaliknya, ia menjadi mata pelajaran yang membosankan, tidak ada keseronokan dan kurang praktikal komunikasi di dalam bilik darjah.


''Kerana itu walaupun dasar ini baik untuk dilaksanakan, namun antara perkara yang paling kritikal untuk dilakukan ialah merombak kembali kaedah pengajaran bahasa di sekolah," katanya.


Polemik di sebalik dasar ini juga mengingatkan kita kembali kepada apa yang berlaku terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar ini akhirya terpaksa dimansuhkan kerana bantahan yang meluas selepas beberapa tahun dilaksanakan.


Bukan sedikit impak yang terpaksa ditanggung daripada perubahan dasar ini terutamanya dari sudut masa depan murid-murid yang menerima dasar ini. Sudah semestinya, kita tidak mahu dasar baru mewajibkan subjek bahasa Mandarin dan Tamil ini menjadi PPSMI yang kedua.


Memang dari sudut matlamatnya sangat jelas iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada satu bahasa. Tetapi apa yang dibimbangkan ialah dari sudut mekanisme pelaksanaannya.
Adakah kita benar-benar bersedia? Apa yang dibimbangkan ialah perlaksanaan dasar ini boleh mewujudkan puak-puak kecil di dalam budaya sekolah tanpa disedari. Pada peringkat awal, dasar ini juga akan cuba untuk menarik kumpulan etnik lain untuk belajar bahasa Mandarin dan Tamil.


Tapi seperti pengalaman negara lain, akhirnya yang tinggal hanya kumpulan etnik tertentu sahaja. Ini tambah Anuar, adalah apa yang berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) apabila mata pelajaran bahasa etnik diperkenalkan di sekolah. Pada akhirnya, hampir semua kelas tersebut dihadiri oleh kumpulan etnik tertentu sahaja.


Mereka membina kelompok dan 'ghetto' budaya tersendiri melalui kelas-kelas ini, dan ini biasanya tidak disedari oleh pentadbir sekolah. ''Akhirnya, kita bukan sahaja akan ada sekolah vernakular pelbagai aliran seperti hari ini, kita juga ada kelompok kecil yang mengamalkan pengalaman vernakular di dalam sekolah kebangsaan," jelas beliau.


Sebenarnya jika elemen perpaduan itu benar-benar mahu dilahirkan dari sistem pendidikan, kerajaan seharusnya menumpukan usaha untuk menjayakan sekolah satu aliran.


Pelaksanaan dasar mewajibkan subjek bahasa Mandarin dan Tamil tidak menjamin bahawa sekolah aliran akan digabungkan dengan sekolah kebangsaan. Apa yang akan berlaku ialah pengembangan secara besar-besaran kelas bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.


Dalam masa yang sama, sekolah-sekolah vernakular juga akan terus kukuh kerana adanya dana daripada kerajaan sendiri. ''Inilah senario sistem pendidikan negara kita pada masa depan," kata Anuar.
Utusan Malaysia Online : 16 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP