Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Mengendalikan Masalah Moral Remaja Secara Rasional

Friday, August 6, 2010

Oleh DR.SAODAH ABD RAHMAN

KERUNTUHAN moral di kalangan remaja Islam di negara ini kian meningkat. Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kepincangan akhlak muda mudi perlu dikaji dan dibanteras.

Penularan video dan gambar-gambar lucah dan menghairahkan semakin hari kian meningkat. Kanak-kanak dan remaja di negara ini berada dalam era globalisasi yang mendedahkan mereka kepada unsur-unsur yang boleh menggerakkan hawa nafsu. Internet dan telefon bimbit yang canggih memudahkan remaja dan kanak-kanak memperoleh dan menonton aksi-aksi lucah yang boleh mempengaruhi pemikiran dan jiwa mereka.

Kajian yang dibuat oleh penulis terhadap remaja yang melibatkan diri dalam perlumbaan motor haram di kawasan yang jauh dari bandar raya di negeri Kedah beberapa tahun lalu mendapati telefon bimbit merupakan alat yang paling berkesan untuk menyebarkan aksi-aksi lucah. Ramai remaja menjelaskan bahawa adegan seks yang dihantar melalui telefon bimbit oleh rakan-rakan mendorong mereka melakukan hubungan seks secara haram bersama pasangan mereka.

Pengawalan hawa nafsu remaja dalam era globalisasi amat sukar jika sistem kehidupan umat Islam lebih menjurus kepada material daripada spiritual. Justeru, perkahwinan di kalangan remaja di bawah umur (18 tahun) bukan merupakan satu cara yang paling berkesan untuk membanteras gejala moral. Mungkin perkahwinan begini praktikal bagi masyarakat yang masih terikat dengan kehidupan kekeluargaan yang kukuh di mana ibu bapa dan ahli-ahli keluarga amat prihatin terhadap kaum kerabat mereka seperti yang diamalkan oleh masyarakat di negara Arab dan Asia Selatan yang terikat dengan sistem patriarchal yang ketat.

Perkahwinan begini mungkin juga praktikal bagi ibu bapa yang kaya dan menginginkan jumlah ahli keluarga yang ramai. Konteks kehidupan masyarakat masa kini kemungkinan sukar bagi remaja bawah umur 18 tahun berkahwin walaupun Islam menggariskan bahawa usia sembilan tahun merupakan umur baligh bagi gadis dan 15 tahun untuk remaja lelaki. Ini disebabkan corak kehidupan masyarakat Islam Melayu masa kini amat berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat sebelumnya.
Pada zaman dahulu corak kehidupan bangsa Melayu adalah berkelompok di mana kesemua ahli keluarga tinggal dan bekerja di tempat yang sama dan hubungan ahli kekeluargaan adalah terlalu akrab.

Ketika itu, perkahwinan remaja di bawah umur 18 tahun tidak memberi kesan negatif dalam kehidupan mereka kerana selepas berkahwin, mereka tinggal bersama ibu bapa atau di tempat yang berhampiran dengan ahli keluarga. Oleh itu, sebarang kesulitan dan kesukaran hidup dibantu oleh ibu bapa dan ahli keluarga.

Corak kehidupan umat Islam dalam negara masa kini telah berubah. Hubungan kekeluargaan semakin renggang. Tambahan pula kos hidup semakin tinggi yang akan menyebabkan saudara mara tidak mampu menanggung kos kehidupan ahli keluarga yang berkahwin di bawah umur 18 tahun. Syarat perkahwinan di dalam Islam perlu difahami supaya sistem perkahwinan di dalam Islam menepati kehendak Allah dan Rasul. Remaja dalam lingkungan bawah umur masa kini tidak boleh disamakan dengan remaja sebelum zaman ini.

Pada zaman dahulu, remaja dalam lingkungan umur belasan tahun mampu mencari nafkah hidup dengan membanting tulang untuk ahli-ahli keluarga kerana mereka dilatih bekerja sejak kecil oleh ibu bapa. Corak kehidupan masyarakat yang berasaskan konsep kerjasama dan gotong royong memungkinkan remaja yang berkahwin dalam umur belasan tahun mampu mengendalikan tanggungjawab rumah tangga sebagai suami dan isteri yang bahagia.

Kebanyakan remaja Islam masa kini kurang didedahkan kepada corak kehidupan berasaskan kepada konsep tanggungjawab terhadap keluarga. Oleh itu, mereka kurang matang dalam hal ehwal mengendalikan diri dan ahli keluarga. Tambahan pula ibu bapa kurang tegas dalam soal mendidik anak-anak sehingga membiarkan mereka berkeliaran sehingga larut malam. Ini adalah faktor utama yang menyebabkan remaja mudah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Pemikiran dan jiwa kanak-kanak masa kini diterap dengan pelbagai aspek yang boleh menyebabkan mereka mudah terdorong dengan gejala hawa nafsu. Bagi umat Islam, gejala begini merupakan satu perkara yang paling membimbangkan masyarakat kerana ia berkaitan dengan dosa besar.

Kelincahan dan kelicikan remaja Islam masa kini sukar untuk diatasi oleh ibu bapa dan ahli keluarga walaupun pelbagai cara asuhan dan didikan dilaksanakan. Perkara begini berlaku disebabkan suasana atau persekitaran sekeliling lebih mempengaruhi jiwa dan pemikiran remaja. Suasana begini memerlukan kepada kerjasama masyarakat mencegah gejala-gejala yang boleh menodai remaja.

Jika kes perlakuan seks di bawah umur semakin menular dalam masyarakat Islam dan pembuangan bayi menjadi fenomena dalam negara, maka masyarakat Islam perlu bekerjasama dengan kerajaan menghapuskan setiap anasir yang boleh merosakkan minda kanak-kanak seperti kegiatan menjual video lucah dan sebagainya.

Perkahwinan di bawah umur bukan merupakan satu perkara mudah bagi pasangan yang masih mentah yang sentiasa berlandaskan kepada perasaan dan hawa nafsu. Dalam konteks masa kini, perkahwinan remaja di bawah umur bukan sahaja membebankan ibu bapa, malah ia juga boleh menyebabkan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa apabila kehidupan selepas perkahwinan tidak dipantau atau mendapat bantuan daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan penting membuka minda remaja supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan perkara-perkara yang boleh mempertingkatkan kehidupan mereka . Kematangan merupakan asas utama bagi kebahagiaan rumah tangga. Remaja di bawah umur sering terdorong mengikut perasaan yang indah dan nafsu yang bergelora . Oleh itu, latihan kerohanian seperti menggalakkan mereka menceburkan diri dalam kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan boleh membina minda yang sihat sekali gus membantu remaja menjadi matang dalam kehidupan.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin & Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP