Monday, February 1, 2010
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan cuti peristiwa untuk Aidilfitri ketiga bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah tahun ini tidak timbul kerana Ahad, 12 September adalah cuti ganti jika Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata bagi pelajar dan guru sekolah di ketiga-tiga negeri itu yang cuti umumnya jatuh pada hari Sabtu, maka cuti ganti akan diberi pada Ahad, manakala bagi negeri lain jika cuti umum jatuh pada Ahad, cuti ganti mereka ialah pada Isnin .
"Tiada kesilapan berhubung perkara itu menerusi pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada 21 Disember 2009," katanya menjawab rungutan guru dan pengetua khususnya di Terengganu seperti disiarkan Berita Harian, semalam.
Beberapa pengetua yang menghubungi Berita Harian mendakwa Kementerian Pelajaran tidak adil kerana membenarkan cuti peristiwa diambil oleh sekolah untuk sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Hari Gawai, tetapi tidak dibenarkan untuk Aidilfitri. Mereka mendakwa berikutan pekeliling Kementerian Pelajaran itu, murid dan guru di Kelantan, Terengganu dan Kedah terpaksa kembali ke sekolah pada hari ketiga (Ahad, 12 September). "Perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu kerana kebetulan ini kali pertama perayaan Aidilfitri jatuh pada hari cuti persekolahan," katanya.
0 comments:
Post a Comment