Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Pengurusan Prestasi Perlu Teratur, Sistematik

Sunday, December 12, 2010

KPI mampu jadi petunjuk pencapaian produktiviti melalui kecekapan organisasi 

PENILAIAN Tahap Kecekapan (PTK) diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 November 2002, dimantapkan pada 2005 dan dibuat pengubahsuaian pada 2008.



Bertujuan menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan daya saing atau kompetensi.


Namun ekoran kritikan berpanjangan terhadap penilaian yang dikatakan lebih berorientasikan peperiksaan, maka terkubur PTK akhirnya. Senarionya, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki, tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK. 

Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa prestasi mereka, tetapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat – walaupun kenaikan pangkat bukan saja dinilai dari segi PTK, malah juga syarat lain seperti merit, kekosongan jawatan serta sokongan ketua jabatan. 

Persoalannya sekarang, apakah kerangka baru sistem pengurusan prestasi yang akan dibangunkan? Apapun, kerangka itu perlu bersifat komprehensif dan hanya akan berguna kepada sesebuah organisasi apabila ia selari dengan pelan strategik organisasi sedia ada dan dapat menangani isu mendasar agar pekerja kekal bermotivasi, komited dan berkesan. 

Antara isu yang harus diambil kira dalam kerangka berkenaan adalah isu keadilan, pelan penggantian, peningkatan kompetensi, sistem pengiktirafan (ganjaran) dan pelan laluan kerjaya. 
Pengurusan prestasi perlu disediakan dengan teratur dan dilaksanakan secara sistematik serta dihubungkaitkan dengan produktiviti pekerja, organisasi dan negara. 

Persekitaran semasa yang begitu kompetitif memerlukan pengurusan prestasi yang memberi fokus kepada penyediaan sumber manusia sektor awam yang mampu menjuarai pola pemikiran kritis dan konstruktif dalam mendukung Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) secara kreatif dan inovasi di luar kelaziman. 

Kefahaman yang semakin terbuka terhadap insan sebagai modal menuntut transformasi sumber manusia sektor awam agar mampu ‘survive’ dan menghasilkan ‘out-put’ yang lebih baik – ‘quality growth’. 

Amalan pembangunan sumber manusia moden seperti ‘Continuing Professional Development’ (CPD) dan ‘Competency Based Training’ (CBT) harus menjadi inti pati dalam pembangunan kerangka pengurusan prestasi sektor awam mahupun swasta. 

Melalui CPD, anggota sektor awam perlu menunjuk kepada pengurusan atasan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus atau seminar yang dihadiri, mesyuarat, pembacaan, kelayakan kepakaran lain, kegiatan luar dengan masyarakat, penulisan dan pembabitan dalam kegiatan jawatankuasa di jabatan. 

Ia melestarikan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan diri dan penilaian prestasi staf yang digabungkan, matlamat Dasar Sumber Manusia sektor awam dapat dicapai, waktu pembelajaran yang lebih fleksibel dan penjimatan kos operasi. 

CBT pula adalah pendekatan kepada proses latihan yang menekankan pada apa yang seseorang itu dapat persembahkan – pengetahuannya, ketrampilan serta sikap profesional di tempat kerja, sesuai dengan standard kompetensi sesebuah organisasi. 

Standard kompetensi boleh dibangun berdasarkan kompetensi generik dan kompetensi fungsian. Dengan standard kompetensi, maka orang berkenaan mampu mengerjakan suatu tugas / pekerjaan, menguruskannya agar tugasan terbabit dapat dilaksanakan, menyelesaikan masalah yang ada dan apa harus dilakukan apabila terjadi sesuatu keadaan yang berbeza dengan memerlukan perancangan semula. 

Kekuatan CPD dan CBT ialah pendekatan yang lebih berkesan dalam penggunaan kos pembiayaan, pembangunan ketrampilan dan kompetensi yang lebih relevan, penilaian konsisten dan identifikasi prestasi secara berterusan serta sistematik. 

Yang lebih penting, pendekatan ini boleh disediakan dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Prestasi secara umumnya dikenali sebagai produktiviti sesebuah organisasi boleh dicapai dan dipertingkatkan melalui pengurusan yang cekap dan mengguna pakai KPI sebagai kayu ukur utama. 

Dengan kata lain, KPI boleh ditafsirkan sebagai penunjuk pencapaian sesebuah organisasi dan anggotanya dalam satu jangka masa tertentu berlandaskan matlamat organisasi terbabit. Sehubungan itu, setiap organisasi hendaklah membentuk dan menentukan KPI masing-masing dalam usaha mengukur prestasi mereka. 

KPI terbaik adalah yang berlandaskan malah menggambarkan matlamat organisasi dan boleh diukur. KPI yang ditentukan oleh pengurusan sesebuah organisasi hendaklah disebar luas kepada semua lapisan dan kategori anggota masing-masing melalui pelbagai saluran dan kaedah, malah hendaklah difahami dan dihayati setiap anggota dalam organisasi itu. 

Penerapan kekuatan CPD dan CBT serta suntikan amalan KPI perlu disinergikan dengan pembangunan sistem ganjaran yang holistik. Sistem ganjaran adalah satu elemen penting dalam proses pengurusan prestasi kakitangan iaitu memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pencapaian yang diperoleh. 

Sistem ganjaran boleh dibuat dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan seperti pujian, peluang untuk latihan dan pembangunan serta kenaikan pangkat, namun sifat semula jadi dan motivasi manusia sangat mengambil berat sekiranya ganjaran penilaian prestasi dibuat dalam bentuk kewangan seperti sagu hati, bonus atau kenaikan gaji. 

Kesimpulannya, apa juga kerangka pengurusan prestasi yang digubal, kakitangan sektor awam perlu memiliki karakter yang kuat, keluasan ilmu, ketrampilan kompetensi dan sikap yang baik dalam menyampaikan perkhidmatan dengan penuh iltizam dan akauntabiliti. 

Kecemerlangan dapat dicapai dengan mempersiapkan diri dengan melaksanakan tugas secara profesional melalui perkhidmatan yang efektif dan berkesan, mempersiapkan diri untuk menjadi anggota perkhidmatan awam yang berada di tahap ‘terbaik di kalangan terbaik’ dan cemerlang dalam semua aspek – sama ada pada peringkat organisasi mahupun nasional. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Pengarah UMP Consultancy & Training Sdn Bhd. 

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP