Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Dapatan Kajian Masa Mengajar Guru Data Sekolah Rendah

Wednesday, March 31, 2010

Seperti mana yang kami tegaskan dalam posting terdahulu bahawa kami ada menerima aduan,rungutan dan perasaan tidak puas hati Guru Data mengenai masa mengajar yang terlalu banyak hingga mereka tidak mempunyai masa untuk melaksanakan tugas pengurusan data di sekolah.Mereka mendakwa bahawa pihak pengurusan sekolah telah tidak mematuhi Surat Pekeliling Iktisas Bil 14/2007 mengenai pelantikan guru data di sekolah menengah dan rendah serta bidang tugas-tugas masing.

Dalam Surat Pekeliling ini  telah diterangkan Mengenai Waktu Mengajar & Waktu Pengurusan Data oleh Guru Data di sekolah;

  • Waktu Mengajar Guru Data Sekolah Rendah - 12 waktu x 30 minit (6 jam) seminggu
  • Waktu Pengurusan Data Sekolah Rendah - 4 waktu x 30 minit = 120 minit (2 jam) sehari / 10 jam seminggu
  • JUMLAH WAKTU MENGAJAR + PENGURUSAN DATA = 32 waktu / 960 minit seminggu
Unit Penyeliaan Sekolah Rendah telah melontarkan aduan ini kepadaMajlis Guru Besar,Guru Penolong Kanan dan juga Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah. Tindakbalas semerta adalah seperti dijangka "Perjawatan Guru Data berada dalam NORMA perjawatan".Oleh itu,Unit Penyeliaan Sekolah telah mengambil inisiatif meminta sekolah-sekolah menghantar Jadual Guru Data dan tarikh tutupnya sepatutnya pada 5 Februari 2010. Namun hingga 1 April 2010 kita hanya menerima 123 jadual guru data dari 347 buah sekolah seluruh negeri. Barangkali cukup sebagai sample kajian. Di bawah adalah dapatannya ...

Berdasarkan dapatan ini dakwaan guru data ada benarnya. Pihak sekolah perlu meneliti semula masa mengajar guru data agarselaras dengan pekeliling dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dalam kelulusan perjawatan 2011 perlu mempertimbangkan kedudukan Guru Data di luar norma perjawatan sebagaimana Guru Pemulihan,Guru Media,Guru Bimbingan dan Guru Penyelaras Bestari agar polimik ini dapat diatasi sebaik mungkin untuk kepentingan pelajar

Pihak pengurusan sekolah semestinya mematuhi semua pekeliling selagi tiada perubahan dan pembatalan dibuat. Mereka perlu bijaksana dan kreatif mengurus isu dan persoalan. Di bawah adalah cadangan Jadual  Guru Data berdasarkan pekeliling untuk rujukan dan panduan.


Catatan :
UNIT SEKOLAH RENDAH JPN TERENGGANU

Read more...

Bidang Keberhasilan Utama Guru


Dalam memastikan agenda pendidikan negara tercapai, khususnya Bidang Keberhasilan Uama Kementerian (M-KRA : Ministry Key Result Area), guru juga sewajarnya perlu mempunyai dan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama seorang Guru (Teacher-Key Result Area: T-KRA). T-KRA ini penting sebagai satu garis panduan untuk guru mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagaimana yang diwar-warkan oleh kerajaan masa kini.

Adalah dicadangkan guru-guru memahami, menghayati dan melaksanakan T-KRA bagi memastikan KPI sebagai seorang guru yang berkesan tercapai dan matlamat agenda pendidikan negara dapat direalisasikan. Lima (5) Bidang Keberhasilan Utama seorang guru ialah:

1. Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan
2. Kandungan mata pelajaran yang diajar
3. Buku Rekod Mengajar
4. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)/Pedagogi Guru
5. Profesionalisme Profesion Keguruan

Dengan memahami, menghayati dan melaksanakan lima (5) T-KRA yang dinyatakan itu, pasti memudahkan peranan guru dalam melaksanakan tugas dan tangggungjawab yang diamanahkan. Di samping itu, bagi memastikan ke-lima-lima T-KRA tersebut difahami dan dihayati, setiap T-KRA berkenaan perlu mempunyai Indeks Prestasi Petunjuk (KPI) yang ingin dicapai oleh seseorang guru.

KPI bagi seorang guru ialah:

1.Sukatan Pelajaran perlu ditamatkan mengikut tempoh yang ditetapkan (berdasar SPI)
2. Penguasaan 100% guru terhadap kandungan mata pelajaran utamanya
3. Buku Rekod Mengajar perlu diselenggara dan dikemaskini (berdasar SPI Bil3/1999)
4. Pelajar seronok mengikuti proses P&P guru (Pedagogi berkesan)
5. Pencapaian pelajar dapat diterjemahkan sebagaimana yang disasarkan guru.

Adalah diharapkan guru-guru akan senantiasa berusaha dengan penuh dedikasi untuk memenuhi tuntutan pelaksanaan T-KRA ini agar KPI yang perlu dicapai mampu memberi impak yang besar kepada masa depan para pelajar dan memenuhi aspirasi pendidikan negara.

" Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Guru Dihargai "

Read more...

Cikgu Produktif Dibebani Tugas Berat Tanpa Terima Insentif

BEBANAN tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru, tetapi sebahagian saja terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, yang menjawat jawatan penting sekolah dan yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah.

Namun yang pelik dalam gegak-gempita isu bebanan tugas mendidik ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru ini menjawat ‘dua profesion’ pada satu masa. Sebenarnya, di ‘atas kertas’ Kementerian Pelajaran sudah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru muda yang hanya mampu dicapai guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan atau berjenis ‘kabel’ digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang enggan susah dan anak manja, maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru berkenaan.

Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru berkenaan.

Mereka dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain enak dibuai mimpi.
Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) kini dilihat semakin hilang sengat terutama pada kaca mata guru lama.

KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak lain.

Untuk mengembalikan taring KPPK, peranan sebenar KPPK ialah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan.

Insentif berbentuk elaun boleh memberi keadilan kepada guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu.

Jangan hanya terjah dan timbang kilo tanpa fakta tepat kerana ini hanya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah
Berita Harian Online: 1 April 2010

Read more...

Seksa Jadi Guru....


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
Jawatankuasa khas diberi dua bulan selesai tekanan hidup guru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.


Berita Harian Online: 1 April 2010

Read more...

Tidak Perlu Sekolah Khas Pelajar Bermasalah

Monday, March 29, 2010


BENTONG 28 Mac - Kerajaan tidak bercadang menubuhkan sekolah khas bagi menempatkan pelajar bermasalah sebagai langkah mengatasi kemelut disiplin membabitkan golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Menurutnya, jalan penyelesaian kepada masalah disiplin pelajar tidak boleh ditangani melalui penubuhan sekolah khas, sebaliknya sokongan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing bagi mendidik dan menyedarkan mereka.


"Kita tidak memerlukan sekolah khas bagi menempatkan pelajar yang dibuang sekolah ekoran masalah disiplin kerana ia tidak menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.
"Paling penting semua pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah duduk bersama berbincang cara untuk memberi kesedaran kepada mereka,'' katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa sesi soal jawab sempena majlis penutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di Genting Hinglands di sini hari ini.
Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya memandang serius masalah disiplin yang melanda pelajar sekarang walaupun jumlahnya hanya satu peratus.


Kata beliau, walaupun dari segi peratusan ia adalah kecil, tetapi jumlah sebenar pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin kini mencecah puluhan ribu orang.
''Ini yang membimbangkan kerana jika tidak dibendung ia akan menjalar sehingga mampu menjejaskan institusi pendidikan negara. Usaha menyedarkan pelajar bukan tanggungjawab guru semata-mata, ia harus dipikul oleh semua,'' katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, PIBG perlu berunding dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit.


Menurutnya, perbincangan itu tidak semestinya secara formal tetapi yang penting mampu memberi gambaran kepada PIBG sama ada ibu bapa setuju atau tidak dengan perkara yang hendak diputuskan.
'Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, PIBG berperanan memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan negara kerana pencapaian dan kejayaan anak-anak di sekolah turut bergantung kepada ibu bapa.


Katanya PIBG ditubuhkan atas peruntukan undang-undang dan bukannya sekadar satu inisiatif atau kehendak ibu bapa.


''Soal pendidikan penting dan perlu diberi perhatian utama bukan sahaja oleh pimpinan negara tetapi ibu bapa. Pencapaian anak-anak kita di sekolah ada hubung kait dengan peranan yang disumbangkan oleh PIBG di seluruh negara,'' katanya.


Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2010

Read more...

Mencemburui Gaji Guru


SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.


Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.
Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.


Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."


Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.


Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!


Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).


Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.


Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.


Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?


Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.


Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.


Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.


Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.


Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.


Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.
Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.


Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2010

Read more...

Idola Dorong kejayaan Habibah

Sunday, March 28, 2010


TIGA prinsip utama iaitu taat pada Allah, menjaga hubungan baik sesama manusia dan berfikiran positif menjadi kekuatan kepada Habibah Hanan Mat Yusoff, 18, memperoleh keputusan cemerlang 15A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.


HEBAT...Habibah diangkat sebahagian pelajar MMP selepas diumumkan sebagai pelajar cemerlang MMP dalam keputusan SPM 2009.

Malah, anak bongsu daripada 10 beradik dari pasangan pesara guru Kampung Paya Rambai, Kota Bharu ini sentiasa berfikiran positif untuk mencapai kejayaan kerana kecemerlangan tidak datang dengan mudah tanpa usaha dan kegigihan.

"Ilmu yang ditimba lebih berkat apabila kita taat pada perintah Allah. Restu ibu bapa juga membolehkan ilmu yang diajar oleh guru dimanfaatkan sebaik mungkin.


"Selain belajar tanpa rasa jemu, saya sentiasa fokus terhadap apa yang diajar di kelas dan juga ketika belajar secara kumpulan di luar rumah," katanya berkongsi kejayaan.


Habibah berkata, kejayaan dicapai dalam SPM 2009 yang diumumkan 11 Mac lalu bukan ditumpukan kepada pembacaan buku dan mengulangkaji pelajaran semata-mata, tetapi turut dipenuhi dengan aktiviti kurikulum dan persatuan di sekolah.


"Kejayaan yang dicapai tidak datang bergolek, sebaliknya melalui usaha gigih selain bijak mengatur masa bagi memastikan tumpuan belajar dilakukan dengan lebih serius.

"Buktinya, kesibukan sebagai pengerusi pusat sumber sekolah selain ahli skuad kawad Persatuan Bulan Sabit Merah peringkat MMP dan bergiat dalam sukan ping pong di sekolah tidak menghalang saya daripada mencapai keputusan cemerlang," katanya.


Menurut Habibah, dia memperoleh 10A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Geografi, Kimia, Pendidikan Islam dan Tasawuf Islam.


Selain itu A+ turut diperoleh menerusi mata pelajaran Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah, manakala A dalam fizik, Biologi, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan A- untuk Kesusasteraan Melayu.


"Seperti remaja lain, saya seimbangkan waktu belajar dan bermain atau kegiatan kekeluargaan baik di rumah atau di sekolah kerana dapat membentuk sikap positif.


"Bagi saya, tekanan juga akan menjadikan kita positif, terutama kemampuan diri kita dalam menguruskan masa dan potensi diri.


"Saya yakin dengan apa yang saya lakukan dan tidak ada istilah tekanan kepada saya dalam menetapkan matlamat mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2009," katanya.


Habibah berkata, kejayaannya mendapat 15A turut didorong oleh pencapaian cemerlang bekas pelajar MMP, antaranya Nik Nur Madihah Nik Kamal yang memperoleh 20A dalam SPM 2008.

"Saya jadikan Nik Nur Madihah sebagai 'idola' untuk berjaya dan hasilnya terbukti sebaik mendapat keputusan cemerlang 15A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini. "Walaupun tidak sehebat pencapaian Nik Nur Madihah, saya berusaha sebaik mungkin untuk mencapai keputusan terbaik bagi diri saya dalam SPM 2009.


"Usaha gigih saya selama ini membuahkan hasil kerana dinobatkan sebagai pelajar cemerlang seperti kejayaan dikecapi Nik Nur Madihah pada 2008," katanya yang turut menerima wang tunai RM500 disampaikan Pengarah YIK, Ahmad Robert Abd Rahim sebagai penghargaan atas kecemerlangannya dalam peperiksaan SPM 2009.


Mengenai perancangan masa depannya, Habibah berkata, minatnya lebih terarah untuk menyambung pengajian dalam bidang fizik di universiti luar negara.


"Saya harap apa yang saya impikan selama ini untuk meneruskan pengajian dalam bidang fizik dimakbulkan Allah kerana cita-cita saya untuk menjadi ahli fizik," katanya.


>Profil
NAMA: Habibah Hanan Mat Yusoff
LAHIR: 16 Februari 1992
UMUR: 18 tahun
ASAL: Kampung Paya Rambai, Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan
ADIK BERADIK: Bongsu daripada 10 beradik
BAPA: Mat Yusoff Deraman
IBU: Zawiah Che Deraman
PENDIDIKAN: Mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 15A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009
HOBI: membaca majalah, melukis dan mengembara
CITA-CITA: Ahli fizik



Metro online

Read more...

Pendidikan Seks ?

Saturday, March 27, 2010


AKHIR-AKHIR ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak luar nikah dan mengamalkan seks sebelum berkahwin. Lebih penting adalah untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil turut mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks itu manakala kementerian tersebut pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas daripada pihak-pihak yang lain.


Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah-sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini?
Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?


Dalam matapelajaran Sains dan Sains Kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu.
Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan sperma lelaki.


Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.
Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks secara selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mencegah kehamilan?


ILHAM SYAKIMA
Taman Guru, Yan


Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2010

Read more...

Patuhi Pekeliling Kementerian Pelajaran

Friday, March 26, 2010


KUALA PILAH 25 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua Pengarah Pelajaran negeri dan sekolah supaya mematuhi arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia bertujuan mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang merasakan dibebani oleh kerja tidak relevan dengan tugas hakiki berikutan arahan dikeluarkan di peringkat negeri.
‘‘Saya maklum mengenai perkara itu sejak kebelakangan ini, malahan saya sendiri memberikan perhatian terhadap isu tersebut. Umpamanya beban kerja guru, soal kebajikan selain perjawatan dan sebagainya,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan di Beting, dekat sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Kampus UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Zaluddin Sulaiman.
Beliau ditanya berhubung satu cadangan yang dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di seluruh negara sebagai tanda bantahan dengan bebanan kerja tanpa kaitan yang diberikan oleh pengetua dan guru besar.
NUTP mendakwa terdapat guru yang diminta membuat laporan demi laporan, pelan tindakan, kertas kerja, yang mana disifatkan tidak relevan dengan tugas hakiki mereka.
Menurut NUTP, tindakan itu boleh menjejaskan kualiti pengajaran seorang guru dan yang menjadi mangsa utamanya adalah pelajar itu sendiri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, tugas guru telah diperjelaskan oleh pihak kementerian dan pengarah di negeri serta sekolah wajar mematuhi apa juga pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kementerian tersebut.
Sehubungan itu beliau akan menemui semua Pengarah Pelajaran negeri untuk memastikan bagaimana segala dasar dan arahan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran dapat dipatuhi.
Kata Muhyiddin, pertemuan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Pelajaran, pengarah-pengarah peringkat kementerian serta pengarah pelajaran negeri.
‘‘Selepas itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan semua Pegawai Pelajaran Daerah untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan apa juga perihal berbangkit termasuklah berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran memang mengeluarkan pekeliling dari semasa ke semasa kepada pengarah peringkat negeri mengenai apa yang perlu dilakukan di sekolah-sekolah.
‘‘Cuma masalah timbul apabila ada pengetua dan guru besar mengambil langkah tertentu mengikut budi bicara mereka sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan guru.
‘‘Semua itu, bukanlah arahan kementerian kerana kita ada panduan yang hendak dibuat dan dilaksanakan.
‘‘Persoalannya bagaimana kita hendak menyeragamkan semua tindakan itu supaya sesuatu keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan dan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik. Itulah yang akan kita selesaikan,” tambah beliau.
Muhyiddin berkata, pertemuan dengan Pengarah Pelajaran negeri itu juga bukanlah disebabkan desakan NUTP, tetapi beliau sendiri berhajat menemui mereka.
Ditanya mengenai tindakan demonstrasi yang hendak dilakukan oleh NUTP jika tuntutan mengenai beban tugas tidak dapat diselesaikan, Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom telah pun menemui pihak berkenaan.

Utusan Malaysia

Read more...

Pakej Jalur Lebar Baru

Thursday, March 25, 2010

KUALA LUMPUR 24 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Telekom Malaysia (TM) akan memperkenalkan pakej jalur lebar baru yang lebih murah untuk keperluan rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

Perdana Menteri berkata, pakej baru itu yang akan turut disertakan dengan komputer netbook akan dikenakan yuran bulanan antara RM20 hingga RM38.

“Langkah ini salah satu daripada enam inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi memudahkan rakyat kurang berkemampuan mendapat kemudahan jalur lebar,” katanya.

Beliau berucap melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; isterinya, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Kumpulan TM, Datuk Halim Shafie.

Pada majlis itu, Najib turut memperkenalkan UniFi iaitu jenama baru bagi perkhidmatan HSBB TM.

Najib juga mengadakan sidang video dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang berada di Kota Samarahan.

Pakej runcit HSBB merangkumi tiga perkhidmatan iaitu suara, video yang merangkumi televisyen protokol Internet (IPTV) dan video atas permintaan serta Internet berkelajuan tinggi.

HSBB menawarkan lebar jalur pada kelajuan akses rangkaian 10 megabit sesaat yang menyokong penawaran tiga perkhidmatan itu.

Dimeterai pada September 2008, HSBB kebangsaan bernilai RM11.3 bilion yang merupakan salah satu inisiatif utama NBI, merupakan perjanjian usaha sama awam-swasta antara TM dan kerajaan bagi membangunkan perkhidmatan dan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara.

Pada fasa pertama mulai esok, kawasan yang akan diliputi perkhidmatan HSBB TM ialah Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar. Ia akan diperluaskan ke 22 kawasan ibu sawat lain mulai Jun ini.

- UTUSAN

Read more...

Jadual Tentatif Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu SR Daerah Jempol 2010

Wednesday, March 24, 2010

Matlamat pertandingan :
Pertandingan ini diadakan adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi murid-murid sekolah rendah serta mencungkil bakat murid-murid dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Objektif pertandingan :
  1. Mencungkil bakat dan kreativiti murid bercerita secara bersahaja dan meyakinkan.
  2. Menggalakkan murid-murid membaca dan menghayati karya kreatif penulis-penulis tempatan dan karya tradisional.
  3. Membina keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi serta berdaya saing di kalangan murid.
  4. Meningkatkan kemahiran berbahasa iaitu bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.

Tarikh  :     6 April 2010
Tempat   :  Dewan Sekolah Kebangsaan (Felda) Serting
Masa :        8.00 pagi hingga 1.30 tengahari


Jadual Tentatif Pertandingan

8.00 pagi             :    Pendaftaran

8.30 pagi             :     Taklimat Peserta/Hakim

9.00 pagi             :     Pertandingan bermula

12.00 tengahari :     Perasmian Penutupan Majlis

                                    Aluan Pengerusi Majlis

                                    Bacaan Doa

                                    Ucapan Pengerusi Pengelola

                                    Ucapan Perasmian Penutup Pertandingan

12.45 tengahari  :   Penyampaian Hadiah/sijil

1.00 petang         :   Jamuan

1.30 petang         :    Bersurai



Read more...

Pemenang Tempat Pertama Mencipta Sajak Dalam Pertandingan Minggu Bahasa Melayu

WAHAI SEKOLAH KU SKSF

Andai ku tahu…
Rimba ilmumu
Penuh warna kehidupan
Sarat hijau pengetahuan
Akan tertibku bersimpuh di bawah
Lembayungmu
English Zone SKSF

Andai ku tahu…
Gelap cahayamu adalah sinar
Ruang kecilmu ibarat sangkar
Termangu aku akhirnya
Mengambil ikhtibar
Di sudutmu PPDa SKSF

Andai ku tahu jua..
Lenggok tiupan angin
Menghayun birai-birai bahasa mu
Yang indah dan bermakna
Akan berdiam diri aku
Melihat, membaca, mengambil pengertian
Di indahnya Taman Bahasamu SKSF

Usahlah bercerita
Setiap incinya perkaranganmu
Lantas di dalammnya
Penuh ilmu yang entah bila
Sudah tersedia dan sentiasa diselia

Jika nilai itu dikutip
Ilmu itu diperguna
Disebar, dihayati, ditekuni
Manfaatlah seluruh isinya
Kerana ia..ilmunya
Tiada di mana-mana
Hanya di dadamu Serting Felda


Nukilan : Rohaya M..

Read more...

Rahsia Pemakanan Ilmuan Islam

Tuesday, March 23, 2010


Madu

Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia 'shifa' iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang, bermesyuarat serta melayari internet.

Kismis

Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang nencukupi untuk disalurkan ke otak.Adab memakannya ialah mengadap kiblat, membaca bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati.


Susu segar

Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal.

Telur

Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya.


Halia

Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa.

Buah delima

Mujarab untuk penerang hati seperti sabda nabi Muhammad SAW : "sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari."


catatan :http://bulanjatuhkeriba.blogspot.com

Read more...

Hadiah Cukup Berharga...

Penulis antara top 5 pemenang pertandingan Mengarang Puisi Bahasa Melayu dan Kempen Budi Bahasa anjuran Panitia Bahasa Melayu, Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pusat Sumber Sekolah...Hadiah yang penulis terima ialah sebuah buku berbentuk motivasi berjudul Bukan Main Lagi...hasil buah tangan penulis terkenal Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj..


Ulasan berkaitan buku tersebut ialah  tentang  pendekatan motivasi santai Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj yang menekankan aspek tekanan untuk lebih mencerlah hebat. Cabaran itulah menjadikan kita apa dan siapa. Baginya, kecemerlangan perlu dibuktikan dalam bentuk benda.
Kecemerlangan tidak hanya kata-kata, tetapi hasil. Ia mesti dilihat, dirasai serta boleh dinikmati hasilnya bersama. Kecemerlangan tidak boleh diukur oleh banyak mana ilmu yang dimiliki, tetapi tersimpan teguh sebagai milik peribadi. Yang penting, apakah ilmu itu bermanfaat untuk orang lain juga? Ilmu bukan sekadar untuk dibicarakan, tetapi untuk diterjemahkan.

 Bukan buku ini yang penulis hendak cerita...penulis nak cerita tentang sumbangan yang dihulurkan. Hadiah pertandingan mengarang puisi kategori guru ini telah ditaja oleh seorang guru panitia Bahasa Melayu yang dikenali sebagai N....Penulis bukan menilai kedudukan dalam pertandingan ini tetapi menilai dari sudut kasih sayang....Sifat kasihnya guru ini seperti slogan ustaz Hasrizal Mohd Jamil dalam blogsnya 'Hidup untuk Memberi".Jika hidup kerap memberi kurang meminta, hidup akan bahagia..Kita merasa bahagia melihat .Mungkin orang itu akan mendoakan kita. Tetapi jika kita mengharap orang memberi, jika tidak diberi kita akan kecewa...Buku ini amat bernilai kepada penulis...bertepatan dengan penulis....penulis pun sekarang 'Bukan Main Lagi'...

Read more...

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP