Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Pro Perlunya Lesen Perguruan

Monday, May 24, 2010

SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai cadangan Kementerian Pelajaran iaitu guru wajib mendapatkan lesen perguruan yang menyamai amalan bidang profesional seperti kedoktoran dan undang-undang.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Saya berpendapat, sebelum membantah semua cadangan, ada baiknya kita perhalusi rasional cadangan itu. Daripada pandangan kasar, cadangan itu seperti menambah beban guru. Tentu ada guru yang berkata, jika sudah ada ijazah, apa perlunya lesen?

Sudah bertahun-tahun guru melalui NUTP memperjuangkan pelbagai isu perguruan; gaji, bonus, perjawatan dan beban tugas. Bagi saya, isu lesen perguruan membantu menyelesaikan masalah itu pada jangka masa panjang.

Jika perlu mendapat lesen, guru tergolong dalam kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan peguam. Selepas itu, barulah guru tidak boleh disuruh membuat kerja tidak berkaitan kerana sebagai tenaga profesional, mereka harus membuat tugasan berkaitan bidang tugasnya saja, bukan bidang lain seperti perkeranian.

Amalan ini juga menyekat penubuhan sekolah swasta yang hanya menitikberatkan keuntungan dengan merekrut tenaga guru yang tidak terlatih, sekali gus menjejas masa depan pelajar.

Pihak sekolah juga (sama ada kerajaan atau swasta) tidak akan sewenang-wenang mengambil guru sandaran atau guru ganti untuk mengajar anak kita di sekolah. Dengan cara ini, terhentilah cakap-cakap semua orang boleh menjadi guru atau menjadi guru kerja mudah kerana hanya bermodalkan air liur.

Antara ciri tenaga profesional mereka tidak boleh digantikan tenaga kerja tidak terlatih. Pada masa ini, jika NUTP hendak menuntut kenaikan gaji atau meminta bonus, barulah tuntutan itu dianggap munasabah kerana kita memang daripada kumpulan profesional yang bekerja dengan kepakaran masing-masing, bukan lagi melakukan kerja yang hampir semua lepasan universiti boleh lakukan seperti menaip dan menyusun fail.

Mungkin ada isu yang boleh ditimbulkan daripada aspek praktikal, contohnya jika hanya mereka yang ada lesen mengajar di sekolah, tentu bilangan guru berkurangan dengan drastik sehingga menjejas pembelajaran murid kerana guru sandaran tidak terlatih tidak boleh diambil lagi. Jika kelas tiada guru, isu keselamatan pula boleh ditimbulkan ibu bapa.

Tetapi dari segi idea dan dasarnya, isu lesen guru ini membawa kebaikan kepada guru dari segi kebajikan dan kualiti bidang perguruan. Guru juga tentu berasakan perlu untuk meningkatkan mutu kerja untuk menyamai tahap 'profesional' seperti yang dikehendaki.

Bukan saja hal ehwal guru terjaga dengan lebih baik, masyarakat dan murid juga menghormati guru kerana 'bukan semua orang boleh mendidik. Barulah kita dapat mencapai satu daripada teras PIPP iaitu Memartabatkan Profesion Perguruan.

Saya berpendapat, NUTP perlu berfikiran rasional. Bukan semua syarat dikenakan ke atas guru membebankan. Jika ada cadangan yang baik, kita perlu sokong. Mungkin dari segi praktikal dan pelaksanaan, perkara ini masih kabur, tetapi jika ia membawa kebaikan kepada pihak guru, mengapa tidak?

AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai
Berita Harian Online: 24 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP