Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

Kementerian Perlu Ada Formula Alternatif

Wednesday, July 28, 2010

PUTRAJAYA 27 Julai - Kementerian Pelajaran digesa menyediakan satu formula alternatif jika mahu memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa sama, timbul pandangan supaya kedua-dua peperiksaan itu tidak dimansuhkan sebaliknya penaksiran semula dibuat agar UPSR dan PMR dijadikan asas penilaian untuk menentukan kualiti pendidikan di negara ini.


Itu antara pandangan yang dikemukakan oleh panel Mesyuarat Sidang Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR yang berlangsung buat kali kedua di sini hari ini.


Mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan yang perlu diteliti Kementerian Pelajaran sebelum keputusan pemansuhan dimuktamadkan.


Sejak cadangan pemansuhan disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai reaksi diterima daripada pihak berkepentingan. Namun, Sidang Meja Bulat pertama 20 Julai lalu cenderung ke arah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, ada peserta panel menolak pemansuhan dengan alasan perlu ada kaedah lain yang dapat menggantikan peperiksaan sedia ada.


''Ada yang setuju ada yang tidak, yang keduanya ada yang setuju tapi mereka kata ada kelemahannya maka kita ubah suai, ada yang nyatakan kita hapus UPSR tapi jangan PMR dan sebaliknya.


''Jadi macam-macamlah, tadi kita tidak bincang tentang keputusan, cuma masing-masing beri pandangan tersendiri, mungkin kementerian hendak adakan perbincangan selepas ini untuk buat tapisan," kata Abdul Rahman kepada pada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.


Menurut beliau, terdapat cadangan agar kemahiran teknikal diperkenalkan selepas UPSR tanpa perlu menunggu selepas tingkatan empat kerana masanya terlalu singkat.


Pada mesyuarat hari ini, seramai 75 orang yang mewakili parti politik, media, institusi pengajian tinggi (IPT), tokoh pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan hadir pada sesi kedua Mesyuarat Sidang Meja Bulat berkenaan.
Pertemuan empat jam itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan semua yang hadir turut diberi taklimat berhubung matlamat asas UPSR dan PMR oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datuk Dr. Salbiah Ismail.


Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya.


''Ini kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.


''Jadi, kita kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan norma yang sedia ada di samping mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan (education and exam for selection) seperti sekarang," katanya.
Ishak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan 'standard-based assesment' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.


''Atau pun mansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran. Namun dalam soal ini tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan," katanya.


Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua pula berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.


''Jadi, sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lantas mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.
Kata Chin Chua, Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR.


Malahan kementerian seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh dan seterusnya menggubal satu formula alternatif yang diterima secara umum.


''Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri T. Marimuthu berkata, kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.


''Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.


Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.
Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2010

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP