Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Kaji secara mendalam punca gejala buang bayi

Friday, August 27, 2010


BANYAK telah diperbincangkan mengenai isu pembuangan bayi dan ia bertepatan kerana kita semua perlu mencari punca dan penyelesaian kepada masalah ini. 

Memang benar isu ini sangat kompleks kerana perbuatan membuang bayi adalah manifestasi daripada pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam era pembandaran di Malaysia. Negara kita pesat membangun dengan rentak ekonomi yang sihat sehingga dibanjiri oleh ramai pelabur dan pekerja asing.


Masalah pembuangan bayi ini boleh dilihat dari sudut agama, sosial, ekonomi, undang-undang dan juga perancangan bandar. Semestinya kita perlulah meneliti kesan dari pelbagai sudut kerana masalah ini semakin hari semakin runcing. Kita tidak mahu dilabelkan sebagai sebuah negara yang mempunyai statistik pembuangan bayi yang tinggi jika dibandingkan dengan negara lain. Ini amatlah memalukan untuk masyarakat Malaysia. Perbuatan membuang bayi ini memanglah satu perbuatan yang amat keji, zalim dan jahat. Sebagai ahli masyarakat kita tidak mahu individu yang mempunyai ciri sedemikian tinggal dalam kalangan kita. Apatah lagi sekiranya jumlah individu sebegini ini ramai? Alangkah malangnya masyarakat kita mempunyai segolongan ahli yang berperangai di bawah paras keikhsanan yang diperlukan untuk hidup sebagai manusia.


Perkaitan antara pembandaran dengan masalah sosial sangatlah kuat. Sekiranya dilihat dari statistik yang didapati daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), jumlah kes masalah sosial yang tertinggi yang dilaporkan hampir kesemuanya di Selangor, contohnya kes perceraian, kes jenayah juvana, kes penderaan kanak-kanak, kes anak luar nikah dan kes pembuangan bayi. 

Ini tidak bermakna rakyat Selangor terbabit dengan masalah sosial. Kita perlu faham bahawa negeri Selangor mempunyai kadar pembandaran yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri lain dan kadar penghijrahan masuk juga adalah tinggi. 

Ini bermakna negeri Selangor mempunyai ramai pendatang, tidak kiralah pendatang asing yang ada permit atau yang tiada permit ataupun rakyat Malaysia dari negeri lain. Mereka terdiri daripada pekerja sektor perkhidmatan, pekerja profesional, pelajar institut pengajian tinggi, pelancong dan lain-lain lagi. Bilangan mereka yang tinggi secara langsung ataupun tidak, akan memberi kesan kepada aktiviti kehidupan penduduk tempatan. 


Seperkara lagi yang perlu dibincangkan ialah peranan kekeluargaan dalam kehidupan bandar yang sangat mencabar. 

Keadaan hidup di bandar masa kini amat memerlukan ibu bapa mementingkan pendapatan yang tinggi bagi memenuhi pelbagai tuntutan kehidupan bandar. Tiada lagi suasana si ibu boleh mencari keledek, ubi kayu atau kangkung di tepi parit. Tiada lagi suasana di mana si ibu duduk di rumah untuk menjaga dan mendidik anak-anak dari kecil hinggalah dewasa. Tiada lagi nenek, datuk dan sanak-saudara yang tinggal berdekatan untuk memantau aktiviti anak-anak. Dan juga tiada lagi jiran tetangga yang mengenali anak-anak jiran dan boleh menegur salah laku anak-anak jiran mereka. 

Kebanyakan keluarga bandar tidak mempunyai rangkaian sosial yang boleh membantu mereka dalam menyelesaikan masalah kewangan dan sosial. 

Pihak kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlulah mengambil berat akan masalah sosial dalam Negara kita kerana ciri masalah sosial ada persamaan dengan ciri penyakit berjangkit dan penyakit kronik. 


PROFESOR MADYA DR HAFAZAH ABDUL KARIM, 
Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Fakulti Senibina, 
Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA Shah Alam. 

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

Powered By Blogger

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP