Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Pendidikan Seks Tidak Perlu

Wednesday, December 22, 2010


SUBJEK khusus isu pendidikan seks masih lagi berlegar-legar di ruang akademik di negara ini. Sama ada ia wajar atau tidak untuk dilaksanakan, pihak-pihak yang berkenaan sudah pun membentangkan hujah masing-masing. 

Jika ditanya kepada ibu bapa, berbagai-bagai reaksi dapat dilihat. Semua mengharapkan yang terbaik buat anak-anak. Justeru pelaksanaan pendidikan seks bagi mereka haruslah menyajikan seribu satu manfaat berbanding mudarat.

Menyorot kembali silibus pendidikan di sekolah-sekolah milik penuh kerajaan di Malaysia, para pelajar sudah pun disediakan senarai panjang subjek-subjek yang harus dipelajari dan dikuasai. Daripada ilmu bahasa hinggalah kepada ilmu kehidupan dan ilmu kerohanian. Satu demi satu pengetahuan didedahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan sebagai manusia, ahli masyarakat dan juga yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tidak cukupkah senarai panjang ini untuk membantu anak-anak mentah ini menapis dugaan nafsu yang menjebak mereka ke kancah zina? Begitu pendekkah waktu yang ada sehinggakan mereka tidak sempat diajar apakah cara yang lebih baik selain membuang anak di tong sampah dan lorong-lorong gelap?

Saya yakin, berbagai-bagai persoalan telah didasari saat fikrah untuk mewujudkan subjek ini diutarakan. Sebagai pelajar yang masih lagi menuntut walaupun angka usia sudah berganjak agak jauh, ingin sekali saya berkongsi pendapat dan pandangan bersabit isu ini.

Pendidikan seks bukanlah sesuatu yang buruk atau menjengkelkan pada pandangan saya. Saya sendiri pernah melalui zaman kanak-kanak yang mana minda penuh pertanyaan, dan beberapa tahun lalu meninggalkan dunia remaja yang dialami penuh keterujaan untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baru. Itulah fitrah manusia. Pihak yang berkenaan cuba memenuhinya dengan mewujudkan satu medium agar para pelajar dapat didedahkan dengan salah satu ilmu kehidupan yang begitu halus dan sensitif, agar mereka dapat mengelakkan diri daripada tersasar jalan.

Namun pada pandangan saya, dengan adanya subjek-subjek sedia ada iaitu pendidikan agama, pendidikan moral, sains, biologi, pendidikan kesihatan dan tidak ketinggalan pendidikan sivik, itu sudah memadai untuk memandu anak-anak muda menyelamatkan amukan nafsu dan keterujaan diri daripada berzina dan seterusnya membuang bayi, kerana itulah teras utama kepada pendidikan seks.

Mari kita sama-sama renungkan. Adakah agama membenarkan kita melakukan seks sebelum nikah? Tidak. Adakah orang yang berakhlak mulia, mempunyai nilai moral yang tinggi sanggup membuang bayi yang baru lahir untuk menjadi santapan semut dan anjing? Tak mungkin. Adakah sains menerangkan tentang bagaimana bayi wujud dalam rahim seorang perempuan? Ya.

Dengan terjawabnya soalan-soalan ini dan banyak lagi melalui subjek-subjek yang sedang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, bukankah ia sudah memadai untuk membendung isu zina dan buang anak? Apa yang perlu dilakukan hanyalah memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek-subjek ini. Apa yang dapat diperhatikan, para guru mengajar, para pelajar mendengar. Apabila tiba musim peperiksaan, pengetahuan-pengetahuan yang didapati di dalam kelas cumalah dihafal dan dikeluarkan semula ke atas kertas jawapan. Yang difahami dan disimpan di dada buat pedoman menempuh hidup hanyalah secebis cuma.

Saya ingin menarik perhatian kepada cara pengajaran sebuah universiti antarabangsa di negara ini. Bersesuaian dengan namanya, para penuntut di sini didedahkan dengan ilmu agama dan juga persekitaran yang Islamik. Dalam kelas pula, selain menceduk ilmu daripada hasil tulisan para cendekiawan yang majoritinya adalah orang Barat bukan Islam, para penuntut turut dipandu dan dilatih untuk melihat teori dan aplikasinya melalui sudut pandangan Islam. Mereka didedahkan dengan bagaimana seorang Muslim seharusnya memandang dan berfikir tentang sesuatu isu itu.

Langkah mengintegrasikan ilmu kehidupan dengan ilmu kerohanian ini amatlah wajar untuk dijadikan panduan, kerana apalah gunanya ilmu yang melangit tinggi jika jiwa kosong. Mendapat tempat pertama dalam kelas, semua A dalam peperiksaan mahupun pointer 4.00 bukanlah ukuran sebenar kejayaan, tetapi bagaimana hidup dijalani dengan bahagia dan tenang. Bukankah melakukan seks sebelum pernikahan petanda ketidakmampuan mengawal nafsu dan diri? Tidakkah keterlaluan jika dikatakan membuang bayi petanda masalah psikologi, atau kecelaruan minda?

Perkara teras yang ada masih belum kukuh, rasanya lebih elok diperbaiki daripada sibuk-sibuk menambah cabang yang belum tentu dapat mengatasi masalah yang sudah sedia ada. Takut-takut mencambahkan masalah baru pula. Rohani dan jiwa yang perlu dididik dan diperkuat dengan ilmu agama dan moral; membezakan yang mana baik, yang mana buruk, yang mana betul, yang mana salah. Ilmu inilah yang sebenarnya memandu bagaimana ilmu kehidupan akan diterima, diproses dan digunakan.

NADIAH KAMAL
Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP