Voting

Lawatan Jemaah Nazir Persekutuan

Ujian 1

GURU BERTUGAS : 27 Februari - 2 Mac 2012

UPSR, PMR Tidak Lagi Relevan Untuk Pelajar

Monday, June 28, 2010

BAGAIMANA Tan Sri melihat kewajaran cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.

Ia langkah baik... UPSR sebenarnya lahir sebagai peperiksaan pemilihan ke sekolah menengah. Ia satu kesinambungan untuk peperiksaan selepas Tahun Enam yang pernah diadakan dulu dikenali sebagai MSSEE (Malayan Secondary School Entrance Examination). Namun hanya 30 peratus murid diambil, selebihnya dimasukkan ke sekolah lanjutan.


Apabila dilakukan kenaikan darjah secara automatik, maka peperiksaan pemilihan tiada guna lagi kecuali untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Jadi, murid naik darjah tak berasaskan pemilihan tetapi kerana umur, maka lahirlah masalah buta huruf. Di sinilah UPSR tidak mengikut tujuan asalnya.

PMR pula penggantian untuk masuk ke Tingkatan Empat. Siapa tak berjaya kena ulang, tapi bila ada sistem kenaikan automatik, fungsi asalnya juga tiada lagi. Untuk saya, dari segi itulah ia tak relevan. Saya sudah mencadangkan pemansuhan sistem peperiksaan ini tiga tahun lalu kerana ia tak lagi relevan dengan tujuan asal. Kalau kita lihat UPSR dan PMR hari ini, kebanyakan jawapan adalah objektif, pakai agak-agak pun boleh, tiada lagi pemikiran. Jadi kementerian harus sediakan sukatan pelajaran sesuai, apa harus murid belajar ketika Tahun Satu dan Tahun Dua, apa pula diajar di Tahun Tiga dan Tahun Empat. Kalau tak buat begitu, ada sekolah maju, ada yang tak maju, jadi mereka tiada panduan apa yang hendak diajar. Kurikulum baru mesti berdasarkan falsafah pendidikan negara yang menekankan pembangunan fizikal dan intelektual. Kalau dalam UPSR, tiada pembangunan intelektualnya, tiada soalan esei atau analisis. Kalau dengan esei dan analisis, ia menggalakkan pembangunan intelek, kreatif dan moral. Sekarang banyak soalan tentang hafalan, pemikiran kurang.

Jika tiada UPSR, mungkin akan timbul pula masalah buta huruf.
Kalau UPSR dimansuhkan, masalah buta huruf boleh ditangani. Dengan kurikulum baru, kalau murid tak dapat membaca pada Tahun Dua, berikan mereka kelas tambahan, jadi buta huruf boleh diatasi awal. Di Tahun Tiga, mereka boleh baca. Dengan kaedah sekarang, Tahun Lima atau Tahun Enam pun ada yang masih tak boleh membaca.

Jika UPSR dimansuhkan, bagaimana pula kedudukannya sebagai ujian kelayakan ke SBP.


Untuk saya, masuk SBP adalah murid terpilih, atas asas kebijaksanaan, kebolehan menyelesaikan masalah, visi dan kewibawaan. Jadi soalan (peperiksaan) untuk masuk SBP mesti lain, siapa nak masuk kena duduk peperiksaan khusus, soalannya mesti menjurus kepada pencarian pemimpin hari esok, bukan penghafalan tetapi pemikiran kritis.


Sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Saya tak kisah dengan peperiksaan tetapi apabila jawapannya dalam bentuk objektif, apa yang dapat diharapkan daripada pemikiran kreatif melainkan kemahiran murid meneka.
Persoalannya, adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk melaksanakan pembaharuan itu.
Kalau hendak lakukan perubahan, kita kena bersedia. Sediakan prasarana... sekolah kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) semuanya mesti disediakan dari segi prasarana. Dulu, masa perkenalkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) kita tiada infrastruktur, akhirnya kita patah balik.
Sekarang kita lihat SRJK Cina kurang dalam Bahasa Melayu, maka pertingkatkan Bahasa Melayu, tambah guru. Kalau kurang guru di sekolah pedalaman dan perlu imbuhan lebih, berikan. Jangan tergesa-gesa... sediakan semuanya dulu. Misalnya cuba dulu dengan UPSR kemudian baru PMR, lakukan secara berperingkat-peringkat.
Kita juga harus lihat, jika ada prasarana, sudah di tahap mana? Kalau guru sudah mula latihan, bila latihan akan habis. Kalau belum mula latihan, bila hendak mulakan? Apabila lengkap, barulah kita mulakan.

Bagaimana dengan cadangan SBA menggantikan UPSR.


SBA maksudnya taksiran dilakukan di sekolah, tapi kita hendak guru yang komited. Kalau guru tak boleh mengajar di luar bandar, itu bukan semangatnya. Selain menilai murid, nilai juga guru... kadang-kadang cara guru mengajar yang tidak sesuai. Itulah sebab saya kata guru mesti dedikasi dan ada banyak cara mengajar murid.


Tidak boleh jika satu cara tidak menjadi, sudah tidak mahu mengajar murid itu lagi. Cikgu macam doktor jugalah, ada banyak cara untuk ubati penyakit. Guru harus didedahkan dengan cara baru, mesti profesional. Menteri yang menerajui pelajaran juga jangan asyik bertukar kerana akan berlaku tukar polisi.


Sekolah rendah tempoh paling penting kerana itu permulaan meneroka alam pembelajaran. Kalau murid hilang minat terhadap pelajaran ketika di sekolah rendah, kita ada masalah besar. Guru sekolah rendah seharusnya dari kalangan mereka yang terpilih, tetapi kita mesti juga menilai guru itu.
Berita Harian Online: 27 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment

BERITA HARIAN

mengintai khabar semasa

Berita Harian : Agama

Followers

TERIMA KASIH MENGINTAI BLOG INI

HALWA TELINGA

Berita Harian : Nasional

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP